sarjan_hassan-800px
Sejarah

Kapten (B) Hassan Haji Othman Meninggal Dunia

30 April 1991 – Keperwiraan Kapten (B) Hassan Haji Othman yang diabadikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui filem patriotiknya ‘Sarjan Hassan’ pada tahun 1955 amat mengkagumkan para penonton yang menonton filem tersebut. Beliau merupakan anak Melayu yang mempunyai semangat waja dan berkesungguhan dalam menentang anggota pengganas komunis yang bermaharajalela sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Pada 30 April 1991 Kapten (B) Hassan bin Haji Othman telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Seremban, kerana diserang sakit jantung. Allahyarham yang berusia 64 tahun, meninggalkan seorang balu, Puan Aishah bte Haji Salleh 60 tahun, 12 orang anak serta 18 orang cucu. Jenazahnya selamat disemadikan di makam Tuan haji Said, Seremban, selepas waktu Zohor.

Allahyarham Kapten (B) Hassan berasal dari Kampung Pantai, Seremban dan dilahirkan pada tahun 1927 serta memasuki perkhidmatan tentera pada tahun 1946 sebagai rekrut biasa. Setelah berjuang menegakkan keamanan di negara ini selama 23 tahun, Allahyarham bersara sebagai anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu yang berpangkalan di Port Dickson pada tahun 1969 dengan berpangkat Kapten.

Sarjan Hassan

Sarjan Hassan

Allahyarham melibatkan diri dalam pasukan tentera setelah pembunuhan kejam dilakukan oleh anggota pengganas komunis terhadap keluarganya termasuk isterinya di hadapan matanya sendiri. Dalam catatan sejarah tanahair telah tercatat bahawa Allahyarham pernah berjaya membunuh seramai 54 pengganas komunis dan antara jasanya yang terbesar ialah menggagalkan usaha 400-500 pengganas komunis di Water Fall Estate, Rawang yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara kira-kira 10 hari sebelum negara Merdeka.

Allahyarham juga pernah menerima pingat keberanian oleh Kerajaan British seperti King Medal pada tahun 1951 dan Queen Order pada tahun 1953. Selain itu Allahyarham juga dianugerahkan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK), Ahli Mangku Negara (AMN), Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan Pingat Sri Mahkota Selangor (SMS).

Sesungguhnya semangat keperwiraan yang tersemat dan dimiliki oleh Kapten (B) Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Sarjan Hassan’ sewaktu hayatnya di alam fana ini, amat mengagumkan dan tiada tolok bandingnya, terutama sebagai penghayatan generasi muda pada hari ini. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Semoga nama Allahyarham akan sentiasa terpahat dipersada sejarah tanahair.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard