logo_plkn-800px
Sejarah

Kabinet Meluluskan Program Latihan Khidmat Negara

28 Mei 2003 – Pada tahun 2003, Kabinet telah meluluskan cadangan pelaksanaan Program Khidmat Negara dan Akta Latihan Khidmat Negara 2003. Sejarah Program Latihan Khidmat Negara bermula apabila sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah dibentuk dalam Mesyuarat Kabinet pada 30 Oktober 2002 untuk mengkaji keperluan pelaksanaan Kerahan Tenaga ini. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan dan dianggotai oleh 7 Menteri, seorang Penasihat Perdana Menteri yang bertaraf Menteri dan 5 Timbalan Menteri.

Mesyuarat pertama yang telah diadakan pada 12 November 2002, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah menerima penggunaan istilah ‘Khidmat Negara’ bagi menggantikan istilah ‘Kerahan Tenaga’. Pada 25 Jun 2003 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Latihan Khidmat Negara manakala Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang pada 7 Julai 2003.

plkn-sabah

Program Latihan Khidmat Negara telah dilaksanakan pada 16 Februari 2004, merupakan suatu program pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. PLKN merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN bagi mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah atau berumur 17 tahun keatas.

Sesungguhnya peranan Program Latihan Khidmat Negara bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda berjaya memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard