japanese_troop-800px
Sejarah

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu

31 Januari 1942 – Penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula apabila Tentera Darat Ke-25 Jepun menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941. Tentera Jepun melancarkan serangan amfibi (amphibious assault) di pantai utara Tanah Melayu di Kota Bharu dan mula maju ke bawah ke pantai timur Tanah Melayu. Ini dilakukan bersama dengan pendaratan di Pattani dan Songkla di Thailand, di mana mereka bergerak ke selatan melalui jalan darat menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand untuk menyerang sebelah barat Tanah Melayu.

Semasa tentera Jepun menyerang Tanah Melayu, pemuda-pemuda Kesatuan Melayu Muda telah membantu kemaraan tentera-tentera Jepun ke Tanah Melayu sepanjang tahun 1941-1942 sebagai penunjuk jalan dan juru bahasa. Pemimpin Kesatuan Melayu Muda, Ibrahim Yaakob yang dilatih oleh Jepun selama enam bulan sebelum ini turut dilantik sebagai Komandan Giyuugun dengan pangkat Leftenan Kolonel. Ibrahim Yaakob telah membantu pihak Jepun dengan menubuhkan pasukan Giyuugun di Semenanjung Tanah Melayu dan di Sumatera.

453_Squadron_RAAF_Buffalo_fighters_scrambling

Garis Masa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu

  • 8 Disember 1941Penjajahan itu bermula dengan pendaratan Tentera Jepun Imperial Jepun di pantai Padang Pak Amat, Kota Bharu sejurus selepas tengah malam, mencetuskan pertempuran ganas dengan Tentera British India, satu jam sebelum serangan ke Pearl Harbor. Lapangan terbang Kota Bharu jatuh kepada tentera Jepun pada waktu pagi.
  • 9 Disember 1941 – Lapangan terbang Sungai Petani, Butterworth, dan Alor Star ditawan.
  • 10 Disember 1941 – Kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse bergerak di persisiran timur Tanah Melayu menuju ke arah tempat pendaratan Jepun yang dilaporkan di Kuantan. Tanpa perlindungan udara, pesawat Jepun menyerang dengan gelombang demi gelombang dan berjaya menenggelamkan kedua-dua buah kapal tersebut. Kehadiran Tentera Laut British dihapuskan dalam masa yang singkat.
  • Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu dibahagikan kepada dua pasukan berasingan, dengan satu bergerak ke arah pantai timur menuju Kuantan, dan yang lain ke arah selatan menuju Sungai Perak.
  • 11 Disember 1941 – Jepun memulakan pengeboman di Pulau Pinang.
  • 12 Disember 1941 – Jitra dan Alor Star jatuh ke tangan Jepun. Pihak British terpaksa berundur ke selatan.
  • 17 Disember 1941 – Tentera British yang telah meninggalkan Pulau Pinang lalu diambil oleh Tentera Jepun.
  • 26 Disember 1941 – Tentera Jepun terus mara menuju ke arah selatan lalu menawan Ipoh.
  • 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942 – Tentangan sengit terhadap kemaraan tentera Jepun dalam Pertempuran Kampar berlangsung tiga hari tiga malam sebelum pihak British terpaksa berundur sekali lagi.
  • 7 Januari 1942 – Dua pasukan Briged dari Bahagian Infantri India ke-11 telah dipintas dalam Pertempuran Slim River lantas membuka laluan tentera Jepun ke Kuala Lumpur, ibu kota Malaya.
  • 9 Januari 1942 – Pihak British yang dalam keadaan terdesak, Panglima Tertinggi ABDACOM (American-British-Dutch-Australian Command), Jeneral Wavell, memutuskan untuk mengundurkan semua pasukan British dan Komanwel ke selatan yakni ke Johor.
  • 11 Januari 1942 – Akibat daripada pengunduran tersebut, Kuala Lumpur telah jatuh kepada tentera Jepun tanpa sebarang tentangan.
  • 14 Januari 1942 – Tentera Imperial Australia yang bergerak menuju ke utara dari Segamat ke Gemas bertembung dengan pasukan tentera Jepun yang sedang mara.
  • 15 Januari 1942 – Divisyen Ke-5 Jepun yang merupakan pasukan utama tentera Jepun tiba dan memaksa Tentera Imperial Australia kembali ke Segamat yang dikenali sebagai Pertempuran Muar.
  • 17 Januari 1942 – Pihak British mengarah Batalion 2/19 dan 2/29 menyerang balas di Bakri. Operasi tersebut menemui kegagalan apabila tentera Jepun telah melakukan serang hendap sebelum ianya bermula.
  • 20 Januari 1942 – Pendaratan lanjut tentera Jepun dilakukan di Endau walaupun menerima tentangan hebat dari serangan udara pengebom torpedo Vickers Vildebeest.
  • 31 Januari 1942 – Seluruh Tanah Melayu telah jatuh ke tangan Jepun.

Japanese_troops_Singapore_Johore_Bahru

Jatuhnya Tanah Melayu Kepada Jepun

Tanah Melayu jatuh dengan mudah kerana salah perhitungan pihak British terhadap kekuatan tentera Jepun. Tentera Jepun telah dilatih khas untuk berperang di negeri-negeri tropika di Taiwan dan Selatan Indo-China dan diajar cara-cara menghadapi malaria dan menggunakan apa juga kenderaan terutamanya basikal untuk memudahkan gerakan serangan mereka.

Antara sebab-sebab lain yang memudahkan lagi tentera Jepun adalah bantuan daripada Indo-China Perancis yang membenarkan penggunaan pelabuhan dan lapangan terbang. Kerajaan Thailand pula membenarkan penggunaan lapangan terbang di Songkla dan Pattani walaupun memberikan tentangan sebelumnya.

Pegawai risikan Jepun seperti Iwaichi Fujiwara (juga dikenali sebagai Kikans) yang telah tiba awal sebelum serangan tersebut telah menyediakan maklumat risikan serta jaringan agen-agen seperti Indian Independence League, Kesatuan Melayu Muda termasuk perisik bagi pihak Jepun, Captain Patrick Stanley Vaughan Heenan di dalam Tentera British sebagai penunjuk jalan, juru bahasa serta menyalurkan maklumat risikan, pergerakan dan kekuatan.

Pemerintahan British juga kurang membuat persiapan untuk menentang kemaraan Jepun di rantau Asia Tenggara kerana memberikan tumpuan utama kepada peperangan dunia kedua di Eropah. Britain menganggap kekuatan tentera lautnya di Lautan China Selatan boleh mematahkan serang tentera Jepun. Tetapi dengan tenggelamnya kapal-kapal Prince of Wales dan Repulse oleh serangan tentera udara Jepun, pertahanan tentera British di barisan hadapan telah menjadi lumpuh.

Singapore_surrender

Lt. General Percival, Pemerintah tentera bagi Tanah Melayu tiada pilihan lain dan terpaksa menyerah diri kepada Lt. General Yamashita, Pemerintah Angkatan Tentera Ke-25 Jepun, pada 15 Februari 1942 di kilang Kereta Ford, Jalan Bukit Timah, Singapura.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard