james_brooke-800px
Sejarah

James Brooke Meminta Bantuan British Menentang Pemberontakan Di Sarawak

15 Mac 1860 – Pada tahun 1860, Pejabat Tanah Jajahan British di London meluluskan permohonan pemerintah negeri Sarawak Raja James Brooke meminta bantuan British untuk menentang pemberontakan di Sarawak. Antara pemberontakan besar yang berlaku adalah pemberontakan yang diketuai oleh Syarip Masahor (Syed Masahor), Rentap dan Liu Shan Bang. Pemberontakan ini menimbulkan berbagai masalah terutamanya masalah keselamatan rakyat British di Sarawak.

Sebelum Pejabat Tanah Jajahan meluluskan permohonan beliau itu James Brooke telah meminta perlindungan pihak Belanda dan Perancis terhadap pentadbiran beliau. Walau bagaimanapun beliau tidak mempercayai kuasa-kuasa tersebut kerana bimbang Sarawak akan jatuh ke tangan kuasa Barat yang lain.

James Brooke

James Brooke

Oleh itu James Brooke meminta campur tangan kerajaan British sama ada menjadikan negeri Sarawak sebagai tanah jajahan British atau mengiktiraf kedaulatan James Brooke di bawah naungan keluarga Diraja British. Ini bermakna secara tidak langsung kuasa pentadbiran negeri Sarawak adalah atas arahan keluarga Diraja British.

Bagaimanapun, jika Kerajaan British berminat menguasai negeri Sarawak sepenuhnya James Brooke mengenakan syarat agar adat-istiadat suku kaum di Sarawak dikekalkan dan penduduk tempatan hendaklah dilatih cara-cara mentadbir negeri mereka.

Kerajaan British tidak berminat untuk menjadikan Sarawak sebagai jajahan takluknya dan enggan menerima permohonan James Brooke itu. Sebaliknya kerajaan British bersetuju menghantar kapal perang bagi mengawasi kawasan pantai negeri Sarawak tetapi tidak akan campur tangan jika terjadi apa-apa peristiwa yang tidak diingini antara James Brooke dengan musuhnya. Bagaimanapun Kerajaan British di London telah bersetuju menghantar seorang Penasihat British untuk membantu James Brooke bagi mentadbir Sarawak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard