Persekutuan_Pengakap_Malaysia-800px
Sejarah

Jambori Pertama Pengakap Malaysia

05 Disember 1966 – Jambori Pertama Pengakap Malaysia telah diadakan di Teluk Bahang, Pulau Pinang. Jambori ini telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1966.

Lebih dua ribu pengakap dari sebelas buah negara menyertai Jambori ini. Mereka ialah dari Malaysia, Republik Rakyat China, India, Korea Selatan, Nepal, Singapura, Filipina, Thailand, Laos, New Zealand, Australia, Ireland dan United Kingdom.

 

pengakap_logo

Menteri Pengangkutan, Tan Sri Sardon bin Haji Jubir yang juga Pengakap Agung Kebangsaan, dalam ucapan alu-aluannya di hari pembukaan berkata tujuan utama Jambori ini ialah untuk membolehkan anggota-anggota pengakap dari berbilang bangsa, agama, adat resam dan kebudayaan menyesuaikan diri dalam sebuah keluarga yang besar.

Jambori yang berlangsung selama enam hari ini memberi kesempatan kepada mereka mengamalkan undang-undang pengakap yang keempat iaitu menggalakkan pengakap berbaik-baik di antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan.

Sejarah Ringkas Pengakap Malaysia

Perkembangan Pergerakan Pengakap di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1910 apabila ia ditubuhkan di Singapura dan di Pekan, Pahang. Semenjak itu pergerakan ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Jambori pengakap pernah diadakan di Pulau Pinang dalam tahun 1927, iaitu semasa pemerintahan Inggeris di negara ini.

Setelah aktiviti kepengakapan tersebar luas, keperluan untuk mewujudkan badan penyelaras disedari. Sejurus selepas Perang Dunia Kedua, pergerakan pengakap di Tanah Melayu disusun semula menjadi Persekutuan Budak Pengakap Tanah Melayu. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, persekutuan ini diterima sebagai ahli Pesekutuan Pengakap Sedunia pada 1 September 1957. Seterusnya, apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung bersama Tanah Melayu membentuk Malaysia, pergerakan pengakap negeri-negeri tersebut juga turut bergabung. Hasilnya pada November 1964 Persekutuan Pengakap Malaysia ditubuhkan.

Persekutuan Pengakap Malaysia diperbadankan melalui Akta Persekutuan Pengakap Malaysia (Pemerbadan) 1968, dan (Semakan) 1989. Dengan keistimewaan ini Duli-duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu serta Tuan-tuan Yang Terutama merupakan penaung pergerakan pengakap di peringkat negeri dan nasional.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard