insitut usahawan bumiputera
Sejarah

Institut Usahawan Bumiputera Dilancarkan

08 Mac 1983 – Institut Usahawan Bumiputera dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam di Auditorium MARA, Kuala Lumpur pada 08 Mac 1983. Penubuhannya telah dicadangkan oleh Kementerian Pembangunan Negara Dan Luar Bandar atas arahan YB Menteri ketika itu iaitu YB Dato’ Seri Sanusi Bin Junid.

Institut Usahawan Bumiputera atau ringkasnya IUB ditubuhkan pada 7hb Mac 1983 sebagai sebuah Syarikat Berhad Dengan Jaminan. Ia ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebagai pelaksana MARA bagi program keusahawanan.

logo institut usahawan bumiputera

IUB beroperasi di bangunan Pertama Kompleks Kuala Lumpur. Institut ini ditadbir oleh sebuah badan yang dikenali sebagai Majlis Pengarah. Majlis tersebut bertanggungjawab mengurus segala kegiatan dan kewangan IUB dengan kuasa-kuasa yang diberikan menurut memorandum dan artikel institut. Institut ini juga bertanggungjawab dalam melaksanakan latihan dan bimbingan keusahawanan selaras dengan matlamatnya bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan cerdik pandai Bumiputera.

Matlamat Penubuhan Institut Usahawan Bumiputera

Antara matlamat utama penubuhan institut ini ialah untuk memperkenal, memperluas, melindungi dan memajukan kepentingan perniagaan, pengurusan dan organisasi bumiputera. Ia juga bertujuan untuk mengkaji dan memajukan prinsip-prinsip pelajaran dan latihan pengurusan keusahawanan. Mengadakan daftar bumiputera dan organisasi bumiputera yang berkelayakan dan lain-lain lagi.

Institut Usahawan Bumiputera mengendalikan pelbagai aktiviti yang mempunyai kaitan dengan kemajuan usahawan dan pengurusan perniagaan seperti seminar, kursus jangka pendek dan bengkel kerja. Ianya merangkumi peringkat kemahiran asas untuk meningkatkan system, aplikasi dan mutu kerja keusahawanan dan pengurusan perniagaan serta kakitangan sokongan sehingga ke peringkat profesional serta pengurusan tertinggi.

Laman sesawang : http://www.iubmara.my/

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard