hms_rinaldo-800px

Inggeris Menyerang Kuala Selangor

04 Julai 1871 – Pada tahun 1871, angkatan perang Inggeris telah menyerang dan membedil pekan Kuala Selangor. Inggeris menyerang Kuala Selangor ini adalah ekoran dari peristiwa 14 Jun 1871, apabila sebuah tongkang dari Pulau Pinang telah diserang dan disamun oleh lanun-lanun Cina dari Kuala Selangor.

Serangan ini telah menyebabkan kematian seramai 34 orang. Tongkang tersebut telah dibawa oleh lanun-lanun itu ke Kuala Selangor, tempat kediaman Raja Mahadi. Peristiwa ini telah dilaporkan kepada Inggeris di Pulau Pinang yang kemudiannya telah menghantar kapal Kerajaan Negeri-negeri Selat iaitu H.M.S. Rinaldo dan Pluto untuk menangkap saki baki lanun tersebut.

HMS Rinaldo
HMS Rinaldo

Pada 3 Julai, rombongan ini telah sampai ke Kuala Selangor dan telah menemui Syed Mashur, Raja Mahmud dan Raja Mahadi. Semasa perjumpaan ini, telah berlaku pertengkaran antara kedua belah pihak, dimana seorang ahli rombongan Inggeris telah terbunuh dan enam orang cedera. Hal ini telah memaksa Inggeris menyerang kota dan pekan Selangor pada hari ini.

Serangan bermula pada pukul 4.45 pagi, apabila kapal perang Rinaldo yang melayari Sungai Selangor telah ditembak dengan meriam-meriam dari kota di Kuala Selangor. Maka berlakulah tembak menembak dari kota -dua belah pihak, di mana tiga orang askar pihak Inggeris telah mengalami kecederaan. Walau bagaimanapun, kapal Rinaldo terus mudik dan berlabuh di pekan Kuala Selangor pada pukul 6.30 pagi dan terus membedil lagi pekan tersebut.

Dua hari kemudian, pada 6 Julai, kapal Rinaldo bersama-sama Pluto datang semula menyerang Kuala Selangor dan membinasakan kubu, lima buah perahu yang muat senjata dan rumah-rumah yang ada di situ. Setelah memusnahkan harta benda tersebut, kapal Rinaldo dan Pluto berlayar meninggalkan Kuala Selangor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.