francis_light-800px
Sejarah

Inggeris Mengambil Pulau Pinang

11 Ogos 1786 – Pada tahun 1786, Francis Light, seorang pegawai Inggeris mengambil Pulau Pinang daripada Sultan Kedah iaitu Sultan Abdullah. Francis Light merupakan bekas pengawal tentera laut Inggeris yang kemudiannya bertugas dengan Syarikat Hindia Timur.

Pemilikan Pulau Pinang kepada Inggeris merupakan satu kelegaan kepada mereka. Lantaran memerlukan sebuah penempatan, pelabuhan perdagangan dan pangkalan perang yang sesuai di rantau ini dalam matlamatnya untuk mengawal jalan laut di Asia Tenggara.

Sultan Abdullah memberi keizinan kepada Francis Light dengan syarat tentera-tentera Syarikat Hindia Timur akan memberi bantuan senjata dan menentang kuasa lain yang hendak menyerang Kedah.

Tanpa mendapat persetujuan dari Ibu Pejabat Syarikat Hindia Timur di India, beliau telah berjanji akan memenuhi syarat tersebut. Namun Francis Light telah memungkiri janjinya apabila Kedah diserang.

Oleh itu pada 1791, tentera-tentera Sultan Kedah telah cuba menyerang tentera Syarikat Hindia Timur di Pulau Pinang untuk menghalau mereka keluar dari pulau itu. Malangnya, usaha itu telah gagal.

Dengan itu bermulalah pendudukan Inggeris dan pengesahan hakmilik Pulau Pinang menggunakan tipu helah Francis Light kepada pihak Inggeris melalui satu perjanjian tanpa kerelaan Sultan Abdullah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard