ryuku_ambassador-800px
Sejarah

Hubungan Perdagangan Melaka – Ryukyu

11 April 1480 – Pada tahun 1480 Laksamana Melaka, iaitu Hang Tuah telah menyerahkan sepucuk surat kepada Raja Negeri Ryukyu di Negeri Jepun mengenai sebuah kapal Ryukyu yang terdampar di pantai Chio-Chih ataupun Annam Utara. Kapal tersebut yang pada mulanya bermaksud untuk mendapatkan air dikatakan telah terlibat dalam satu pergaduhan berdarah dengan orang-orang Chio-Chih. Laksamana Hang Tuah telah mendapat tahu mengenai kejadian itu Ialu menghantar satu pasukan penyiasat ke Chan-Che’eng iaitu Champa yang di bawah kuasa Annam, untuk menyiasat kejadian tersebut.

Setelah disiasat dengan teliti, pasukan penyiasat ini hanya menemui dua orang Ryukyu, salah seorang daripadanya telah mati kerana sakit.

Laksamana Hang Tuah juga melaporkan yang rombongan dagang raja Negeri Ryukyu termasuk seorang penterjemah bernama Tei Raku telah sampai ke Melaka dan setelah menjalankan perniagaan dengan aman telah kembali semula ke Ryukyu.

Melalui surat ini juga Laksamana Hang Tuah telah memohon diberi sebilah pedang, sebatang busar anak panah, dan sebuah pelana. Laksamana juga menyatakan bahawa kapal-kapal Ryukyu yang datang berniaga di Melaka semakin bertambah pada tiap-tiap tahun dan sentiasa memberi hadiah kepada raja dan pembesar Melaka.

Mengakhiri surat ini Laksamana Hang Tuah menyatakan rasa hormat dan kepercayaannya yang tidak akan berubah terhadap raja Ryukyu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard