cheng_ho-800px

Utusan Melaka Ke China

20 Disember 1424 – Dalam tahun 1424, utusan sultan Melaka telah mengadap Maharaja negeri China iaitu Maharaja Hung Hsi di Istana baginda di Peking. Utusan Melaka ke China itu telah dihantar oleh baginda Sri Maharaja atau Sultan Muhammad Shah iaitu Sultan Negeri Melaka yang ketiga.

Dalam masa pemerintahan Maharaja Yung Lo dari Dinasti Ming, negeri China sering menghantar perutusan menerusi angkatan lautnya ke luar negeri khasnya ke negara-negara Asia dengan tujuan menunjukkan kebesaran serta keunggulan negeri China.

Apabila perutusan dari negeri China yang diketuai oleh Yin Ching tiba di negeri Melaka pada tahun 1403, Parameswara iaitu pemerintah Melaka yang pertama merasakan amat perlu untuk menjalin hubungan politik dengan Maharaja negara China untuk melindungi negeri Melaka dari ancaman Siam.

cheng ho

Ekoran dari itu pada tahun 1405 bermulalah sejarah hubungan Melaka dan China apabila Parameswara menghantar wakil perutusannya dengan mengikut rombongan Yin Ching kembali ke negeri China. Sehubungan itu, Maharaja Yung Lo telah mengiktiraf secara rasmi Parameswara sebagai pemerintah negeri Melaka. Utusan Melaka ke China yang pertama kali itu kembali ke Melaka dengan mengikuti rombongan perutusan negeri China yang diketuai oleh Cheng Ho.

Sejak itu negera Melaka sering menghantar perutusan ke negeri China. Terdapat sebanyak 20 kali utusan Melaka ke China  diadakan antara tahun 1405 hingga tahun 1435. Terdapat empat perutusan di mana Raja Melaka turut serta melawat negeri China iaitu Parameswara pada tahun 1411, Megat Iskandar Shah pada tahun 1414 dan 1419, Sri Maharaja atau Sultan Muhammad Shah pada April 1424 dan 1434.

Sesungguhnya perhubungan Melaka dengan negeri China mempunyai faedah bagi kedua-dua belah pihak. Negeri Melaka memerlukan hubungan baik dengan negara China untuk mendapat perlindungan terhadap ancaman Siam di samping menggalakkan perdagangan dengan negeri China. Manakala negeri China pula memerlukan Melaka sebagai satu pengkalan persinggahan bagi angkatan lautnya ke Lautan Hindi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.