tunku_abdul_rahman_rtm-800px
Sejarah

Hari Keputeraan Tunku Abdul Rahman

08 Februari 1903 – Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan di Istana Tiga Tingkat atau lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Alor Star. Tunku merupakan putera Ke-14 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang Ke-26. Bonda Tunku, Cik Manjalara, adalah anak kepada Luang Naraborirak, seorang pegawai daerah Thailand.

Tunku mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Star. Beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Kerajaan Inggeris iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid. Tunku kemudiannya dihantar ke Sekolah Debsirin, Bangkok. Tunku kembali ke tanahair pada 1915 dan menyambung pengajiannya di Penang Free School, Pulau Pinang.

Garis Masa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

1903 – Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.

1909 – Belajar di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Tunku kemudian berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid.

1913 – Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School), Bangkok.

1915 – Pulang ke Kedah dan meneruskan pendidikannya Penang Free School.

1919 – Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge dan merupakan penuntut pertama yang menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah.

1925 – Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.

1927 – Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.

1930 – Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.

1931 – Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.

1932 – Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.

1933 – Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.

1934 – Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.

1935 – Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu, perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.

1937 – Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.

1938 – Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.

1939 – Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah. Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah. Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.

1940 – Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.

1941Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.

1947 – Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian di Inner Temple. Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden Persatuan Pelajar Melayu Britain, manakala Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha.

1948 – Dipanggil ke bar di Inner Temple.

1949 – Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.

1946 –  Menyertai UMNO.

1951 – Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.

1954 – Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.

1955Pilihan raya persekutuan yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.

1956 – England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.

1957 – Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa.

1958 – Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 – 1976).

1960 – Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.

1961 – Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.

1963Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).

1967 – ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations (ASEAN).

1969 – Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.

1971 – Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.

1982 – Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) (1982 – 1988).

1990Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard