najib_tun_razzak-800px
Sejarah

Dato’ Seri Mohd Najib Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Pahang

04 Mei 1982 – Pada tahun 1982, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang kesebelas.

Beliau telah menerima surat tauliah daripada YTM Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah di istiadat pengurniaan tauliah lantikan di bilik mengadap Istana Abu Bakar, Pekan dengan disaksikan oleh Tengku Muda Pahang dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Kamarulzaman bin Abdul Rahman.

Di majlis itu, Dato’ Seri Mohd Najib telah juga mengumumkan pewujudan semula jawatan Timbalan Menteri Besar dengan bekas Menteri Besar, Datuk Haji Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri akan memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Pahang.

Penglibatan Dato Seri Mohd Najib dalam politik bermula apabila beliau diminta untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan berikutan kepulangan Allahyarham Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 dan beliau memenangi pilihanraya tersebut tanpa bertanding.

Pada 22 April 1982, Dato’ Seri Mohd. Najib bertanding dikawasan DUN Bandar Pekan dan berjaya mengalahkan calon pembangkang. Berikutan dengan kejayaan itu, Dato’ Seri Najib telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke 12.

Karier politik beliau terus menyinar dan beliau telah menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet termasuk sebagai Timbalan Menteri, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Pada 3 April 2009, Dato’ Seri Mohd Najib telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard