japan_drawing_800px
Sejarah

Bermulanya Pentadbiran Jepun Di Melaka

16 Januari 1942 – Pada tahun 1942, tentera Jepun telah memulakan pentadbirannya di Melaka. Sebelum itu tentera Jepun telah berjaya mengalahkan tentera Inggeris dan Australia di negeri itu.

Pada keseluruhannya, corak pentadbiran Jepun di Melaka adalah sama dengan sistem yang pernah digunakan oleh Pihak Inggeris kecuali pentadbiran Jepun meletakkan Melaka setaraf dengan negeri-negeri Melayu yang lain dan tidak lagi sebagai salah sebuah Negeri-Negeri Selat.

Ketua Pentadbiran Jepun di Melaka bergelar Gabenor. Beliau dibantu oleh pegawai-pegawai Jepun yang pernah tinggal di Tanah Melayu ataupun di China dan Manchuria. Kakitangan yang lain terdiri dari orang-orang Melayu yang pernah berkhidmat dengan Inggeris. Dalam hal itu ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda telah mendapat layanan yang baik dan ramai daripada mereka telah diambil oleh Jepun untuk berkhidmat dengan mereka.

Selain itu, Melaka telah dibahagikan kepada 3 daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin. Setiap daerah mempunyai Pegawai Daerah. Di bawah sesebuah daerah terdapat beberapa buah mukim yang diketuai oleh Penghulu. Unit pentadbiran terkecil ialah kampung-kampung yang diawasi oleh Ketua Kampung.

Pentadbiran Jepun di Melaka telah membawa keamanan dengan cara paksaan dan hukuman-hukuman berat. Sistem pentadbiran Jepun di Melaka berakhir setelah Jepun menyerah kalah di Tanah Melayu pada tahun 1945.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard