bendera_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Bendera Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan

19 April 1950 – Pada tahun 1950, Majlis Perundangan Persekutuan meluluskan corak bendera Persekutuan Tanah Melayu. Ini merupakan peristiwa yang bersejarah kerana dari detik inilah Persekutuan Tanah Melayu mempunyai benderanya sendiri yang menjadi simbol wujudnya sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu.

Bendera ini berukuran 6 kaki lebar dan 3 kaki panjang dengan enam jalur berwarna merah dan lima jalur berwarna putih. Sebelas jalur ini melambangkan perpaduan sebelas buah negeri Persekutuan iaitu Johor, Pahang, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka.

Perpaduan dan kerjasama negeri-negeri ini juga disimbolkan oleh bintang pecah sebelas. Bulan sabit adalah melambangkan agama Islam yang suci. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna diraja yang menandakan kedaulatan sultan negeri-negeri Tanah Melayu dan sebagai Ketua Agama Islam. Jalur merah menandakan semangat gagah berani dan jalur putih melambangkan hasrat rakyat yang suci murni.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard