malacca_dutch-800px
Sejarah

Belanda Mula Menyerang Melaka Hingga Berjaya

02 Ogos 1640 – Pada tahun 1640, angkatan perang Belanda mula menyerang Melaka sehinggalah mereka berjaya menewaskan orang-orang Portugis menakluk Melaka pada 16 Januari 1641.

Sebelum Belanda menyerang Portugis di Melaka, mereka telah menakluk beberapa pusat perdagangan yang dikuasai oleh Portugis di Sri Lanka. Kejayaan Belanda ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi kekuatan Belanda untuk menakluk Portugis di Melaka yang merupakan musuh warisan mereka.

Belanda juga ingin menebus kegagalan Admiral Matalief menakluk Melaka dalam tahun 1606 dan juga kegagalan Van Der Haghen dalam tahun 1615.

Mulai dari tahun 1653, angkatan laut Belanda telah mengepung Selat Melaka dengan pertolongan orang-orang Selat (Sea gypsies). Dalam masa yang sama angkatan Belanda juga telah berjaya menyerang dan menawan kapal-kapal Portugis di Selat Melaka.

Seterusnya Gabenor General Belanda di Betawi, Antonio Van Diemen telah membuat rancangan untuk menakluk Melaka secara besar-besaran pada bulan Mei 1640.

Angkatan Belanda tiba di Melaka pada awal bulan Jun dan setelah membuat perancangan yang teliti mereka mula menyerang Portugis di Melaka pada hari ini dalam tahun 1640.

Dalam serangan Belanda ke atas Portugis di Melaka ini Kerajaan Johor sebagaimana yang telah dijanjikan telah membantu Belanda dengan menghantar 40 buah perahu membawa seramai lebih kurang 1,500 orang askar Melayu di bawah pimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil.

Setelah lebih kurang enam bulan lamanya Kota Melaka dikepung dan diserang oleh askar-askar Belanda yang dibantu oleh askar-askar Johor itu hingga berlakunya kekurangan makanan dalam Kota Melaka, maka akhirnya pada 14 Januari 1641 angkatan perang Belanda pun berjaya menakluk Melaka.

Dengan kejayaan Belanda ini maka berakhirlah pemerintahan Portugis di Melaka selama lebih kurang 130 tahun di bumi Melayu itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard