01 Disember 1941 – Batalion Kedua Rejimen Melayu telah ditubuhkan pada tahun 1941 iaitu selepas 8 tahun penubuhan Rejimen Pertama. Rejimen Pertama ditubuhkan apabila seramai 25 orang rekrut telah diambil bagi menjalani latihan di Port Dickson dalam tahun 1933. Kumpulan pertama ini juga dikenali sebagai Kompeni Percubaan (Experimental Company).
Rejimen Pertama ini berkembang pesat dengan terbentuknya beberapa buah Kompeni dengan bilangan anggota yang bertambah ramai. Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Rejimen Pertama ini telah mendorong ke arah perluasan kekuatan anggota pertahanan. Oleh itu dalam bulan March 1941, Gabenor telah mengumumkan persetujuan untuk membentuk satu battalion lagi bagi menambah kekuatan Rejimen tersebut.
Pada hari ini dalam tahun 1941 iaitu seminggu sebelum pendaratan askar-askar Jelun, maka terbentuklah Battalion Kedua. Battalion Kedua ini mempunyai anggota seramai 453 orang dan dipimpin oleh Lt. Colonel F.W. Young. Battalion Kedua Rejimen Melayu ini mengandungi ‘A’ Kompeni dan “D’ Kompeni. ‘A’ Kompeni yang dahulunya ‘W’ Kompeni Battalion Pertama, adalah di bawah pimpinan Major W. Richardson telah ditugaskan di Kuala Krai, Kelantan dan kawasan Pantai Timur. Sementara ‘D’ Kompeni pula yang di bawah pimpinan Captain A.S Taylor mengawasi Pantai Barat.
Pembentukan Batalion Kedua ini telah menambah kuatkan lagi kedudukan Rejimen Melayu bagi menghadapi serangan pihak Jepun ke atas Tanah Melayu.
Sumber : Arkib Negara Malaysia