tunku_abdul_rahman_rtm-800px
Sejarah

Tunku Abdul Rahman Meninggal Dunia

06 Disember 1990 – Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 87 tahun telah kembali ke rahmatullah di Hospital Besar Kuala Lumpur, pada jam 10.25 malam 06 Disember 1990 kerana sakit tenat. Jenazah Almarhum telah di bawa ke Bangunan Parlimen daripada tempat kediamannya pada jam 7.40 pagi dan diletakkan di tempat khas di Dewan Bankuasi bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Satu upacara penghormatan terakhir telah diadakan di stesen Tentera Udara Diraja Malaysia oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia, sebelum Jenazah Almarhum diterbangkan ke Alor Setar. Jenazah Almarhum disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar. Tunku Abdul Rahman diputerakan di Alor Setar pada 8 Februari 1903 dan merupakan putera ketujuh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan sebagai mengenangkan segala jasa dan pengorbanan beliau dalam mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.

makan_tunku_abdul_rahman

Beliau menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama dari tahun 1957 hingga 1963 dan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1963 hingga 1970. Pada 22 September 1970 beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Selepas bersara dari politik, Tunku dilantik menjadi Setiausaha Agong Persidangan Negara-Negara Islam yang pertama sehingga 1974.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard