Dewan-Undangan-Negeri-Sarawak-800px
Sejarah

Bahasa Malaysia Dijadikan Bahasa Rasmi Sarawak

26 Mac 1974 – Penggunaan Bahasa Malaysia dalam urusan pentadbiran kerajaan telah mula diperkatakan sejak negara mencapai kemerdekaan. Kempen-kempen dan slogan mengenainya seperti Bulan Bahasa, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan sebagainya telah lama dilaung-laungkan oleh pemimpin dan pejuang bahasa.

Di Semenanjung Malaysia, Bahasa Melayu memang menjadi bahasa perantaraan yang utama di kalangan penduduknya. Walau bagaimanapun Bahasa Inggeris tetap dipelajari dan digunakan di rumah, pejabat atau sekolah-sekolah. Ini kerana Bahasa Inggeris juga penting terutama dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan negara-negara luar. Di negeri Sabah dan Sarawak langkah-langkah ke arah menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi juga diteruskan.

Pada 26 Mac 1974, Sarawak telah mengumumkan bahawa Bahasa Malaysia dijadikan bahasa rasmi di Sarawak. Majlis Undangan Negeri Sarawak telah mengumumkan keputusan ini dan berharap agar semua pihak mengambil perhatian mengenai perkara itu. Bahasa Malaysia akan digunakan dalam semua peringkat pentadbiran Kerajaan Sarawak dan juga institusi-institusi swasta.

Pengumuman tersebut disambut baik oleh rakyat dan pertubuhan-pertubuhan sukarela di Sarawak. Mereka berpendapat sebagai sebuah negeri yang telah sama-sama mengecap kemerdekaan serta membentuk penubuhan Malaysia, sudah tentu Sarawak juga perlu turut menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negeri itu.

Melalui penggunaannya Bahasa Malaysia akan dapat berkembang dan menaikkan mertabat Bahasa Malaysia setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain dari itu Bahasa Malaysia juga boleh menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di seluruh negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard