tabung_haji_logo-800px
Sejarah

Akta Baru Tabung Haji Dikuatkuasakan

01 Jun 1995 – Pada tahun 1995, akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama. Nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997, dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan nama menggantikan perkataan Tabung Haji.

Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan dibawah Akta 8/1969 pada 8 Ogos 1969 dan sejarah penubuhan Tabung Haji bermula apabila Profesor Ungku Aziz mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada Kerajaan pada bulan Disember 1959. Beliau mengesyorkan penubuhan satu perbadanan untuk mengendalikan urusan orang-orang beragama Islam menunaikan Fardu Haji.

Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji dibentuk dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Muda Kementerian Luar Bandar, Tuan Haji Abdul Khalid bin Awang Osman. Hasil daripada perbincangan itu, ”Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji” ditubuhkan dibawah Undang-undang bil 34/62 berkuatkuasa pada 1 November 1962 dan dilancarkan pada 30 September 1963.

Pada tahun 1969 Perbadanan itu digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji yang beroperasi sejak tahun 1951 bagi mewujudkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji. Lembaga ini diwujudkan bukan sahaja bertujuan mengatasi masalah sosio ekonomi malahan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang membolehkan kaum Muslimin untuk melabur dan menyertai secara berkesan segala aktiviti ekonomi negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard