BatuPahatRiver-800px
Sejarah

Daerah Batu Pahat Diisytiharkan Kawasan Putih

07 Julai 1954 – Pada tahun 1954, daerah Batu Pahat diisytiharkan Kawasan Putih yang kedua di negeri Johor. Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Syed A. Kadir bin Mohamed pada jam 11.30 pagi, bersama-sama dengan penduduk yang telah berkumpul di Padang Besar Batu Pahat.

Turut hadir di upacara ini adalah Pemangku Penasihat British di Johor, Encik D.A. Sommerville.

Dengan keluasan kira-kira 496 km persegi dan penduduk berjumlah 108,000 orang, bermakna kawasan putih daerah Batu Pahat ini meliputi kawasan seluas 80 km panjang dan 9.6 km purata luas yang juga termasuk sebahagian kecil daerah Pontian.

Ini menjadikan purata penduduk bagi 1 km persegi kira-kira 137 orang, yang mana 70% adalah bangsa Melayu, 25% bangsa Cina dan selebihnya lain-lain bangsa.

Di samping pengisytiharan tersebut, ucapan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan turut dibacakan.

Selain kawasan Batu Pahat, kawasan-kawasan lain seperti Semerah, Sri Gading, Parit Raja, Minyak Beku, Senggarang, Rengit dan Benut turut menerima pengumuman pengisytiharan yang sama.

Berikutan pengisytiharan daerah Batu Pahat sebagai kawasan putih, jumlah penduduk yang tinggal di kawasan putih di Persekutuan Tanah Melayu telah meningkat kepada seramai 1,444,620 orang.

Kawasan-kawasan putih tersebut telah terpelihara dan dilindungi oleh pasukan keselamatan dan pelbagai kemudahan asas telah disediakan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard