lambang_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Sultan Muhammad Jiwa Dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris

20 April 1772 – Pada tahun 1772, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Perjanjian itu adalah lanjutan daripada keinginan baginda Sultan Kedah untuk mendapatkan bantuan pertahanan bagi mengatasi huru-hara dalam negeri, membuat persediaan untuk bergabung dengan orang-orang Bugis dari tujuan berkuasa di Selangor dan keinginan untuk membebaskan diri dari kongkongan Siam.

Dalam tahun 1770, Sultan Muhammad telah menabalkan Raja Abdullah, putera baginda sebagai Pemangku Sultan. Pelantikan tersebut mengecewakan kerabat diraja lalu mereka mengupah orang-orang Bugis yang kebetulan berdendam kepada Sultan untuk memberontak. Pada awal bulan Mac 1771, orang-orang Bugis dan pemberontak-pemberontak tempatan telah menguasai Kuala Kedah seterusnya Alor Setar. Untuk itu Sultan cuba mendapatkan bantuan Gabenor Madras melalui surat bertarikh 18 Mac 1771 tetapi tidak dihiraukan.

Pada 24 Mac 1771, Francis Light, seorang saudagar Inggeris telah mengadap Sultan dengan membawa senjata dan 30 orang askar sepoi bersama 2 buah kapal perang. Dengan sangkaan bahawa Inggeris akan membantu baginda dalam usaha meluaskan kekuasaan baginda, Sultan bersetuju membenarkan Light berdagang dengan syarat 2/3 keuntungan dibahagi sama rata. Malangnya Light mengingkari janji malah menyatakan persetujuan memberi bantuan sekiranya harta rampasan dan Kuala Kedah diberikan kepadanya secara peribadi dan bukan Syarikat Hindia Timur.

Oleh itu, pada bulan November 1771, Sultan Muhammad Jiwa telah mengutuskan surat ke Madras untuk mendapatkan bantuan dengan menawarkan ke semua Pantai Kuala Kedah hingga ke Pulau Pinang, tetapi hingga ke bulan Jun 1772, Sultan tidak menerima jawapan. Berikutan dari peristiwa itulah bermulanya pendudukan Inggeris di Pulau Pinang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bendera_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Bendera Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan

19 April 1950 – Pada tahun 1950, Majlis Perundangan Persekutuan meluluskan corak bendera Persekutuan Tanah Melayu. Ini merupakan peristiwa yang bersejarah kerana dari detik inilah Persekutuan Tanah Melayu mempunyai benderanya sendiri yang menjadi simbol wujudnya sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu.

Bendera ini berukuran 6 kaki lebar dan 3 kaki panjang dengan enam jalur berwarna merah dan lima jalur berwarna putih. Sebelas jalur ini melambangkan perpaduan sebelas buah negeri Persekutuan iaitu Johor, Pahang, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka.

Perpaduan dan kerjasama negeri-negeri ini juga disimbolkan oleh bintang pecah sebelas. Bulan sabit adalah melambangkan agama Islam yang suci. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna diraja yang menandakan kedaulatan sultan negeri-negeri Tanah Melayu dan sebagai Ketua Agama Islam. Jalur merah menandakan semangat gagah berani dan jalur putih melambangkan hasrat rakyat yang suci murni.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
stadium_negara-800px
Sejarah

Perasmian Stadium Negara

19 April 1962 – Stadium Negara telah dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni AI-marhum Hassan Jamalullail pada tahun 1962. Stadium Negara merupakan stadium tertutup pertama dibina di negara ini dan terletak bersebelahan dengan Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Stadium Negara merupakan sebuah gelanggang tertutup serta melambangkan kegiatan sukan dan kebudayaan di negara ini. Kos pembinaan stadium tersebut menelan belanja lebih RM 34 juta dan dianggap sebagai sebuah stadium tertutup yang terbaik di Asia Tenggara pada ketika itu. Ia bukan sahaja boleh menunjukkan satu contoh kejuruteraan asli yang tidak ada tolok bandingnya tetapi juga menambahkan lagi rekabentuk senibina moden di negara ini.

stadium_negara-1

Selepas pembinaan Stadium Merdeka, negara memerlukan sebuah stadium tertutup seperti Stadium Negara. Stadium Negara telah dibina khas bagi permainan-permainan dalaman dan amat sesuai sebagai tempat untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan.

Sesungguhnya Stadium Negara telah digunakan untuk perlawanan pelbagai jenis sukan, tempat pameran dan juga temasya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kampung-800px
Sejarah

Haji Abdul Rahman Limbong Menentang Peraturan Inggeris

19 April 1928 – Pada tahun 1928, Tuan Haji Abdul Rahman Limbong seorang ulama terkenal dan berpengaruh di Terengganu telah ke Dungun bagi menyebarkan idea menentang peraturan yang diperkenalkan oleh Inggeris.

Tuan Haji Abdul Rahman Limbong atau nama sebenarnya Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid merupakan tokoh agama yang berpengaruh luas di Terengganu. Beliau yang dianggap alim lagi keramat ini sangat dihormati. Pengetahuan agamanya yang mendalam adalah satu keistimewaan yang dikagumi dan beliau adalah ketua membela rakyat yang didakwa kerana membuka tanah tanpa kebenaran. Malah Abdul Rahman Limbong menggalakkan rakyat membuka tanah kerana baginya tanah adalah hak Allah yang diusahakan dan boleh dipakai. Tanah akan dimiliki bila ianya diusahakan dan boleh dipusakai. Sekiranya tidak diwarisi tanah boleh diserah kepada ‘Baitulmal’. Jika didapati tiada pemilik tanah ini akan menjadi hak kerajaan.

Peraturan tanah yang diperkenalkan oleh Inggeris di Terengganu dalam tahun 1921 mensyaratkan bayaran cukai sebanyak lima puluh sen setahun. Hutan-hutan tidak dibenarkan dibuka. Pengenalan undang-undang tanah ini bererti menghapuskan undang-undang adat pemilikan tanah petani yang pernah dikerjakan turun temurun. Maka itu rakyat berpendapat tidak wajar mereka mengambil surat kebenaran kalau tanah yang diminta itu hak milik pusaka nenek moyang mereka dahulu.

Sebelum perlaksanaan undang-undang tanah, penduduk di kawasan Ulu Terengganu termasuk Dungun bebas membuka hutan secara kolektif untuk berhuma. Hasil-hasil hutan seperti rotan, buluh, damar dan lain-lain boleh diambil tanpa sebarang larangan. Bagi mereka tanah merupakan sumber utama kehidupan. Halangan menggunakan tanah merupakan persoalan hidup atau mati, dan inilah juga yang menimbulkan penentangan pada pemerintahan kolonial Inggeris.

Haji Abdul Rahman Limbong mendapati bahawa tanah di Ulu Terengganu mempunyai pemilik sah maka itu peraturan tanah British yang mahukan bayaran hasil penempatan dan surat kebenaran membuka tanah dianggap tidak adil dan keterlaluan.

Sungguhpun maklumat yang disebarkan oleh Abdul Rahman Limbong ini bukanlah untuk menentang kuasa Sultan tetapi menyatakan rasa keinsafan dan kesedaran bahawa pemerintahan negeri telah dikuasai oleh Inggeris dan golongan birokrat yang menjalankan tugas tanpa pertimbangan yang adil. Dan ternyata, dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu, Haji Abdul Rahman Limbong telah berjaya membangkit semangat pergerakan menentang kolonial yang menyeluruh.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_selangor-800px
Sejarah

Mesyuarat Pertama Majlis Negeri Selangor

18 April 1877 – Mesyuarat pertama Majlis Negeri Selangor telah diadakan pada tahun 1877. Majlis seperti ini merupakan majlis pertama terbentuk di negeri Selangor dan Tanah Melayu amnya.

Majlis ini dianggotai oleh ahli-ahli yang dilantik dengan persetujuan Sultan dan terdiri dari kerabat-kerabat diraja yang mewakili orang-orang Melayu, wakil-wakil orang Cina dan dua orang Inggeris. Mesyuarat diadakan tujuh kali setahun.

Majlis Negeri Selangor diwujudkan sebagai badan penasihat kepada pemerintah dan pentadbiran negeri, mempunyai kuasa perundangan bagi memutuskan tuntutan, rayuan mahkamah dan memutuskan hukuman mati di samping mempunyai kuasa meluluskan undang-undang dan peraturan dalam negeri.

Majlis ini juga berkuasa melantik penghulu, kadi, pentadbir, pemungut cukai, pemilik tanah dan lain-lain berkaitan dengan pentadbiran Kerajaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
panji_RAMD
Sejarah

Batalion Ke-3 Askar Melayu Menerima Panji-Panji

18 April 1952 – Pada tahun 1952, Batalion ke-3 Askar Melayu telah menerima panji-panji dari Pesuruhjaya Tinggi Malaya, General Sir Gerald Templer dalam satu ucapan khas bertempat di Kota Bharu, Kelantan. Turut hadir dalam ucapan penuh gemilang ini ialah DYMM Sultan Kelantan dan DYMM Sultan Pahang, Tengku Mahkota, Penasihat British bagi negeri Kelantan dan Terengganu iaitu Brigadier Andre, Raja Perempuan Kelantan, Lady Templer dan anak perempuannya, Hakim Malaya C.H. Whitton.

Batalion ke-3 Askar Melayu itu telah ditubuhkan pada September 1948 dengan Leftenan Kolonel Walton ditugaskan sebagai Pegawai Pemerintah yang dilantik pada bulan Oktober 1948. Beliau kemudiannya telah ditukarkan ke negeri Kelantan pada bulan Februari 1949.

Rejimen Askar Melayu Diraja

Dalam ucapan penyerahan panji-panji tersebut General Sir Gerald Templer memuji pasukan itu yang telah berjaya dalam operasi-operasi yang ditugaskan sehingga mendapat penghormatan menerima panji-panji. Walaupun batalion itu baru ditubuhkan 4 tahun yang lalu, tetapi ia telah banyak menyumbangkan jasa dan baktinya kepada negara terutama dalam usaha menentang pengganas-pengganas komunis yang telah mengancam ketenteraman negara.

Beliau juga menasihatkan agar perajurit-perajurit sentiasa berwaspada dalam menjalankan tugas mereka dan menjadikan upacara penganugerahan panji-panji ini sebagai satu penghormatan kepada perajurit-perajurit yang telah terkorban khasnya dan kejayaan yang harus dibanggakan oleh batalion ke-3 Askar Melayu amnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mal-indo-map-800px
Sejarah

Perjanjian Persahabatan Pertama Tanah Melayu-Indonesia

17 April 1959 – Pada tahun 1959, satu Perjanjian Persahabatan yang pertama sejak merdeka di antara Persekutuan Tanah Melayu dan Republik Indonesia telah dimeterai. Upacara tersebut telah berlangsung di Dewan Jemaah Menteri Persekutuan, Kuala Lumpur.

Perjanjian persahabatan tersebut telah ditandatangani oleh Perdana Menteri Tanah Melayu, Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Menteri Pelajaran, Encik Mohd Khir Johari dan Duta Besar Persekutuan Tanah Melayu di Indonesia. Turut menurunkan tandatangan ialah Djuanda Kartawidjaja, Perdana Menteri Republik Indonesia; Prijono, Menteri Pengajaran, Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia.

Dalam perjanjian itu, kedua belah pihak bersetuju untuk saling menghormati kemerdekaan dan kedaulatan satu sama lain serta memelihara ikatan yang akan merapatkan rakyat kedua-dua negara. Kedua-dua negara juga menitikberatkan usaha-usaha ke arah kerjasama dan perundingan untuk perkembangan dan kegunaan kepakaran dalam bidang sains dan pelajaran. Serta kerjasama erat dalam lapangan perhubungan konsul, perdagangan, perhubungan, hak-hak ekstradisi dan lain-lain untuk kepentingan bersama.

Dengan termeterainya perjanjian ini, maka bermulalah lembaran baru dalam sejarah dua negara dalam usaha menjalin hubungan diplomatik, demi keamanan serantau yang dikecapi sejak kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Labuan_Financial_Park-800px
Sejarah

Labuan Diisytiharkan Sebagai Wilayah Persekutuan

16 April 1984 – Pada hari ini dalam tahun 1984, Majlis Pengisytiharan Pulau Labuan sebagai Wilayah Persekutuan telah berlangsung di Pulau Labuan, Sabah. Pengisytiharan tersebut menjadikan Labuan sebagai Wilayah kedua bagi Malaysia diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

Di majlis yang bersejarah ini, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mewakili Kerajaan Persekutuan dan YAB Datuk Harris Salleh yang mewakili kerajaan Sabah telah menandatangani watikah pengisytiharan tersebut. Turut menurunkan tandatangan di watikah tersebut ialah YBhg. Tan Sri Hashim Aman, Ketua Setiausaha Negara dan YBhg. Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang bertindak sebagai saksi.

w_p_labuan

Pengisytiharan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan adalah untuk menentukan terhapusnya perasaan perbezaan dari segi kaum, bangsa, agama, kenegerian, kewilayahan yang berunsur negatif. Pengwujudan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan satu usaha positif dan konkrit ke arah mencapai matlamat integrasi dan perpaduan negara yang diharapkan oleh semua. Pengwujudan itu juga membawa erti yang amat besar kepada generasi akan datang.

Dalam amanat di majlis pengisytiharan tersebut, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sabah yang telah bersetuju menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Ianya merupakan pengorbanan yang besar Kerajaan Sabah mengenepikan kepentingan sendiri demi kemajuan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
telegraf-800px
Sejarah

Litar Telegraf Pertama Di Negeri-Negeri Melayu

16 April 1876 – Pada tahun 1876, Perhubungan telekomunikasi pertama telah diadakan dengan pemasangan litar telegraf pertama di Kuala Kangsar, Perak. Litar sepanjang 39.2 kilometer ini telah dipasang bagi menghubungkan Pejabat Residen British di Kuala Kangsar dan Pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke Pejabat Majistret di Matang. Penggunaan litar telegraf ini diperlukan untuk membantu mempercepatkan Residen dalam mengendalikan urusan pentadbirannya serta menyokong pembangunan kegiataan ekonomi yang berkembang pesat di Taiping pada ketika itu.

Berikutan daripada pengenalan talian telegraf pertama ini, Jabatan Pos dan Telegraf telah diwujudkan pada tahun 1882 dan diletakkan di bawah kawalan juruaudit negeri. Lanjutan daripada itu juga sistem perhubungan dan telekomunikasi telah berkembang lagi dengan pemasangan ibusawat pertama di Kuala Lumpur pada tahun 1891.

Pada tahun 1930 ibusawat automatik telah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah dan ianya telah ditempatkan di bangunan Ibusawat Melayu Telefon di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sekarang.

Sistem telekomunikasi negara telah berkembang dengan pesatnya selepas negara mencapai kemerdekaan sejajar dengan pembangunan dan perkembangan dunia telekomunikasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
majlis_bandaraya_melaka-800px
Sejarah

Pengisytiharan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah

15 April 2003 – Pada tahun 2003, Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah dinaikkan taraf sebagai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Upacara pengisytiharan MBMB diadakan di Dataran Sejarah Ayer Kroh. Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Peter Chin Fah Kui menyerahkan watikah pengisytiharan MBMB kepada TYT Yang di Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-haj bin Syed Mahmud Shahabudin.

majlis_melaka_bandaraya_bersejarah

Sejarah perbandaran bermula dengan pengwujudan Melaka. Pada tahun 1824, perbandaran Melaka dinamakan sebagai “The Town and The Fort of Malacca” ditadbir oleh “Committee of Assessors” di bawah Kerajaan Inggeris. Pada tahun 1848, Akta East India XIX, telah menekankan supaya diwujudkan “Jawatankuasa Perbandaran” bagi menggantikan “The Committee of Assessors”. Akta ini memperuntukkan lima orang Ahli Majlis yang diketuai oleh seorang “Resident Counsillor” dikenali sebagai Pesuruhjaya Perbandaran.

Pada 1 Januari 1887, Ordinan Perbandaran Negeri-negeri Selat meluluskan sempadan perbandaran seluas 1.4 batu persegi dan diperluaskan kepada 4.2 batu persegi pada tahun 1930 di bawah Akta 133 pada tahun 1913. Pada 1 Januari 1977 melalui Akta 171 (1976), kawasan Perbandaran Melaka dicantumkan dengan Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) dengan kawasan pentadbirannya seluas 114.7 batu persegi dan pada 1 Januari 2010, kawasan pentadbiran baru MBMB meliputi seluas 30.86 km persegi.

Pengisytiharan ini memberi manfaat kepada rakyat dengan pelbagai projek pembangunan pelancongan disamping menjadikan Bandaraya Melaka semakin maju dan moden.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard