istana_negara-800px
Sejarah

Persidangan Terakhir Majlis Raja-Raja Melayu Sebelum Merdeka

14 Mac 1957 – Persidangan terakhir Majlis Raja-Raja Melayu sebelum merdeka telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Mac 1957. Di antara perkara-perkara penting yang dipersetujui dalam persidangan itu ialah pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Pengerusi Tetap bagi Majlis Raja-Raja setelah negara mencapai kemerdekaan.

Isteri Yang di-Pertuan Agong pula akan diisytiharkan sebagai Permaisuri Agong dan Wanita Pertama Negara. Pengisytiharan kemerdekaan dilakukan selepas upacara penyerahan kuasa secara rasmi oleh wakil Diraja Inggeris kepada pihak Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka.

Pengisytiharan kemerdekaan akan dilakukan sama ada oleh Yang di-Pertuan Agong, wakil keluarga Diraja Inggeris atau Ketua Menteri. Manakala negara-negara berhaluan kiri tidak akan dijemput semasa perayaan kemerdekaan dan rangka cadangan perjanjian pertahanan dan kerjasama perayaan kemerdekaan dan rangka cadangan perjanjian pertahanan dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British diluluskan.

Perjanjian_Persekutuan-800px

Persidangan terakhir Majlis Raja-raja Melayu sebelum merdeka ini amat penting dalam menentukan persiapan bagi upacara menyambut kemerdekaan negara dan pengukuhan kedaulatan Raja-raja Melayu selepas negara merdeka.

Persidangan pertama Majlis Raja-raja Melayu diadakan pada 18 Februari 1948 di Dewan Majlis Perundangan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan  pertama ini dihadiri oleh semua Sembilan orang Raja-Raja Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
istana_iskandariah_perak-800px
Sejarah

Perjanjian Perak – Belanda

13 Mac 1753 – Satu perjanjian perdagangan telah ditandatangani di antara Sultan Sri Iskandar Zulkarnain, Sultan Perak dengan Thomas Schippers, seorang saudagar serta Pesuruhjaya bagi pihak Syarikat Hindia Timur Belanda (SHTB) pada tahun 1753.

Antara perkara-perkara yang dipersetujui ialah:

  • Sultan Perak akan menjual semua keluaran bijih timah dari Perak dan kawasan-kawasan di bawah kawalannya kepada pihak kompeni dan pihak kompeni akan membayar 26 ducatoons atau 32 ringgit Sepanyol untuk timah seberat 375 paun Belanda.
  • Para pengedar bijih timah dimestikan membawa bijih timah masing-masing ke Kota Kompeni sebagaimana yang mereka lakukan sekarang. Manakala timbangan dan sukatan mestilah mengikut apa yang digunakan oleh pihak kompeni.
  • Sultan Perak akan mengeluarkan perintah dengan serta merta kepada seluruh negeri, iaitu mana-mana kapal yang ingin keluar dari Negeri Perak mestilah terlebih dahulu singgah di Kota Kompeni untuk diperiksa.
  • Akhirnya, Sultan berjanji untuk menawarkan kerjasama yang rapat kepada Syarikat Hindia Timur Belanda dalam semua bidang khususnya dalam mempertahankan kedudukan di antara kedua-dua belah pihak terhadap sebarang ancaman musuh.

Dengan perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1753, syarikat Hindia Timur Belanda berhasrat untuk menguasai seluruh perjanjian bijih timah di Perak bagi menghadapi saingan kuasa-kuasa asing yang lain.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dato_bahaman-800px
Sejarah

Dato’ Bahaman Menawan Semula Lubuk Terua

09 Mac 1892 – Pada tahun 1892, Dato’ Bahaman atau Orang Kaya Semantan, menyerang dan menawan semula Lubuk Terua (satu tempat yang termasuk di dalam wilayahnya) dari kekuasaan Inggeris.

Meletusnya penentangan Dato’ Bahaman secara aktif terhadap Inggeris adalah akibat dari tindakan C.E.B. Desborough (Pemangku Pemungut Hasil Semantan) menangkap tiga orang pengikut Dato’ Bahaman dengan tuduhan mengumpul hasil hutan tanpa izin. Penangkapan itu dilakukan ketika Desborough dan Townson (Merinyu Lombong) mengiringi satu pasukan Polis untuk memperkuatkan Balai Polis di Lubuk Terua, dan membawa ketiga-tiga tawanan itu untuk diadili.

dato_bahaman-1

Dato’ Bahaman

Menyedari tentang hal itu, Dato’ Bahaman yang memang menentang keras pembinaan balai Polis di kawasannya itu dan percaya bahawa pasukan itu datang untuk menangkap beliau, telah menyerang pasukan Desborough, dan berjaya, membebaskan orang-orangnya. Selepas itu Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya menawan Balai Polis Lubuk Terua dan memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan dan barangan kepunyaan Syarikat Lombong bijih Bentong dan Raub.

Sebelumnya, Dato’ Bahaman memang memusuhi Inggeris kerana menyekat dan menuduh beliau (dalam tahun 1889) memungut cukai secara haram dan memberi amaran, bahawa penerusan memungut cukai secara tradisi adalah dilarang sedangkan itu adalah hak tradisi beliau sebagai pembesar di daerahnya. Inggeris juga menuduh beliau (pada tahun 1890) menulis surat kepada Residen Selangor, W.E. Maxwell meminta supaya Semantan disatukan dengan Selangor.

Bagaimanapun, kejayaan Dato’ Bahaman itu hanya sementara kerana tidak lama kemudian pihak Inggeris mengambil tindakan balas dengan menghantar satu pasukan seramai 300 orang yang diketuai oleh Tengku Ali, Hugh Clifford dan E.A. Wise (Majistret di Temerloh).

Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa mengundurkan diri sebagai satu strategi untuk melanjutkan penentangannya. Penentangan beliau itu ternyata telah merebak ke seluruh Pahang dengan melibatkan banyak lagi tokoh yang seperjuangan dengan beliau seperti anaknya Mat Kilau, Panglima Muda Jempul, Tok Gajah, Tok Jelai, Mat Kelubi dan lain-lain.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard