Crest_of_the_Royal_Malaysian_Navy-800px
Sejarah

Kapal Darlaston (MAHAMIRU) – Hadiah Kerajaan British Kepada Tentera Laut Diraja Persekutuan

24 Mei 1960 – Pada tahun 1960, Kerajaan British telah menghadiahkan sebuah kapal penyapu periuk api Darlaston kepada Angkatan Laut Diraja Persekutuan Tanah Melayu. Kapal itu yang sekarang diberi nama ‘Mahamiru’ akan merupakan kapal terbesar dan paling lengkap di antara sebelas buah kapal penyapu periuk api dan kapal peronda yang dipunyai oleh Angkatan Laut Diraja Malaysia.

Upacara penyerahan kapal tersebut telah berlangsung di Naval Base, Singapura dengan dihadiri oleh Pemangku Perdana Menteri Persekutuan, Tun Abdul Razak bin Hussein; Kepala Staf Angkatan Bersenjata Persekutuan, Leftenan General Sir Rodney Moore; Pegawai Pemerintah Angkatan Laut, Captain W.J. Dovers; Laksamana Muda R.E Portlock selaku Kepala Staf Panglima Agong Daerah Timor Jauh dan juga Kapten Kapal yang baharu, Leftenan Komander M. Roden.

Dalam ucapan terima kasih kepada kerajaan British, Tun Abdul Razak yang juga merangkap Menteri Pertahanan Persekutuan menyatakan harapannya agar Mahamiru dapat berganding bahu dengan kapal-kapal Angkatan Laut lainnya dalam usaha mengawal wilayah perairan Persekutuan Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1st_malaysian_everest-800px
Sejarah

Pasukan Pendaki Malaysia Berjaya Menawan Gunung Everest

23 Mei 1997 – Pada tahun 1997, Malaysia telah mencatat satu lagi sejarah apabila Pasukan Pendaki Gunung Everest negara telah berjaya menawan puncak gunung Everest. Malaysia merupakan negara ke-21 yang telah berjaya sampai ke puncak Everest setinggi 8848 meter atau 29 000 kaki. Ekspedisi mendaki Gunung Everest ini terdiri daripada 23 orang, namun hanya dua orang sahaja yang telah berjaya sampai ke puncak iaitu M. Magendran dan N. Mohandas.

Majlis sambutan kepulangan wira-wira Everest ini telah diadakan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, Selangor pada 3 Jun 1997, turut serta pada majlis sambutan tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin. Majlis pelancaran Projek Mendaki Gunung Everest ini telah dilancarkan pada 14 Februari 1988 oleh Y.B. Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Projek Everest ini merupakan ilham Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad bertujuan untuk mendorong rakyat Malaysia berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang. Projek ini dikendalikan secara kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Persatuan Pendaki Malaysia serta RTM yang telah memberi liputan harian sepanjang tempoh 55 hari ekspedisi ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jambatan_sungai_golok-800px
Sejarah

Perasmian Jambatan Sungai Golok, Kelantan

21 Mei 1973 – Pada tahun 1973, Jambatan Sungai Golok di Kelantan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein. Jambatan Sungai Golok yang dibina dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dan Thailand ini menghubungkan pekan Rantau Panjang di Negeri Kelantan dengan pekan Golok di negeri Thai.

jambatan_sungai_golok

Sebelum jambatan ini dibina kemudahan perhubungan antara Malaysia dengan negeri Thai adalah terhad kepada sebatang jambatan keretapi dan perahu-perahu kecil yang berulang alik antara pekan Rantau Panjang dengan Pekan Golok. Perkembangan perniagaan dan pelancongan yang semakin meningkat antara Malaysia dan negeri Thai memerlukan kemudahan yang lebih baik dan moden.

Perjalanan dengan keretapi terhad kepada waktu-waktu yang ditetapkan sahaja. Tetapi dengan pembinaan jambatan ini perjalanan serta perhubungan antara pekan Golok dengan Pekan Rantau Panjang boleh dibuat pada bila-bila masa. Oleh kerana perhubungan yang erat antara kedua buah pekan ini pembinaan jambatan Sungai Golok ini dijalankan serentak dengan pembinaan kompleks Stesyen Keretapi, Pejabat Kastam dan Imigresen. Semua kemudahan ini telah memberikan wajah baru kepada Pekan Rantau Panjang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
building_BERNAMA-800px
Sejarah

Pelancaran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

20 Mei 1968 – Pada tahun 1968, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan , Dato’ Senu Abdul Rahman. Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung di ibu pejabat sementara BERNAMA di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur ( sekarang Jalan Tun Abdul Razak).

Dasar BERNAMA adalah melaporkan berita mengenai apa-apa perkara yang mempunyai kepentingan negara, perkembangan politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Pertubuhan bebas ini diasaskan menerusi undang-undang yang diluluskan oleh parlimen pada 6 April 1967. BERNAMA dikelolai bersama oleh syarikat-syarikat akhbar Malaysia dan jabatan-jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam lapangan perhubungan awam. Kerajaan Pusat telah memberi bantuan sebanyak RM1,500,000.00 untuk pelancarannya.

bernama-800px

Perkhidmatan BERNAMA dijalankan serentak dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pada ketika itu, wartawan atau wakil di pusat penyebaran menggunakan alat teleprinter untuk menyalurkan berita ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Sejajar dengan kematangan usianya, BERNAMA semakin mantap dengan penubuhan unit audio-visual atau dikenali sebagai BERNAMA TV pada September 1998. Pada 28 Februari 2008, saluran berita Malaysia 24 jam, BERNAMA TV, dilancarkan melalui saluran 502 Astro. BERNAMA juga melancarkan Radio24, stesen radio berkonsepkan berita yang pertama di Malaysia yang beroperasi secara 24 jam sehari pada 3 September 2007.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mageran-800px
Sejarah

Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)

16 Mei 1969 – Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada tahun 1969 bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd. Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC.

Pada dasarnya fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, mempastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Berikutan daripada itu, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1970. Beberapa dasar penting telah diwujudkan antaranya Akta Hasutan, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru yang telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

Penubuhan Majlis Gerakan Negara telah memberikan sumbangan yang besar dalam memulihkan perpaduan di kalangan rakyat sehingga kemerdekaan negara dapat dipertahankan hingga kini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mageran-800px
Sejarah

Tragedi 13 Mei 1969

13 Mei 1969 – Pada tahun 1969 telah berlaku satu peristiwa yang hampir menghancurkan keutuhan negara yang dikenali sebagai tragedi 13 Mei 1969. Ia berpunca dari Pilihanraya Umum yang telah berlangsung pada 10 Mei 1969 di mana emosi dan sentimen perkauman telah disuarakan dengan begitu lantang.

Hasil dari pilihanraya tersebut, Parti Perikatan telah berjaya menubuhkan kerajaan sekali lagi tetapi dengan kelebihan undi yang kurang berbanding dengan kemenangan sebelumnya. Akibat dari tragedi ini banyak nyawa yang tak berdosa terkorban dan harta benda musnah.

13mei1969

 

Bagaimanapun peristiwa ini telah mencorakan perubahan falsafah sosio-politik dan ekonomi negara dan menyedarkan semua pihak bahawa jurang perkauman masih wujud di negara ini. Untuk mengawal keadaan, darurat telah diisytiharkan dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan untuk mengambil alih pemerintahan negara. MAGERAN telah diketuai oleh Tun Abdul Razak dan beliau telah menjalankan perbincangan dengan semua pihak yang berkenaan untuk mewujudkan semula perpaduan di Malaysia.

Akhirnya ‘Rukun Negara’ telah dibentuk dan sebagai manifestasi ideologi kebangsaan demi mewujudkan perpaduan di kalangan semua kaum. Berdasarkan kepada semangat Rukun Negara jugalah akhirnya Dasar Ekonomi Baru telah berjaya diciptakan demi kemajuan ekonomi negara dan menghapuskan kemiskinan masyarakat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lake_garden_1910
Sejarah

Kebun Bunga Kuala Lumpur Di Rasmikan Oleh Sir Cecil Clementi

13 Mei 1889 – Kebun Bunga Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith. Pewujudan Kebun Bunga ini di diasaskan pada tahun 1888 apabila A.R. Venning dengan bantuan dari Kerajaan Negeri Selangor yang telah menyarankan agar diwujudkan sebuah “Botanic Garden” di Kuala Lumpur.

Selama sepuluh tahun A.R. Venning dengan bantuan dari kerajaan negeri Selangor berusaha membina sebuah kebun di kawasan seluas 70.1 hektar di lembah Sungai Bras-Bras. Di peringkat awal kewujudannya tokoh terkenal masyarakat Kantonis iaitu Tauke Chow Ah Yeok telah memberikan sumbangan sebanyak seratus pokok cempaka dan pokok limau oren untuk ditanam dikebun ini. Sebuah empangan telah dibina di Sungai Bras-Bras di kebun bunga ini untuk dijadikan sebuah tasik yang kemudiannya diberi nama Tasik Sydney sempena nama isteri kepada Frank Swettenham.

Kebun Bunga Kuala Lumpur

Kebun Bunga Kuala Lumpur Selepas Kemerdekaan

Setelah mencapai kemerdekaan, banyak berlaku perubahan di mana kebun bunga ini bukan sahaja merupakan ‘botanic garden’ tetapi juga kawasan yang menjadi tumpuan ramai untuk bersiar-siar dan samping itu disediakan juga taman permainan kanak-kanak.

Pada tahun 1967, sebuah panggung yang diberi nama Panggung Anniversari telah dibina di kawasan kebun bunga ini. Tujuan pembinaan panggung ini adalah untuk mengadakan pertunjukan pentas dan pertunjukan kebudayaan.

Pada 1 Februari 1968 Kebun Bunga Kuala Lumpur telah ditukar namanya menjadi Taman Tasik Perdana oleh YAB Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Pada 28 Jun 2011 namanya sekali lagi ditukar kepada Taman Botani Perdana dalam fasa pertama perubahan taman ini kepada taman botani oleh Dato’ Sri Najib Razak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
najib_tun_razzak-800px
Sejarah

Dato’ Seri Mohd Najib Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Pahang

04 Mei 1982 – Pada tahun 1982, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang kesebelas.

Beliau telah menerima surat tauliah daripada YTM Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah di istiadat pengurniaan tauliah lantikan di bilik mengadap Istana Abu Bakar, Pekan dengan disaksikan oleh Tengku Muda Pahang dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Kamarulzaman bin Abdul Rahman.

Di majlis itu, Dato’ Seri Mohd Najib telah juga mengumumkan pewujudan semula jawatan Timbalan Menteri Besar dengan bekas Menteri Besar, Datuk Haji Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri akan memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Pahang.

Penglibatan Dato Seri Mohd Najib dalam politik bermula apabila beliau diminta untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan berikutan kepulangan Allahyarham Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 dan beliau memenangi pilihanraya tersebut tanpa bertanding.

Pada 22 April 1982, Dato’ Seri Mohd. Najib bertanding dikawasan DUN Bandar Pekan dan berjaya mengalahkan calon pembangkang. Berikutan dengan kejayaan itu, Dato’ Seri Najib telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke 12.

Karier politik beliau terus menyinar dan beliau telah menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet termasuk sebagai Timbalan Menteri, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Pada 3 April 2009, Dato’ Seri Mohd Najib telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
najib_tun_razzak-800px
Sejarah

Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak Diumumkan Sebagai Menteri Besar Pahang

28 April 1982 – Pada tahun 1982, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Haji Abdul Rashid bin Haji Abdul Rahman telah mengumumkan pelantikan Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak sebagai Menteri Besar Pahang ke 12. Pengumuman tersebut diumumkan oleh Dato’ Haji Abdul Rashid di pejabat Menteri Besar Pahang. Sehubungan itu, majlis angkat sumpah pelantikan jawatan Menteri Besar telah diadakan pada 4 Mei 1982 di Istana Abu Bakar, Pekan, di hadapan DYMM Pemangku Raja Pahang.

Penglibatan Dato Seri Mohd Najib dalam politik bermula apabila beliau diminta untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan berikutan kepulangan Allahyarham Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976. Pada 21 Febuari 1976 beliau memenangi pilihanraya tersebut tanpa bertanding. Pada 22 April 1982, Dato’ Seri Mohd. Najib bertanding dikawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan dan berjaya mengalahkan calon PAS.

Karier politik Dato’ Seri Mohd. Najib terus menyinar dan beliau telah menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet termasuk sebagai Timbalan Menteri, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Pada 3 April 2009, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Razak mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
map_lebuh_raya_timur_barat-800px
Sejarah

Pelancaran Pembinaan Lebuh Raya Timur Barat

09 April 1964 – Pada tahun 1964, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah melancarkan peringkat pertama pembinaan Lebuh Raya Timur Barat di Mukim Tersat, Kuala Berang, Terengganu. Lebuh raya sejauh 400 kilometer dan menelan belanja sebanyak 150 juta ini bermula dari Sungai Siput di negeri Perak melintasi negeri Kelantan hingga ke Kuala Berang, Terengganu. YAB Tun Abdul Razak menyifatkan, pembinaan lebuh raya ini sebagai satu simbol perpaduan rakyat dan lambang kemajuan dan pembangunan yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan untuk faedah rakyat.

Dengan pembinaan lebuh raya ini, beribu-ribu hektar tanah pertanian seperti getah, padi, kelapa sawit dan sebagainya akan dapat diterokai dengan adanya sistem perhubungan yang baik. Ia juga akan mendorong perlaksanaan pelbagai projek pembangunan seperti projek-projek hidro elektrik dan penempatan-penempatan baru yang memberi faedah kepada penduduk-penduduk desa di sekitarnya.

Tugu lebuh Raya Timur Barat

Di dalam ucapan perasmiannya, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa kerajaan menumpukan perhatian untuk membasmi kemiskinan khasnya di kalangan penduduk desa dengan mengadakan pelbagai projek luar bandar melalui badan-badan tertentu seperti RIDA dan agensi-agensi swasta.

Tun juga menasihatkan penduduk-penduduk desa supaya tidak terpengaruh dengan anasir-anasir subversif yang bertujuan untuk merosakkan kemakmuran dan keamanan negara melalui dakyah-dakyah halus. Rakyat mestilah bersatu-padu dan bekerjasama dengan kerajaan untuk kepentingan Negara.

Dengan pelancaran pembinaan lebuh raya Timur Barat pada hari ini dalam tahun 1964, penduduk desa khasnya di kawasan-kawasan yang terlibat telah dapat menikmati hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard