satellite-800px
Sejarah

Calon Angkasawan Negara Diumumkan

14 Mac 2006 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan empat calon angkasawan negara pada 14 Mac 2006. Pengumuman itu dibuat pada Majlis perasmian Pusat Penyelidikan dan Latihan Simulator-G (Pulls-G) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

calon_angkasawan

Calon-calon angkasawan berkenaan adalah Dr. Faiz Khaleed, pakar bedah pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), S. Vanajah, calon tunggal wanita yang juga Juruterbang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), dan Mohammed Faiz Kamaluddin.

Mereka akan menjalani ujian perubatan terperinci selama dua minggu oleh Agensi Angkasa Rusia di Moscow, Rusia. Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin; Pengerusi Panel Pemilihan Program Angkasawan Negara, Tun Mohammed Hanif Omar dan Panglima ATM, Laksamana Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Pada 04 September 2006 Dr Sheikh Muszaphar Shukor serta Dr Faiz Khalled telah dipilih sebagai calon angkasawan Negara yang pertama ke Russia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
wisma_radio_angkasapuri-800px
Sejarah

Pembukaan Rasmi Wisma Radio Angkasapuri

11 Mac 1973 – Pada tahun 1973, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Abdul Razak telah merasmikan bangunan kompleks Angkasapuri yang dikenali sebagai Wisma Radio Angkasapuri. Pembukaan Wisma Radio ini telah dilihat sebagai satu peringkat penting dalam perkembangan dan kemajuan Jabatan Penyiaran Negara.

Dalam ucapan perasmiannya beliau menyatakan bahawa pembukaan Wisma Radio Angkasapuri ini telah membuktikan bahawa siaran radio akan terus memainkan peranan penting dalam penghidupan rakyat sebagai alat perhubungan yang berkesan dalam membentuk perpaduan dikalangan kaum.

Angkasapuri_70s-800px

Tun Razak juga telah mengingatkan bahawa dalam zaman pembangunan ini, radio bukan sahaja semata-mata dilihat sebagai untuk memberi hiburan semata-mata, tetapi turut perlu dilihat sebagai wadah utama untuk menyampaikan ilmu, maklumat dan penerangan mengenai dasar dan projek kerajaan yang dijalankan kepada rakyat.

Pembukaan Wisma Radio Angkasapuri dapat membantu kerajaan menyampaikan maklumat mengenai dasar dan cita-cita kerajaan dalam mewujudkan masyarakat yang berasaskan Rukunegara, dan seterusnya membentuk perpaduan di kalangan rakyat serta mengekalkan kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bank_bumiputra-800px
Sejarah

Perasmian Pembukaan Bank Bumiputra Malaysia Berhad

10 Mac 1966 – Perasmian Pembukaan Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang terletak di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur telah dilakukan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra pada 10 Mac 1966. Bank ini ditubuhkan hasil daripada salah satu resolusi Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan pada 4-6 Jun 1965 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bank_Bumiputra_Malaysia_Berhad_(BBMB)_logo

Resolusi tersebut mencadangkan sebuah Bank Bumiputra Malaysia Berhad hendaklah ditubuhkan sebagai suatu bank perniagaan biasa dengan modalnya disediakan oleh kerajaan sebelum hak miliknya diserahkan kepada kaum bumiputera melalui jualan sahamnya.

bank_bumiputera

Bank Bumiputra Malaysia Berhad dilancarkan oleh Tun Abdul Razak pada 1 Oktober 1965 dengan modal sebanyak RM 25 juta. Ia ditadbir oleh Mohd Raslan bin Dato’ Abdullah sebagai pengarah urusan dan Tengku Razaleigh sebagai pengarah eksekutif. Pengarah yang lain adalah S.O.K. Ubaidulla, L.E Osman, K. Mushir Ariff, Wan Yahya bin Haji Mohamad, K.D. Eu dan Kuok Hock Nian.

Penggabungan Bank Bumiputra Malaysia Berhad

Bank Bumiputera telah digabungkan dengan Rashid Hussain Berhad yang menguasai Development and Commerce Bank di bawah skim penggabungan bank-bank. Pada tahun 1999, bank ini bergabung dengan Commerce-Asset Holdings Berhad (CAHB) dan kemudiannya dikenali sebagai Bumiputra-Commerce Holdings Berhad (BCHB).

Bumiputra Commerce

Pada tahun 2004, hasil gabungan Bank Bumiputra-Commerce dan Southern Bank dengan Commerce International Merchant Bankers (CIMB), ia kini dikenali sebagai CIMB Bank.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bangunan majlis amanah rakyat (mara)
Sejarah

Pembukaan Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara)

10 Mac 1967 – Pembukaan bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah dirasmikan oleh YAB Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar Malaysia pada 10 Mac 1967.

bangunan majlis amanar rakyat mara 1966

Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966

Bangunan ini merupakan pusat induk pengurusan dan pentadbiran MARA dan terletak ditengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur. Bangunan Majlis Amanah Rakyat ini dibina di antara Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bangunan setinggi lapan tingkat ini menelan kos pembinaan sebanyak RM3.5 juta. Tingkat satu hingga tingkat tiga menyediakan 30 buah ruang kedai. Manakala di tingkat empat hingga tingkat lapan berfungsi sebagai jentera pentadbiran.

Bangunan Majlis Amanah Rakyat Baharu

Pada tahun 1987 bangunan ini telah digantikan dengan bangunan baharu setinggi 26 tingkat. Ia menjadi pusat pentadbiran baharu dan simbol kelangsungan agenda perjuangan Bumiputera. Ia telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada 12 April 1987.

bangunan majlis amanah rakyah mara baharu

Bangunan Majlis Amanah Rakyat yang baharu ini menyediakan ruang pejabat seluas 200,000 kaki persegi. Ruang letak kereta bawah tanah Medan MARA boleh menempatkan sebanyak 373 buah kereta. Di tingkat pertamanya pula disediakan ruang niaga seluas 22,000 kaki persegi sesuai untuk pembinaan sebuah pasar raya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Pertama

9 Mac 1961 – Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama diadakan pada 22 Ramadhan 1380 bersamaan 9 Mac 1961 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Hasrat dan cita-cita untuk mengadakan majlis tilawah al-Qur’an peringkat antarabangsa ini telah diluahkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman al-Haj semasa penutup Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan kali pertama.

Pertandingan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Pertama yang dianjurkan oleh Malaya ini merupakan majlis tilawah yang julung-julung kalinya dianjurkan di dunia. Belum ada Negara yang menganjurkan majlis seumpama ini sebelumnya. Dalam majlis kali pertama ini, sebanyak tujuh buah Negara iaitu Singapura, Brunei, Thailand, Sarawak, Indonesia, Filipina dan Malaya dengan 13 orang peserta telah mengambil bahagian.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Alhaj Ibni Almarhum Syed Hasan Jamalullai berkenan merasmikan Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat Antarabangsa kali Pertama pada 9 Mac 1961.

Johan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama ini dimenangi oleh peserta dari Malaya, iaitu Tuan Haji Ahmad bin Mat Som, naib johan disandang oleh Encik Ismail juga peserta Malaya, manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari Indonesia. Pada masa itu belum lagi dibuka kepada peserta qariah.

darul quran

Kelas Hafaz Al-Quran

Pada 1 Mac 1966 hasrat dan kenyataan YAB Tun Abdul Razak untuk mengadakan kursus mempelajari dan menghafaz al-Qur’an telah menjadi kenyataan dengan pembukaan Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara. Kelas ini di bawah bimbingan Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Mohammad Haji Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu. Selepas itu kelas tahfiz al-Quran ini telah berkembang dan dikenali dengan nama Institut Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat, Jabatan Perdana Menteri.

Institut ini berpindah beberapa kali ke kampus sementara, antaranya di Kompleks Pusat Islam Malaysia, Jalan Perdana; di Jalan Ledang; di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan di Hulu Langat, Selangor. Kini institut ini berada di kampus tetapnya di Ampang Pecah, Kuala Kubu dengan nama Darul Quran di bawah pentadbiran Jabatan Islam Malaysia (JAKIM) yang mula beroperasi pada Januari 1997.

Sumber : Majlis Tilawah Al-Quran Malaysia

Standard
msn_logo
Sejarah

Pengumuman Penubuhan Majlis Sukan Negara

05 Mac 1969 – Penubuhan Majlis Sukan Negara telah diumumkan pada tahun 1969. Usul penubuhannya telah diluluskan oleh kabinet pada 27 April 1971. Ia ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979).

Majlis Sukan Negara telah dilancar secara rasmi pada 21 Februari 1972 oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Pada peringkat awal penubuhannya, program-program sukan prestasi tinggi dilaksanakan di bawah kendalian Bahagian Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (nama Kementerian Belia Dan Sukan ketika itu).

Untuk mencapai matlamat penubuhan Majlis, satu usaha kolektif melibatkan secara langsung semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan sukan tanahair, majlis-majlis sukan negeri, institusi pengajian tinggi, badan-badan sukarela serta orang perseorangan telah diusahakan supaya mutu sukan negara dapat mencapai prestasi yang terbaik.

Selepas organisasi Majlis disusun semula pada tahun 1981, Majlis mula mengorak langkah dan seterusnya mengembangkan program dan aktiviti sehinggalah apa yang dapat dilihat masa kini. Matlamat penubuhan Majlis Sukan Negara Malaysia adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara iaitu bertanggungjawab sepenuhnya ke arah penggalakkan, pembangunan dan pencapaian cemerlang dalam sukan-sukan di peringkat tertinggi.

logo anugerah sukan negara

Objektif Penubuhan Majlis Sukan Negara

  1. Memastikan lebih ramai atlet dan atlet para melayakkan diri ke program podium.
  2. Memastikan pengurusan program pembangunan atlet dilaksanakan secara bersistematik dan berstruktur dengan kerjasama semua pemegang taruh.
  3. Memastikan agensi-agensi pelaksana peringkat kebangsaan dan negeri berkeupayaan menguruskan program latihan dengan berkesan.
  4. Mewujudkan penilaian dan piawaian kebangsaan dalam aspek pembangunan atlet.
  5. Bertindak sebagai pakar rujuk teknikal dalam pengurusan dan pembangunan sukan prestasi tinggi di Malaysia.
  6. Menyelaras semua perkhidmatan sokongan dalam pelbagai aspek seperti pengurusan kejurulatiahn, kemudahan latihan, kebajikan atlet dan tadbir urus di setiap peringkat pembangunan sukan prestasi tinggi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Mount_Everest
Sejarah

Pelancaran Projek Mendaki Gunung Everest

14 Februari 1988 – Pelancaran Projek Mendaki Gunung Everest telah di sempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada tahun 1988. Projek ini adalah usaha sama di antara di antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Persatuan Mendaki Malaysia.

Berucap ketika merasmikan pelancaran projek tersebut, Datuk Sri Mohd Najib menggesa seluruh rakyat agar berjuang ke arah mencapai kecemerlangan di dalam semua lapangan termasuklah bidang pentadbiran, siasah, pembangunan ekonomi dan kemanusiaan.

Kanchenjunga_everest

Projek Everest telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir. Ia diharapkan dapat menjadi pembakar semangat kepada rakyat Malaysia supaya berusaha dengan gigih bagi mencapai kejayaan yang gemilang.

Sembilan tahun selepas itu, M.Magendran dan N.Mohandas telah menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya menjejak kaki di puncak Gunung Everest. Mereka telah berjaya mengibarkan Jalur Gemilang pada Gunung yang tertinggi di dunia yang mempunyai ketinggian 8,848 meter di atas paras laut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tun_Hussein_Onn_portrait
Sejarah

Kelahiran Tun Hussein Onn

12 Februari 1922 – Tun Hussein bin Dato’ Seri Onn merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau dilihat sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai “Bapa Perpaduan”.

Garis Masa Tun Hussein Onn

1922 – Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari. Anak sulung kepada pengasas UMNO Dato` Onn bin Jaafar dan Datin Halimah binti Hussein.

1941 – Berkhidmat dalam Angkatan Timbalan Setia Negeri Johor sebagai Kadet dan telah dipilih untuk mengikuti latihan ketenteraan secara intensif di Akademi Tentera India di Dehradun.

1942 – Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.

1945 – Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.

1946 – Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.

1949 – Menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama

1950 – Dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

1951 – Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.

1951 – Melanjutkan pelajarannya ke Lincolns Inn, England

1958 – Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln’s Inn, England.

1964 – Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO

1969 – Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO) pada Jun.

Mei 1969 – Memenangi Pilihan raya umum 1969 kerusi Parlimen Johor Bahru Timur.

1970 – Menjadi Menteri Pelajaran pada September.

1972 – Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.

1973 – Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

14 Januari 1976 – Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.

1978 – Menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.

20 April 1981 – Melancarkan Rancangan Malaysia Keempat dan Skim Amanah Saham Nasional (ASN).

1981 – Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Beliau pernah menjalani rawatan jantung atau pintasan koronari pada awal 1981.

15 Mei 1981 – Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad.

1990Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
damai_malaysia
Sejarah

Sidang Damai Antara Malaysia Indonesia Dan Filipina

05 Februari 1964 – Pada tahun 1964 Menteri Luar Thailand, Tun Thanat Khoman telah mengadakan
satu rundingan damai Sidang Damai Antara Malaysia Indonesia Dan Filipina yang dihadiri oleh ketiga-tiga Menteri Luar negara tersebut.

Tun Thanat Khoman

Tun Thanat Khoman

Rundingan ini adalah hasil usaha damai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau ini. Menteri-menteri Luar yang mewakili 3 negara itu ialah Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dari Malaysia, Dr Subandrio dari Indonesia dan Encik Salvador Lopez dari Filipina.

damai_indonesia_malaysia_filipina

Salvador Lopez (kiri), Tun Abdul Razak (tengah), Dr Subandrio (kanan)

Hubungan di antara ketiga-tiga negara jiran ini telah retak kerana tuntutan Kerajaan Filipina di bawah pimpinan Presiden Macapagal ke atas Sabah dan salah faham Kerajaan Indonesia di bawah Presiden Sukarno mengenai konsep penubuhan Malaysia.

Walaubagaimanapun sidang damai antara Malaysia Indonesia Dan Filipina yang dianjurkan oleh pihak Thailand ini tidak menghasilkan sebarang kejayaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Moonrise_over_kuala_lumpur
Sejarah

Penubuhan Wilayah Persekutuan

01 Februari 1974 – Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dengan rasminya pada 1974. Selepas pengisytiharan ini Kuala Lumpur telah dijadikan sebuah wilayah yang dikendalikan oleh Kerajaan Pusat di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan No.2) 1973. Serentak dengan itu kawasan Kuala Lumpur telah diperluaskan lagi dari 93.24 kilometer persegi kepada 243.46 kilometer persegi.

Detik bersejarah yang gilang gemilang penuh dengan adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu itu berlangsung tepat pada jam 10.00 pagi bila Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur di Istana Negara. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam titah ucapannya menyifatkan dengan penubuhan Wilayah Persekutuan ini maka terciptalah lembaran baru dalam Sejarah Malaysia sebagai hasil pengorbanan yang besar oleh Sultan Selangor untuk membolehkan Kuala Lumpur lahir sebagai lambang kemegahan bangsa dan negara.

Flag_of_the_Federal_Territories_of_Malaysia

Yang Dipertuan Agong juga melahirkan rasa terhutang budi dan penghargaan yang tinggi kepada Sultan Selangor yang telah berkenan menyerahkan semua kuasa dan hak daulat atas ibu kota serta kawasan sekitarnya kepada Kerajaan Malaysia. Sebelum itu Baginda Sultan Selangor bertitah bahawa Kerajaan Negeri menyedari sepenuhnya hasrat Kerajaan Persekutuan hendak memiliki sebuah ibu negara supaya dapat ditadbirkan secara langsung.

Baginda berharap seluruh rakyat Malaysia akan menganggap ibu negara ini sebagai pusat tumpuan taat setia terhadap negara. Ini diikuti pula dengan pengisytiharan Wilayah Persekutuan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada jam 10.21 pagi.

kuala_lumpur_night_800

Sesuai dengan kemegahannya sebagai ibu negara, Kuala Lumpur berkembang dengan begitu pesat sekali. Pada 28hb Julai 1978, Wilayah Persekutuan telah diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Badan yang menggerakkan segala kerja pembangunan dan pentadbiran Wilayah Persekutuan ialah Dewan Bandaraya. Datuk Bandar adalah pentadbir dalam organisasi ini dan dibantu oleh Lembaga Penasihat yang terdiri dari Datuk Bandar sebagai Pengerusi, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan 10 orang ahli tidak rasmi.

Dengan perluasan kawasan, Wilayah Persekutuan telah dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu Setapak, Kepong, Kuala Lumpur, Damansara dan Sungai Besi. Pada hari ini dalam tahun 1984 merupakan ulang tahun ke 10 penubuhan Wilayah Persekutuan. Pembangunannya telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Bangunan-bangunan pencakar langit dibina satu demi satu, malah Bandaraya Kuala Lumpur menjadi kebanggaan bukan saja penduduk Wilayah Persekutuan tapi juga masyarakat Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard