tree-800px
Sejarah

Pengurnian Surat Keterangan Memungut Cukai Di Ulu Pahang Dalam Tahun 1859

30 Disember 1859 – Sultan Pahang Sultan Mahmud Al-Muzaffar Shah telah mengurniakan Surat Keterangan memungut cukai kepada Mandara Lubuk Setia Raja atau Tok Lubuk dari daerah Gali. Surat Keterangan ini merupakan surat kuasa untuk memungut cukai di daerah Gali. Surat ini telah disampaikan oleh wakil Sultan, Tengku Embong ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Shah dan En. Wan Long ibni Dato Bendahara Seri Maharaja kepada Mandara Lubuk Setia Raja.

Dengan adanya Surat Keterangan ini membolehkan Mandara Lubuk Setia Raja memungut cukai di daerahnya. Cukai yang dipungut dari daerah ini akan diserahkan kepada Sultan melalui Orang Kaya Maharaja Perba Jelai. Sistem pungutan cukai ini merupakan sistem yang diikuti oleh kerajaan negeri Pahang sejak zaman dahulu.

Campur Tangan British

Tetapi setelah British campurtangan di Pahang pada tahun 1888 sistem pungutan cukai oleh Pembesar-pembesar Pahang cuba dihapuskan. Sebaliknya mereka perlu membayar cukai kepada Kerajaan British melalui Pemungut Cukai dan Majestret (Collector and Magistrate) yang berkuasa sebagai Pegawai Daerah. Kerajaan British telah mendapat tentangan hebat dari Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan beberapa orang lagi.

Sesungguhnya pengurniaan Surat Keterangan oleh Sultan kepada Pembesar-pembesar adalah merupakan satu penghormatan dan pemberian kuasa ke atas daerah-daerah tertentu untuk memungut hasil mahsul negeri. Segala hasil cukai akan diserahkan kepada orang-orang Besar Pahang dan seterusnya diserahkan kepada Sultan Pahang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mati-800px
Sejarah

Pahlawan Pahang Berundur Ke Terengganu

10 April 1895 – Dalam tahun 1895, Hugh Clifford, Residen British di Negeri Pahang telah sampai ke Kuala Terengganu dengan satu angkatan tentera yang mengandungi beratus-ratus orang askar yang lengkap bersenjata untuk mencari dan menangkap pahlawan-pahlawan Melayu Pahang. Pahlawan Pahang berundur ke Terengganu dan menyembunyikan diri ke Ulu Terengganu kerana menentang pihak British yang telah masuk campur dalam pemerintahan negeri Pahang. Di antara pahlawan-pahlawan Pahang itu ialah Datuk Bahaman, Tok Gajah (Katib Rasu), Mat Kilau, Mat Lela, Awang Nong dan Teh Ibrahim.

Hugh_Charles_Clifford

Hugh Charles Clifford

Pasukan Clifford secara keseluruhannya terdiri daripada 252 orang, 190 di antaranya adalah orang-orang Melayu. Beliau melakukan berbagai cara untuk mendapatkan maklumat daripada penduduk-penduduk Kelantan dan Terengganu terhadap pergerakan pahlawan-pahlawan Pahang itu, termasuk membeli rahsia. Bagaimanapun cara ini telah tidak mendatangkan hasil, malah lebih daripada itu dilakukannya paksaan dengan kekerasan seperti perotanan. Beliau juga memakai cara dengan menyuruh penduduk-penduduk melakukan sumpah dengan Quran di atas kepala untuk mendapatkan keterangan yang diperlukannya.

Taktik peperangan sepit udang yang digunakan oleh Clifford untuk mengepung musuh dan juga taktik menyekat bekalan makanan gagal menyebabkan tertangkapnya atau penyerahan diri para pahlawan Pahang tersebut. Clifford mengatakan hal ini terjadi kerana bantuan penduduk-penduduk Kelantan dan Terengganu kepada pejuang-pejuang Pahang serta sikap tidak jujur Pesuruhjaya Siam yang dipercayai bertalam dua muka.

Dato' Bahaman

Dato’ Bahaman

Hugh Clifford yang mengesyaki mereka sedang menyembunyikan diri dalam kawasan rumah Engku Saiyid Keramat di Kampong Paluh, Kuala Terengganu telah meminta pertolongan Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin dan Engku Saiyid Keramat untuk menangkap pahlawan-pahlawan Pahang yang dianggap sebagai “pemberontak”.

Baginda Sultan Zainal Abidin telah menunjukkan sikap enggan membantu pihak British menangkap pahlawan-pahlawan Pahang itu kerana tidak mahu turut serta membinasakan orang-orang yang sebangsa dan seagama dengan baginda. Engku Saiyid Keramat yang telah bertemu dengan pahlawan-pahlawan Pahang itu dan menyuruh mereka berlindung di Besut serta menggalakkan mereka meneruskan perjuangan mereka terhadap pihak British, memberitahu Clifford bahawa beliau tidak tahu dan tidak pernah berjumpa dengan pahlawan-pahlawan itu.

Setelah tiga bulan ekspedisi memburu (hingga ke Kelantan) pahlawan-pahlawan tidak juga menunjukkan harapan cerah, malah semakin dalam keadaan ketidakpastian, akhirnya pada 17 Jun 1895, Gabenor mengarahkan Clifford kembali ke Pahang. Ekspedisi yang menelan belanja RM 7,393.83 itu telah gagal dalam tujuan utamanya, tetapi menurut Wise (pegawai Inggeris yang terbunuh dalam pertempuran merebut kembali kubu Jeram Ampai pada 29hb Jun, 1894) bahawa ia telah memberikan maklumat yang berguna kepada Inggeris mengenai Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun dalam tahun 1896 Duff (Superintenden Polis Pahang) dalam laporannya menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin pejuang Pahang yang melarikan diri, Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela, Imam Perang Yusof, Teh Ibrahim dan Awang Nong telah diperangkap oleh Siam dalam satu jamuan yang sengaja mereka (pihak Siam) adakan. Di dalam sekapan ini dikatakan pahlawan Mat Kilau telah terbunuh, dan yang lainnya dibawa ke Chieng Mai. Laporan Duff ini disokong oleh hasil penyelidikan wakil Konsul British di Siam, Archer, berdasarkan kepada siasatannya ke atas adik Mat Kilau, Teh Ibrahim.

Antara lain, Teh Ibrahim menyatakan,

..The Siamese would not let us go; and, fearing probably that we would escape, they invited us to a banquet, and suddenly attacked and arrested us while we were eating. 1 was seriously hurt, and have, as you see, still the marks of about ten wounds in my head. My elder brother Mat Kilau was killed at the time, as also others of my relations.

Kemunculan Mat Kilau

Bagaimanapun, tidak terdapat sumber yang pasti mengenai hal itu dan mengenai kematian Mat Kilau. Dalam bulan Disember 1969, Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar.

Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau, maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar Jerantut. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Quran dan kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Mat Kilau

Mat Kilau

Pengisytiharan ini telah menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, YAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth.

Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Walau bagaimanapun fakta ini dipertikaikan kerana tiada dokumen untuk mengesahkan usia beliau.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dato_bahaman-800px
Sejarah

Dato’ Bahaman Menawan Semula Lubuk Terua

09 Mac 1892 – Pada tahun 1892, Dato’ Bahaman atau Orang Kaya Semantan, menyerang dan menawan semula Lubuk Terua (satu tempat yang termasuk di dalam wilayahnya) dari kekuasaan Inggeris.

Meletusnya penentangan Dato’ Bahaman secara aktif terhadap Inggeris adalah akibat dari tindakan C.E.B. Desborough (Pemangku Pemungut Hasil Semantan) menangkap tiga orang pengikut Dato’ Bahaman dengan tuduhan mengumpul hasil hutan tanpa izin. Penangkapan itu dilakukan ketika Desborough dan Townson (Merinyu Lombong) mengiringi satu pasukan Polis untuk memperkuatkan Balai Polis di Lubuk Terua, dan membawa ketiga-tiga tawanan itu untuk diadili.

dato_bahaman-1

Dato’ Bahaman

Menyedari tentang hal itu, Dato’ Bahaman yang memang menentang keras pembinaan balai Polis di kawasannya itu dan percaya bahawa pasukan itu datang untuk menangkap beliau, telah menyerang pasukan Desborough, dan berjaya, membebaskan orang-orangnya. Selepas itu Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya menawan Balai Polis Lubuk Terua dan memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan dan barangan kepunyaan Syarikat Lombong bijih Bentong dan Raub.

Sebelumnya, Dato’ Bahaman memang memusuhi Inggeris kerana menyekat dan menuduh beliau (dalam tahun 1889) memungut cukai secara haram dan memberi amaran, bahawa penerusan memungut cukai secara tradisi adalah dilarang sedangkan itu adalah hak tradisi beliau sebagai pembesar di daerahnya. Inggeris juga menuduh beliau (pada tahun 1890) menulis surat kepada Residen Selangor, W.E. Maxwell meminta supaya Semantan disatukan dengan Selangor.

Bagaimanapun, kejayaan Dato’ Bahaman itu hanya sementara kerana tidak lama kemudian pihak Inggeris mengambil tindakan balas dengan menghantar satu pasukan seramai 300 orang yang diketuai oleh Tengku Ali, Hugh Clifford dan E.A. Wise (Majistret di Temerloh).

Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa mengundurkan diri sebagai satu strategi untuk melanjutkan penentangannya. Penentangan beliau itu ternyata telah merebak ke seluruh Pahang dengan melibatkan banyak lagi tokoh yang seperjuangan dengan beliau seperti anaknya Mat Kilau, Panglima Muda Jempul, Tok Gajah, Tok Jelai, Mat Kelubi dan lain-lain.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
the-eruption-800px
Sejarah

Serangan Inggeris Ke Atas Jeram Ampai

29 Jun 1894 – Dalam tahun 1894 sepasukan Polis kerajaan Inggeris telah menyerang sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang.  Pasukan Polis ini terdiri dari Polis Sikh Perak, Polis Sikh Selangor dan beberapa orang polis Melayu.

dato_bahaman-1

Dato’ Bahaman

Kumpulan ini adalah sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Pahang yang dipimpin oleh Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi. Dalam serangan tersebut seorang Pegawai Inggeris bernama Wise (Pemangku Penguasa Ulu Pahang) dan empat orang polis Sikh telah terbunuh manakala di pihak penentang-penentang pula dilaporkan 40 orang terbunuh.

Serangan ke atas kumpulan penentang-penentang di Jeram Ampai ini merupakan tindakbalas pihak Inggeris terhadap ancaman terbaru penentang-penentang di mana pada 14hb Jun mereka telah menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis Sikh. Kemudiannya mereka telah berundur ke Jeram Ampai iaitu empat batu dari Kuala Tembeling dan mendirikan benteng-benteng pertahanan.

Tok_gajah-1

Tok Gajah

Pada 18hb Jun, Walter Egerton, Pemangku Residen Pahang dengan sepasukan Polis Sikh telah berkejar ke Kuala Tembeling. Pada 28hb Jun pasukan ini disertai pula oleh pasukan-pasukan Polis Perak, dan Selangor yang diketuai oleh Penolong Penguasa Stewart, Leftenan Kolonel Walter, Kapten Lyons dan Kapten Talbot.

Peristiwa Jeram Ampai ini adalah merupakan salah satu daripada beberapa insiden dalam sejarah penentangan pejuang-pejuang pembebasan Pahang terhadap Inggeris di Pahang. Ekoran daripada peristiwa ini Huge Clifford iaitu Residen British di Pahang telah melancarkan gerakan besaran-besaran memburu mereka hingga ke Negeri Terengganu dan Kelantan.

mat-kilau

Mat Kilau

Gerakan ini dimulakan pada 4hb Julai, 1894 setelah Clifford mengambil alih pemerintahan dari Egerton pada 3hb Julai,1894. Gerakan  yang menelan belanja sebanyak RM 7,393.83 dihentikan pada bulan November 1895 apabila Dato’ Bahaman, Awang Nong, Yusuf, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahit dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada Kerajaan Siam tetapi diberi perlindungan dan ditempatkan di Chiang Mai pada awal 1896 manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan telah meninggal dunia di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mat_kilau-800px
Sejarah

Mat Kilau Menyerang Kuala Tembeling

14 Jun 1894 – Pada tahun 1894, Mat Kilau Pahlawan Melayu Pahang yang tersohor yang juga anak kepada pahlawan Tok Gajah, telah menyerang pasukan tentera Inggeris di Kuala Tembeling.

Serangan ini mendapat sokongan senjata dan tenaga daripada Terengganu dan Kelantan. Mat Kilau Menyerang Kuala Tembeling kerana tidak mahu menyerah diri kepada pihak Inggeris.

mat-kilau

Mat Kilau

Pada bulan Oktober 1892, Pentadbiran Inggeris di Pahang telah membuat pengumuman pengampunan beramai-ramai kepada pahlawan-pahlawan Melayu Pahang yang menentang Pentadbiran Inggeris.

Serangan di Kuala Tembeling ini merupakan antara beberapa siri penentangan yang dilancarkan oleh Mat Kilau untuk menghapuskan penjajahan Inggeris. Mat Kilau dan pasukannya telah memperolehi kejayaan dalam serangan di Kuala Tembeling ini.

Semangat perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu tulin ini telah membuahkan hasil dengan kejayaan penduduk Tanah Melayu membebaskan diri daripada belenggu penjajahan dengan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard