selat_teberau-800px
Sejarah

Penandaan Sempadan Malaysia-Singapura

12 Mac 1980 – Pada tahun 1980 kerja-kerja penandaan sempadan Malaysia-Singapura di perairan Selat Tebrau telah dilaksanakan bersama oleh Malaysia dan Singapura. Sebuah kapal K.D.Mutiara telah mengambil bahagian dalam kerja-kerja pengukuran peringkat pertama di Arongan Nenas, Selat Tebrau. Kerja-kerja pengukuran dan penandaan tersebut telah dijalankan bersama oleh para pegawai dan kakitangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pelabuhan Singapura.

Pada peringkat pertama kerja-kerja pengukuran ini akan meliputi kawasan enam batu sekitar Arongan Nenas yang dijangka dapat disiapkan dalam masa 10 hari. Syahbandar Johor Kapten Hamzah Mohd. Nor yang turut menjalankan kerja-kerja pengukuran itu menasihatkan pengguna-pengguna arongan tersebut supaya menjaga keselamatan mereka semasa kerja-kerja dijalankan.

K.D.Mutiara

K.D.Mutiara

Kerja-kerja pengukuran sempadan bersama ini dibuat sesudah mesyuarat antara Malaysia dan Singapura pada bulan Januari dan bersetuju terhadap program pengukuran sempadan ini. Persetujuan yang dicapai untuk meletakkan sempadan baru di antara kedua negara berpandukan perjanjian kawasan perairan Negeri-negeri Selat 1927. Kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan Malaysia-Singapura ini akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka mengambil masa selama satu tahun.

Peringkat pertama yang bermula ini ialah di kawasan Arongan. Peringkat kedua daripada Arongan Nenas hingga ke Tambak Johor. Kawasan Arongan dipilih sebagai peringkat pertama kerana ianya begitu sibuk dengan lalulintas dan kerja berhampiran dengan hubungan Sembawang, Singapura dan Pasir Gudang, Johor.

Dengan bermulanya kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan Malaysia-Singapura ini akan memudahkan lagi mengenal pasti sempadan kedua-dua negara oleh para nelayan dan pengguna-pengguna jalan laut amnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
HMS_Swale_K217-800px
Sejarah

Penubuhan Tentera Laut Malaya

21 Disember 1948 – Pada tahun 1948, Ordinance menubuhkan Tentera Laut Malaya (Malayan Naval Force) telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Singapura. Ordinance ini dibentangkan oleh Setiausaha Tanah Jajahan Encik P.A.B Mc Kerron. Menurut beliau Tentera Laut Malaya ini akan berusaha melatih seramai 750 orang anggota menjelang 1951 sebagai teras kepada angkatan ini.

tldm logo

Buat permulaannya Tentera Laut Malaya akan dibiayai oleh Tabung Pertahanan Singapura. Ianya juga akan memohon bantuan daripada British Royal Navy terutama dalam bidang teknikal, peralatan, latihan dan menggunakan kapal British Royal Navy.

Penubuhan Tentera Laut Malaya memang kena pada tempatnya di waktu dunia masih lagi bergolak selepas Perang Dunia Kedua, tambahan pula Malaya dan Singapura dikelilingi oleh lautan yang sudah pasti sentiasa terdedah pada musuh. Ianya juga memberi peluang golongan muda memasuki Angkatan Laut ini bukan sahaja untuk mempertahankan negara tetapi sebagai menunjukkan semangat patriotisme.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Crest_of_the_Royal_Malaysian_Navy-800px
Sejarah

Kapal Darlaston (MAHAMIRU) – Hadiah Kerajaan British Kepada Tentera Laut Diraja Persekutuan

24 Mei 1960 – Pada tahun 1960, Kerajaan British telah menghadiahkan sebuah kapal penyapu periuk api Darlaston kepada Angkatan Laut Diraja Persekutuan Tanah Melayu. Kapal itu yang sekarang diberi nama ‘Mahamiru’ akan merupakan kapal terbesar dan paling lengkap di antara sebelas buah kapal penyapu periuk api dan kapal peronda yang dipunyai oleh Angkatan Laut Diraja Malaysia.

Upacara penyerahan kapal tersebut telah berlangsung di Naval Base, Singapura dengan dihadiri oleh Pemangku Perdana Menteri Persekutuan, Tun Abdul Razak bin Hussein; Kepala Staf Angkatan Bersenjata Persekutuan, Leftenan General Sir Rodney Moore; Pegawai Pemerintah Angkatan Laut, Captain W.J. Dovers; Laksamana Muda R.E Portlock selaku Kepala Staf Panglima Agong Daerah Timor Jauh dan juga Kapten Kapal yang baharu, Leftenan Komander M. Roden.

Dalam ucapan terima kasih kepada kerajaan British, Tun Abdul Razak yang juga merangkap Menteri Pertahanan Persekutuan menyatakan harapannya agar Mahamiru dapat berganding bahu dengan kapal-kapal Angkatan Laut lainnya dalam usaha mengawal wilayah perairan Persekutuan Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1917_HMS_Laburnum-bw-800px
Sejarah

Penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia

27 April 1934 – Penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bermula dengan pengambilan orang-orang Melayu pada tahun 1934 untuk berkhidmat sebagai anggota simpanan dengan Tentera Laut British.

Sehubungan itu, Kanun Straits Settlement No 3 tahun 1934, memberi kuasa untuk menubuhkan ‘The Straits Settlement Royal Naval Volunteer Reserve’ (SSRNVR).

Pasukan pertama SSRNVR ditubuhkan pada 27 April 1934 dan pasukan kedua ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1939. SSRNVR kemudian dikenali sebagai Malayan Royal Navy Volunteer Reserve (MRNVR).

Keanggotaan pasukan simpanan ini ialah seramai 650 laskar terdiri daripada anak tempatan dan 158 pegawai Inggeris. Untuk memperkuatkan pertahanan perairan Tanah Melayu, pihak British menubuhkan ‘Royal Navy Malay Section’.

Selepas tamat perang, MRNVR dibubarkan pada 26 Februari 1946 dan Royal Malay Navy dibubarkan pada 27 April 1947.

Pada 21 Januari 1948 Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura memeterai satu perjanjian untuk menubuhkan sebuah pasukan tentera bagi membendung ancaman komunis.

Pada 24 Disember 1948, Majlis Perundangan Singapura mewartakan ‘The Malayan Naval Force Regulation 1949’ dan mengesahkan penubuhan pasukan ‘Malayan Naval Force’ (MNF).

Pada bulan Ogos 1952, Ratu Elizabeth II mengurniakan gelaran Diraja kepada MNF, menjadikan MNF dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaya.

Pada 16 September 1963, Tentera Laut Diraja Malaya dinamakan sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia setelah pembentukan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Kapal Pertama Angkatan Laut Malaya – HMS Pelandok

08 April 1949 – Pada tahun 1949, Gabenor Singapura, Sir Franklin Gimson, yang mewakili Angkatan Laut Malaya telah menerima kapal pertama Angkatan Laut Malaya yang diberi nama HMS Pelandok. Sir Franklin telah menerima kapal itu dari Pegawai Pemerintah Kawasan Malaya, Laksamana Clifford Caslon. Kapal itu yang panjangnya 60.96 meter, lebar 10.6 meter dan berat 306 tan metrik merupakan kapal yang pertama telah diterima oleh Angkatan Laut Malaya dari kerajaan British. Upacara penerimaan kapal tersebut telah diadakan dalam satu upacara yang penuh bersejarah di Red House Jetty di Pangkalan Laut, Singapura.

tldm logo

HMS Pelandok asalnya adalah sebuah kapal jenis ‘Landing Craft Tank’, kepunyaan Tentera Laut Diraja British yang telah di bawa ke Singapura, semasa berlakunya peperangan Dunia Kedua. Kapal itu kemudiannya telah diubahsuai semula mengikut kehendak pihak kerajaan sesuai dengan tugas yang akan dilakukannya di perairan Tanah Melayu dan Singapura.

Nama HMS Pelandok yang digunakan bagi kapal tersebut adalah sebagai mengambil kenangan dari sebuah pangkalan yang pernah digunakan oleh Tentera Laut Diraja British ‘Cawangan Melayu’ semenjak tahun 1939. Pangkalan tersebut musnah semasa berlakunya peperangan dunia kedua akibat serangan oleh pasukan tentera udara Jepun pada 11 Februari 1942 di Singapura.

Bagaimanapun pada 31 Ogos 1958, semua kapal-kapal yang dimiliki oleh Tentera Laut telah dinamakan semula dengan mengambil nama-nama negeri yang terdapat di Tanah Melayu. MS Pelandok turut terlibat di mana namanya telah ditukarkan dengan nama MS Sri Perlis.

Setelah berkhidmat dengan tentera laut hampir sepuluh tahun iaitu dari 1949 hingga 1959, HMS Pelandok atau HMS Sri Perlis tidak sesuai lagi dengan perkembangan dan pembangunan angkatan laut pada masa itu. Oleh itu untuk mengingati namanya maka sebuah Pusat Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia telah dinamakan KD Pelandok yang berpangkalan di Lumut, Perak.

Sumbangan kapal pertama HMS Pelandok kepada Angkatan Laut Malaya pada hari ini dalam tahun 1949, telah membantu perkembangan Tentera Laut Diraja Malaysia dan kini telah diperlengkapkan dengan kapal-kapal yang moden dan berkeupayaan untuk mengawal perairan Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tldm-800px
Sejarah

Kapal Penggempur Terlaju Di Dunia Ditauliahkan Kepada Tentera Laut Diraja Malaysia

21 November 1967 – Pada tahun 1967, Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra, telah menyampaikan tauliah kepada 3 buah kapal penggempur laju Tentera Laut Diraja Malaysia, iaitu K.D. Pendekar, K.D. Handalan dan K.D Gempita di Pelabuhan Klang.

Ketiga-tiga buah kapal penggempur tersebut adalah dari jenis kapal-kapal penggempur yang terlaju di dunia. Kapal yang berharga $6 juta setiap sebuah itu boleh berlayar hingga kira-kira 96 kilometer/ jam dan boleh digunakan sebagai kapal pembedil, kapal pemasang periuk api dan juga sebagai kapal pembawa torpedo.

Di dalam ucapannya sempena upacara penyampaian tauliah tersebut, Tunku menyatakan bahawa TLDM yang kini mempunyai 40 buah kapal dan 3,000 orang kakitangan, akan diperbesarkan secara berperingkat sehingga mempunyai kira-kira 200 buah kapal dari berbagai jenis dan jumlah kakitangannya akan ditambah.

Upacara menyampaikan tauliah kepada 3 buah kapal penggempur laju TLDM pada hari ini dalam tahun 1967, adalah sebahagian dari usaha kerajaan untuk membesarkan lagi angkatan TLDM di dalam usaha mengawasi ancaman melalui laut, menyekat kegiatan penyeludupan dan melindungi nelayan-nelayan kita. Usaha ini penting memandangkan Malaysia mempunyai kawasan pantai yang panjang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
scorpene_Tunku_Abdul_Rahman-800px
Sejarah

Kapal Selam Pertama Negara Secara Rasmi Dinamakan Kd Tunku Abdul Rahman

23 Oktober 2007 – Pada tahun 2007 Kapal selam pertama negara, Scorpene secara rasmi dinamakan Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia pertama yang juga Bapa Kemerdekaan. Nama Tunku Abdul Rahman dipilih daripada sebanyak 801 cadangan nama daripada lebih 3,000 rakyat Malaysia yang menyertai pertandingan menamakan kapal selam tersebut sebelum ini.

Scorpene_Tunku_Abdul_Rahman

Scorpene Tunku Abdul Rahman

Penamaan kapal selam buatan Perancis dan Sepanyol itu disempurnakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu majlis di Limbungan DCN Shipyard International (DCNS) di Cherbourg, Perancis dengan melepaskan botol kristal mengandungi air Yasin pada kapal selam tersebut. Turut menyaksikan acara bersejarah itu ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Scorpene_Tun_Razak

Scorpene Tun Razak

Kehadiran kapal selam itu merupakan era baru kepada Malaysia bukan sahaja dalam konteks untuk mempertahankan kedaulatan negara malah menjamin keselamatan serantau terutama di perairan Selat Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard