telefon_lama-800px
Sejarah

Hubungan Telefon Antara Tanah Melayu Dengan London Dimulakan

22 Mei 1950 – Pada tahun 1950 satu era baru dalam bidang telefon telah bermula di Persekutuan Tanah Melayu dan London, melalui Singapura. Pihak BBC telah memasang alat perhubungan khas tersebut di Singapura dengan tujuan program Perkhidmatan Penyiaran Timur jauhnya.

Pada tahun 1939 perkhidmatan seperti ini pernah digunakan di Stesen Radio Jalan Cochrane Kuala Lumpur ke Bandung, di Indonesia. Stesen Bandung pula menerima panggilan dari London melalui Amsterdam. Perkhidmatan ini terus berjalan sehingga timbulnya perselisihan faham antara Kerajaan Indonesia dengan Britain pada tahun 1939.

telefon

Atas sebab-sebab keselamatan perkhidmatan ini terpaksa dihentikan. Setelah dihentikan, usaha-usaha lain telah dijalankan untuk menghidupkan semula perkhidmatan tersebut. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1950 perhubungan telefon di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan London telah disambung semula melalui Singapura.

Hubungan telefon di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan London ini telah dibahagikan kepada panggilan persendirian, panggilan rasmi, dan panggilan perniagaan. Kemajuan Perkhidmatan ini dapat dilihat 6 tahun kemudian iaitu pada tahun 1956 apabila sebanyak 19,500 panggilan luar negeri telah dapat dikendalikan.

Pada tahun 1957 angka ini telah meningkat lagi kepada 24,000 panggilan. Perkhidmatan telefon yang disambung semula pada hari ini dalam tahun 1950, telah menjadikan perhubungan telefon satu alat yang penting untuk berkomunikasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
telegraf-800px
Sejarah

Litar Telegraf Pertama Di Negeri-Negeri Melayu

16 April 1876 – Pada tahun 1876, Perhubungan telekomunikasi pertama telah diadakan dengan pemasangan litar telegraf pertama di Kuala Kangsar, Perak. Litar sepanjang 39.2 kilometer ini telah dipasang bagi menghubungkan Pejabat Residen British di Kuala Kangsar dan Pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke Pejabat Majistret di Matang. Penggunaan litar telegraf ini diperlukan untuk membantu mempercepatkan Residen dalam mengendalikan urusan pentadbirannya serta menyokong pembangunan kegiataan ekonomi yang berkembang pesat di Taiping pada ketika itu.

Berikutan daripada pengenalan talian telegraf pertama ini, Jabatan Pos dan Telegraf telah diwujudkan pada tahun 1882 dan diletakkan di bawah kawalan juruaudit negeri. Lanjutan daripada itu juga sistem perhubungan dan telekomunikasi telah berkembang lagi dengan pemasangan ibusawat pertama di Kuala Lumpur pada tahun 1891.

Pada tahun 1930 ibusawat automatik telah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah dan ianya telah ditempatkan di bangunan Ibusawat Melayu Telefon di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sekarang.

Sistem telekomunikasi negara telah berkembang dengan pesatnya selepas negara mencapai kemerdekaan sejajar dengan pembangunan dan perkembangan dunia telekomunikasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Jabatan_Telekom_Malaysia-800px
Sejarah

Jabatan Telekom Ditubuhkan

01 April 1946 – Pada tahun 1946, Jabatan Telekom ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan telefon dan telegraf yang lebih sempurna bagi keperluan di dalam dan ke luar negeri. Sebelum ini perkhidmatan telekom yang merangkumi perkhidmatan telegraf, telefon dan radio bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat adalah dibawah tanggungjawab Jabatan Pos dan Telegraf.

Kemajuan dan perkembangan perkhidmatan telekom telah bermula sebelum perang dunia kedua lagi di bawah pentadbiran seorang Pengarah Telekom. Sementara perkhidmatan pos dan telekom yang diletakkan di sebuah pejabat yang sama adalah dibawah tanggungjawab Ketua Pengarah Pos dan Telegraf. Selepas Perang Dunia Kedua, Perkhidmatan Pos dan Telekom telah diasingkan.

Telefon Lama - Sumber : Muzium Telekom

Telefon Lama – Sumber : Muzium Telekom

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1946, Jabatan Telekom telah ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Ketua Pengarah. Jabatan ini telah dikemaskinikan untuk menyelaraskan perancangan dan projek. Disamping itu jabatan ini bertanggungjawab membekalkan alat-alat serta bahan kepada bahagian pentadbiran kewangan yang mempunyai fungsi-fungsi pengurusan kepada Jabatan Telekom Singapura.

Walaupun Singapura mempunyai Jabatan Telekom yang tersendiri selepas Perang Dunia Kedua, kerjasama antara Jabatan Telekom Persekutuan dengan Jabatan Telekom Singapura wujud dalam bentuk perlaksanaan polisi jabatan dan pentadbiran. Manakala ibu pejabat teknikal di Kuala Lumpur adalah dibiayai bersama oleh kedua belah pihak.

Perkhidmatan Telekom di Persekutuan Tanah Melayu dibahagikan kepada beberapa kawasan iaitu:

  • Kawasan Utara meliputi Pulau Pinang, Province Wellesley (Seberang Perai) dan Kedah
  • Kawasan Barat Daya meliputi negeri Perak dan Cameron Highlands
  • Kawasan Barat meliputi negeri Selangor dan Negeri Sembilan kecuali kawasan Tampin
  • Kawasan Timur meliputi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu
  • Kawasan selatan yang meliputi negeri Johor, Melaka dan Tampin

Kawasan-kawasan ini kemudiannya dibahagikan kepada beberapa daerah yang ditadbirkan oleh Penolong Penguasa Telekom yang bertanggungjawab kepada Penguasa Telekom di kawasan-kawasan tersebut. Apabila sistem ahli dibentuk pada bulan April 1951 di Persekutuan Tanah Melayu, Jabatan Telekom telah diletakkan di bawah portfolio ahli bagi Tanah, Galian dan Pengangkutan.

Selepas tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Jabatan ini adalah bertanggungjawab kepada Kementerian Kerja raya, Pos dan Telekom dan pada masa kini Jabatan Telekom adalah di bawah Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard