tabung_haji_logo-800px
Sejarah

Perletakan Batu Asas Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji (LUTH)

15 Januari 1982 – Pada tahun 1982, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, telah meletakkan batu asas bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Di dalam ucapannya Perdana Menteri, menyatakan bahawa dengan pembinaan bangunan ini, menandakan satu kemajuan yang telah dicapai oleh LUTH sejak penubuhannya pada awal tahun 60-an serta menjadi lambang kepada ketelitian dan kededikasian pengurusan LUTH sehingga dapat membawa institusi ini ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

tabung haji

Bangunan yang mendapat sentuhan arkitek terkenal Hijaz Kasturi ini telah dibina di kawasan seluas 600 000 kaki persegi dengan konsep binaan bangunan yang bulat tinggi dan tirus di bahagian tengah serta berbentuk kembang ke bawah. Binaan ini bertujuan mendapatkan ruang yang lebih untuk melicinkan pergerakan kenderaan, sementara binaan kembang di bahagian atas pula adalah untuk mengimbangi seluruh bentuk bangunan di samping menimbulkan kehebatan binaannya.

banggunan_tabung_haji_malam_640

Banggunan Lembaga Urusan Tabung Haji. | Foto kredit : Jeffrey

Banggunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan dan Tabung Haji yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ini mempunyai ketinggian 152 m. Ia mempunyai 38 tingkat dan di buka pada tahun 1984.

Bangunan ini telah dirasmikan pembukaannya pada 19 September 1985 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tabung_haji_logo-800px
Sejarah

Akta Baru Tabung Haji Dikuatkuasakan

01 Jun 1995 – Pada tahun 1995, akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama. Nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997, dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan nama menggantikan perkataan Tabung Haji.

Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan dibawah Akta 8/1969 pada 8 Ogos 1969 dan sejarah penubuhan Tabung Haji bermula apabila Profesor Ungku Aziz mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada Kerajaan pada bulan Disember 1959. Beliau mengesyorkan penubuhan satu perbadanan untuk mengendalikan urusan orang-orang beragama Islam menunaikan Fardu Haji.

Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji dibentuk dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Muda Kementerian Luar Bandar, Tuan Haji Abdul Khalid bin Awang Osman. Hasil daripada perbincangan itu, ”Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji” ditubuhkan dibawah Undang-undang bil 34/62 berkuatkuasa pada 1 November 1962 dan dilancarkan pada 30 September 1963.

Pada tahun 1969 Perbadanan itu digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji yang beroperasi sejak tahun 1951 bagi mewujudkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji. Lembaga ini diwujudkan bukan sahaja bertujuan mengatasi masalah sosio ekonomi malahan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang membolehkan kaum Muslimin untuk melabur dan menyertai secara berkesan segala aktiviti ekonomi negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tabung_haji_logo-800px
Sejarah

SPB Yang Di-Pertuan Agong Merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji

19 September 1985 – DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) di Jalan Tun Razak pada tahun 1985. Bangunan setinggi 38 tingkat ini berharga RM109.4 juta sebagai menggantikan bangunan lama LUTH di Jalan Ipoh yang kini menjadi Bangunan Cawangan LUTH Wilayah Persekutuan.

tabung haji

Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji adalah satu-satunya bangunan tinggi yang unik di bandar raya Kuala Lumpur kerana reka bentuknya yang melambangkan pendekatan revolusioner dan mengandungi falsafah yang berkaitan dengan kelima-lima rukun Islam. Ibu Pejabat Tabung Haji ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti dewan serbaguna, kafeteria, pusat riadah, ruang pejabat dan ruang letak kereta bertingkat.

Selain menggunakan sendiri, pihak Tabung Haji juga menyewakan ruang pejabat di bangunan ini kepada pihak-pihak swasta sebanyak 75% ruang pejabat disewakan dengan mendapat hasil RM8.9 juta. Dengan perasmian Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji pada hari ini dalam tahun 1985 telah membuktikan kejayaan pengurusan pihak LUTH bagi meninggikan syiar dan meningkatkan penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard