reid_commision
Sejarah

Pembentukan Suruhanjaya Perlembagaan Reid

21 Mac 1956 – Pada tahun 1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dipengerusikan oleh Lord William Reid, Hakim Mahkamah Rayuan England dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William Mac Kell, Hakim Abdul Hamid dan B. Malik. Sehingga Oktober 1956, suruhanjaya ini telah menerima 131 memorandum dari pelbagai lapisan individu dan organisasi untuk dikaji.

Tempoh untuk menyiapkan draf perlembagaan ialah selama lapan bulan dan Suruhanjaya tersebut telah mengemukakannya kepada sebuah Jawatankuasa Kerja untuk diperhalusi sebelum dirujuk oleh Majlis Raja-raja untuk disahkan.

Majlis Raja-raja telah memperkenankan perlembagaan tersebut pada bulan Jun 1957 dan Majlis Perundangan Persekutuan telah menerima dan meluluskannya pada 15 Ogos 1957.

Perlembagaan tersebut telah dikuatkuasakan pada 27 Ogos dan secara rasminya dilaksanakan apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
reid_commision
Sejarah

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Telah Diluluskan

11 Julai 1957 – Pada tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan.

Usaha merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru ini telah dirangka oleh sebuah Suruhanjaya yang dibentuk hasil daripada lawatan Setiausaha Kerajaan British dan perbincangan yang telah diadakan bersama Raja-raja Melayu serta Menteri- Menteri Perikatan pada bulan Ogos 1955.

Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Lord Reid dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William Mckell, B. Malik dan Hakim Abdul Hamid telah menyediakan Kertas Putih Persekutuan Tanah Melayu No. 15 tahun 1956 dan telah diterbitkan pada 7 Mac 1956.

Antara peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan ini ialah mengenai pembentukan sebuah Kerajaan Pusat dengan kuasa autonomi diberikan kepada tiap-tiap negeri dibawah Persekutuan Tanah Melayu dan segala urusan perjalanan pentadbiran dilaksanakan secara persetujuan bersama.

Ianya juga menyatakan tentang kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Raja Berpelembagaan bagi negeri masing-masing.

Sesungguhnya, Perlembagaan yang telah diluluskan ini telah menjadi asas kepada Perlembagaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard