gerald_templer-800px
Sejarah

Sir Gerald Templer Dilantik Sebagai Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu

20 Februari 1952 – Fil Marsyal Tun Sir Gerald Walter Robert Templer S.M.N atau lebih dikenali sebagai Sir Gerald Templer telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1952. Beliau menggantikan Sir Henry Gurney yang terbunuh dalam serangan hendap pengganas komunis ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951.

gerald_templer

Semasa tempoh perkhidmatanya, beliau telah menyambung dan memperhebatkan lagi Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney bersama pengarah operasinya, Sir Harold Rowdon Briggs untuk menentang komunis. Beliau menyedari bahawa penggunaan senjata semata-mata tidak akan berjaya menentang komunis. Oleh itu beliau telah melancarkan kempen ‘memenangi hati dan fikiran rakyat’

Beliau melancarkan skim insentif untuk memberi ganjaran kepada komunis yang menyerah diri dan juga kepada sesiapa yang menggalakkan pihak komunis untuk menyerahkan diri. Beliau telah juga menawarkan ganjaran yang besar kepada mereka yang berjaya menangkap atau membunuh komunis. Tawaran terhadap Chin Peng adalah sebanyak $250 000.

Chin_Peng_wanted_by_Malaya-800px

Beliau juga mengenakan perintah berkurung dan kawalan ketat ke atas bekalan makanan untuk memaksa pengganas komunis keluar dari persembunyian. Tanaman pengganas komunis yang dijumpai akan disembur dengan racun atau dimusnahkan supaya ia tidak dapat digunakan. Beliau juga telah mengisytiharkan kawasan putih dan kawasan hitam.

Di perkampungan-perkampungan baru beliau telah menubuhkan pasukan kawalan kampung dan mengadakan catuan makanan supaya penduduk di situ tidak diugut dan tidak dapat menolong pihak komunis. Beliau juga melancarkan perkhidmatan sosial dengan membina sekolah-sekolah rendah, hospital dan klinik-klinik rawatan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

Malayan_Emergency_Bren_Gun_flyer

Banyak publisiti dibuat melalui radio dan risalah-risalah yang disebarkan ke dalam hutan untuk menggalakkan pengganas-pengganas komunis menyerah diri. Sir Gerald Templer juga telah menggalakkan kegiatan-kegiatan kebudayaan dan tradisi rakyat Tanah Melayu dalam usaha menyatukan rakyat dan menimbulkan semangat bersatu.

Pada tahun 1954, Templer meninggalkan Tanah Melayu selepas komunis gagal merampas kuasa. Beliau telah digantikkan oleh Donald MacGilivray.

Sir Gerald Templer dikurniakan darjah kebesaran tertinggi Tanah Melayu, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) dengan gelaran Tun pada 1 Ogos 1960. Pada masa itu darjah ini terhad kepada 25 orang pemegang yang masih hidup. Hutan lipur Templer telah dinamakan sempena nama beliau sebagai penghormatan di atas jasa beliau di Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
templer_park-4-800px
Sejarah

Taman Rimba Templer Diwartakan Oleh Kerajaan Negeri Selangor

11 Februari 1955 – Templer Park atau lebih dikenali sebagai Taman Rimba Templer dibuka oleh Sir Gerald Templer pada tahun 1954. Pada hari ini Taman Rimba Templer Diwartakan Oleh Kerajaan Negeri Selangor yang terletak di bawah Warta Kerajaan No. 104-1955, Kawalan dan Pemeliharaan Alam Semulajadi.

Satu jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai Jabatan Pertanian dan Perhutanan telah ditubuhkan untuk memelihara dan memajukan kawasan taman tersebut. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri.

templer_park-2

Pada Oktober 1955, sebuah badan sukarela iaitu “Persatuan Sahabat Taman Templer” (Friends of Templer Park) telah mengambil alih peranan mengurus dan memelihara taman tersebut.

Pada tahun 1957 Taman Rimba Templer telah diletak dibawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Persatuan Sahabat Taman Templer pula berperanan sebagai agen pada kementerian tersebut untuk membangunkan Taman Rimba Templer.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1st_Batalion-Rejimen-Persekutuan-800px
Sejarah

Penubuhan Batalion Pertama Regimen Persekutuan

16 Disember 1953 – Dalam tahun 1953, Batalion Pertama Regimen Persekutuan telah ditubuhkan dengan rasminya bersempena dengan perbarisan ulungnya di Taiping, Perak. Upacara berwarna-warni ini telah mencatatkan satu detik yang bersejarah ke arah perkembangan angkatan tentera yang menjadi benteng pertahanan di negara ini.

General Sir Gerald Templer yang merupakan ‘bapa’ kepada regimen ini tidak dapat turut bersama di hari yang bersejarah ini kerana uzur. Beliau telah diwakili oleh General Sir Hugh Stockwell yang telah menerima tabik kehormatan dan membaca perutusan Sir Gerald Templer.

Di dalam perutusannya, Sir Gerald Templer antara lain telah mengingatkan anggota-anggota tentera bahawa tingkah laku, disiplin dan keberanian mereka adalah perkara yang penting yang mempengaruhi keadaan negara ini yang sedang menuju ke arah kemajuan dan pembentukan identitinya.

Batalion Pertama Regimen Persekutuan ini merupakan pasukan tentera yang julung-julung kalinya dianggotai oleh semua kaum. Anggota- anggotanya terdiri dari 40 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan 20 peratus India serta kaum-kaum lain. Kumpulan pelatih pertama seramai 140 orang mula menjalani latihan dalam bulan September 1952. Jurulatihnya dipinjam dari Pasukan Tentera British dan Pasukan Askar Melayu. Seramai 440 orang anggota lain-lain pangkat telah menyertai perbarisan tamat latihan ini. Pegawai Pemerintah Pertama bagi Batalion ini ialah Leftenan Kolonel T. H. Trevor.

Upacara perbarisan dan penubuhan Batalion Regimen Persekutuan ini sesungguhnya merupakan satu catatan bersejarah dalam perkembangan angkatan tentera di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Lambang Persekutuan Tanah Melayu Yang Baru Diwartakan.

30 Mei 1952 – Raja-raja Negeri Melayu telah memperkenankan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang baru diwartakan pada 1952. Hal ini telah dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan iaitu Jeneral Sir Gerald Templer di Kuala Lumpur.

Reka bentuk lambang baru tersebut telah diusahakan oleh Jabatan Ukur bersama dengan Raja-raja Melayu dan Sir Henry Gurney. Ia menggunakan enam warna. Dalam lambang Persekutuan itu terdapat bintang pecah sebelas, yang mewakili 11 negeri dan bulan sabit melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi. Lima bilah keris di bawahnya menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Di kirinya lambang Negeri Pulau Pinang – Prince Of Wales yang berlatarkan ombak laut. Di kanannya pula lambang Gerbang Kota Santiago yang mewakili Negeri Melaka. Kedua negeri dipisahkan oleh warna hitam, merah dan kuning yang merupakan warna-warna berasingan bagi Negeri-negeri Bersekutu.

Lambang harimau merupakan lambang yang digunakan bagi Negeri-negeri Melayu sejak sebelum perang lagi. Lambang Persekutuan yang baru ini telah menjadi lambang kemegahan dan menjadi tanda Persekutuan Tanah Melayu sehingga selepas kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
templer_park-3
Sejarah

Pembukaan Taman Rimba Templer

19 Mei 1954 – Templer Park atau lebih dikenali sebagai Taman Rimba Templer terletak di utara Kuala Lumpur. Ia boleh dikunjungi dengan melalui jalan lama Kuala Lumpur-Ipoh. Pembukaan Taman Rimba Templer telah dilakukan oleh Sir Gerald Templer.

Kawasan Taman Rimba Templer ini adalah hadiah dari Kerajaan Selangor dan merupakan taman negara yang pertama. Namanya diambil sempena nama Sir Gerald Templer yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

templer_park

Pada awal pembukaannya, kawasan ini diletakkan di bawah jagaan ahli bagi Sumber Alam Semula Jadi. Kerja-kerja penyediaan taman ini dilakukan oleh satu Jawatankuasa yang dipengurusikan olah Tun Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman dan ahli-ahlinya terdiri daripada para pegawai Jabatan Pertanian dan Perhutanan.

Hutan simpan seluas 1,214 hektar yang kaya dengan keindahan alam ini membentuk kawasan hijau bagi penduduk bandar, ia menarik para pencinta alam, jurugambar, dan beriadah. Pada hari perasmian tersebut, Sir Gerald Templer sempat meninjau kawasan seluas 50 ekar yang telah mula dibuka kepada orang awam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
panji_RAMD
Sejarah

Batalion Ke-3 Askar Melayu Menerima Panji-Panji

18 April 1952 – Pada tahun 1952, Batalion ke-3 Askar Melayu telah menerima panji-panji dari Pesuruhjaya Tinggi Malaya, General Sir Gerald Templer dalam satu ucapan khas bertempat di Kota Bharu, Kelantan. Turut hadir dalam ucapan penuh gemilang ini ialah DYMM Sultan Kelantan dan DYMM Sultan Pahang, Tengku Mahkota, Penasihat British bagi negeri Kelantan dan Terengganu iaitu Brigadier Andre, Raja Perempuan Kelantan, Lady Templer dan anak perempuannya, Hakim Malaya C.H. Whitton.

Batalion ke-3 Askar Melayu itu telah ditubuhkan pada September 1948 dengan Leftenan Kolonel Walton ditugaskan sebagai Pegawai Pemerintah yang dilantik pada bulan Oktober 1948. Beliau kemudiannya telah ditukarkan ke negeri Kelantan pada bulan Februari 1949.

Rejimen Askar Melayu Diraja

Dalam ucapan penyerahan panji-panji tersebut General Sir Gerald Templer memuji pasukan itu yang telah berjaya dalam operasi-operasi yang ditugaskan sehingga mendapat penghormatan menerima panji-panji. Walaupun batalion itu baru ditubuhkan 4 tahun yang lalu, tetapi ia telah banyak menyumbangkan jasa dan baktinya kepada negara terutama dalam usaha menentang pengganas-pengganas komunis yang telah mengancam ketenteraman negara.

Beliau juga menasihatkan agar perajurit-perajurit sentiasa berwaspada dalam menjalankan tugas mereka dan menjadikan upacara penganugerahan panji-panji ini sebagai satu penghormatan kepada perajurit-perajurit yang telah terkorban khasnya dan kejayaan yang harus dibanggakan oleh batalion ke-3 Askar Melayu amnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_parlimen-800px
Sejarah

Cokmar Dipersembahkan Di Majlis Perundangan Persekutuan

19 Mac 1952 – Pada tahun 1952, buat pertama kalinya cokmar dipersembahkan di Majlis Perundangan Persekutuan. Cokmar itu akan dipersembahkan oleh wakil Raja-raja Melayu di upacara pembukaan persidangan Majlis Perundangan yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi, Sir Gerald Templer.

cokmar

Cokmar itu diperbuat di Kota Bharu, Kelantan dengan bantuan Persatuan Seni Kraf Kelantan. Bentuk cokmar adalah hasil karya Encik Nik Mahmud bin Idrus dari Jabatan Pelajaran negeri Kelantan. Ianya diperbuat daripada emas dan perak; panjangnya 4 kaki berbentuk tongkat berkepala besar.

cokmar_dewan_negara

Foto : FB Parlimen Malaysia

Di atas kepala tongkat itu terukir daripada emas bentuk bulan sabit dengan bintang pecah sebelas sebagai simbol sebelas buah kerajaan yang membentuk Kerajaan Persekutuan. Di sekeliling bulatan kepala cokmar diterapkan dalam nama emas, lambang sembilan buah negeri Persekutuan dan dua buah negeri Selat.

cokmar_dewan_rakyat

Foto : FB Parlimen Malaysia

Kepala cokmar ditanggung oleh empat lembaga kepala harimau, manakala bahagian tongkat dihiasi dengan ukiran enam tangkai padi daripada emas sebagai simbol hasil pengeluaran negara yang utama. Di atas dua belah permukaan kepala cokmar diukir pula lambang Kerajaan Persekutuan yang bermotto “Bersatu Bertambah Mutu”. Satu kotak khas untuk menyimpan cokmar ini juga dicipta dan ianya diperbuat daripada kayu Kulim.

Cokmar yang dipersembahkan di Majlis Perundangan itu adalah merupakan simbol kuasa Kerajaan Persekutuan yang berparlimen, berdemokrasi dan berperlembagaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaya_police-800px
Sejarah

Amaran Peras Ugut Komunis

27 Ogos 1952 – Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Gerald Templer telah mengeluarkan rayuan pertama kepada seluruh penduduk negeri ini supaya bersama-sama menghancurkan taktik peras ugut komunis.

Kenyataan Sir Gerald Templer itu disebarkan ke seluruh negara dalam semua bahasa. Ia dikeluarkan ekoran dari peristiwa pembunuhan seorang penduduk kampung Permatang Tinggi, Seberang Perai.

Peristiwa tersebut adalah dipercayai dari angkara pengganas komunis. Bagaimanapun tidak seorang pun daripada kalangan penduduk kampung mahu memberitahu polis hal sebenar.

Sir_gerald_templer

Sir Gerald Templer

Pengganas komunis biasanya mengancam penduduk kampung yang tidak berdosa dan membunuh mereka jika mereka tidak membantu komunis.

Apabila mereka telah benar-benar terperangkap dan terlibat, pengganas tersebut menakut-menakutkan pula penduduk-penduduk berkenaan, bahawa kerajaan akan menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka jika mereka ditangkap.

Kenyataan oleh Sir Gerald Templer menafikan dakyah itu dan sebaliknya menjanjikan pengampunan kepada sesiapa saja yang tampil ke hadapan, membawa maklumat mengenai keganasan komunis.

Mereka termasuk mangsa-mangsa peras ugut komunis, sama ada yang telah menjadi pembekal makanan, mengutip wang atau orang suruhan pengganas.

Sir Gerald Templer juga mengingatkan seluruh penduduk akan bahaya perangkap peras ugut komunis dan mereka yang enggan memberitahu pihak polis layak dibicarakan atas kesalahan menyorokkan maklumat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1st_Batalion-Rejimen-Persekutuan-800px
Sejarah

Rang Undang-Undang Rejimen Persekutuan Diluluskan

03 Julai 1952 – Pada tahun 1952, satu Rang Undang-Undang Rejimen Persekutuan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Rang Undang-undang Rejimen Persekutuan ini bertujuan untuk memperbesarkan angkatan tentera bagi memenuhi keperluan keselamatan negara yang pada ketika itu sedang menghadapi darurat serta menjamin kedaulatan negara apabila merdeka kelak.

Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi, merangkap Pengarah Gerakan Persekutuan telah mencadangkan agar sebuah pasukan pertahanan berbilang kaum ditubuhkan. Pada ketika itu, hanya terdapat sebuah pasukan sahaja iaitu Rejimen Askar Melayu yang keanggotaannya terdiri daripada anak watan berkhidmat berjuang menentang ancaman komunis.

Berikutan daripada itu, pada September 1952 dua buah pasukan yang terdiri daripada anggota berbilang bangsa telah ditubuhkan, iaitu Batalion Pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan. Pada Januari 1960, kedua-dua rejimen telah dicantumkan dengan membawa gelaran sebagai Askar Peninjau.

Sesungguhnya, anggota keselamatan telah memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang ancaman komunis demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard