pejabat buruh bentong-800px
Sejarah

Peraturan Gaji Mengikut Undang-Undang British

16 November 1949 – Majlis Undang-undang Persekutuan telah meluluskan peraturan gaji mengikut undang-undang British kepada buruh-buruh di Persekutuan Tanah Melayu. Sebelum itu gaji-gaji bagi buruh hanya berdasarkan Peraturan Kontrak yang digunakan semenjak tahun 1909 di mana gaji yang dibayar adalah bergantung kepada peraturan-peraturan yang disyaratkan oleh majikan dan persetujuan buruh-buruh yang diambil bekerja tanpa mengutamakan kebajikan dan beban kerja yang dilakukan. Ini adalah kerana buruh-buruh yang diambil adalah bekerja secara sambilan dan dibayar upah setiap hari atau seminggu sekali.

Oleh kerana pada praktikalnya buruh-buruh yang sama terus bekerja tanpa mendapat apa-apa keistemewaan dalam hal kebajikan dari majikan, mereka menghadapi masalah jurang pembayaran upah dan beban hidup harian. Mereka pula tidak mempunyai kebebasan bersuara dan tidak boleh menjadi ahli kesatuan yang sentiasa melindungi hak-hak kebajikan pekerja. Hal-hal kebajikan mereka hanya bergantung kepada budi bicara majikan yang berbeza-beza di antara satu dengan yang lain.

pekerja

Untuk mengatasi masalah tersebut, Parlimen British telah meminda peraturan buruh dengan memperluaskan skop kebajikan kepada pekerja pada tahun 1946. Ini bermakna majikan harus menitikberatkan kebajikan pekerja dan menentukan nilai upah berdasarkan beban kerja yang dilakukan, kemudahan buruh, kemudahan asas harian dan memberi kebebasan buruh menganggotai Kesatuan Pekerja.

Dengan pindaan itu, Persekutuan Tanah Melayu yang menggunakan Undang-undang Inggeris turut berubah pada hari ini dalam tahun 1949 setelah Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu meluluskannya. Peraturan gaji mengikut undang-undang British tersebut mula berkuatkuasa dalam semua perusahan yang mengikut kontrak di Persekutuan Tanah Melayu dan juga di Singapura.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
selat_johor-1955-800px
Sejarah

Perjanjian Sempadan Perairan Singapura Dengan Johor 1927

19 Oktober 1927 – Pada tahun 1927, perjanjian sempadan perairan Singapura dengan Johor telah ditandatangani oleh Kerajaan Inggeris dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Kerajaan Inggeris telah diwakili oleh Sir Hugh Clifford, Gabenor dan merangkap Panglima Tertinggi Negeri-negeri Selat. Tujuan perjanjian ini adalah untuk menetapkan sempadan perairan di antara Pulau Singapura dengan negeri dan kawasan-kawasan jajahan negeri Johor.

Perjanjian sempadan perairan Singapura dengan Johor ini adalah lanjutan dari perjanjian yang ditandatangani pada 2 Ogos 1824, di antara Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) dengan Sultan dan Temenggung Johor. Melalui perjanjian itu EIC atau penggantinya berkuasa penuh ke atas Singapura, kawasan perairan selat serta kepulauan yang berhampiran. Dalam perjanjian ini, kerajaan Inggeris berhasrat untuk memulangkan semula kawasan perairan, selat dan kepulauan-kepulauan kecil yang tertentu kepada Kerajaan Negeri Johor.

Tambak Johor sekitar 1955

Tambak Johor sekitar 1955 | Kredit : rafchangi

Tiga fasal dari perjanjian itu menyebutkan:-

  • Fasal Pertama: Menentukan sempadan di antara kedua buah negeri iaitu berasaskan kepada tengah laut yang paling dalam di Selat Johor yang memisahkan negeri Johor dengan kawasan pantai di utara Pulau Singapura, Pulau Ubi, Pulau Tekong Kecil dan Pulau Tekong Besar. Di bahagian barat Selat Johor, sempadan adalah dari dasar tengah laut yang paling dalam di timur Pulau Merambung sehingga had 4.8 kilometer di perairan selatan Pulau Merambung. Manakala di bahagian timur Selat Johor sempadannya adalah ditandakan oleh dasar tengah laut yang paling dalam antara tanah besar negeri Johor di barat Bukit Johor dan Pulau Tekong Besar. Seterusnya melalui dasar tengah laut yang paling dalam di antara kawasan perairan cetek dengan tanah besar Johor yang kemudiannya menghala ke arah selatan sehingga 4.8 kilometer, kira-kira 307.2 kilometer dari Tanjung Sitapa.
  • Fasal Kedua: Menyatakan semua kawasan perairan yang telah diserahkan oleh Sultan dan Temenggung Johor mengikut perjanjian pada 2 Ogos 1824, iaitu kawasan dalam lingkungan 4.8 kilometer dari tanah besar negeri Johor adalah di bawah kuasa negeri Johor.
  • Fasal Ketiga: Menentukan bahawa semua kepulauan kecil yang terletak dalam kawasan perairan negeri Johor adalah diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan. Negeri Johor.

Perjanjian sempadan perairan Singapura dengan Johor berkuatkuasa setelah dipersetujui oleh Parlimen Inggeris.

Sumber : Arkib Negara

Standard
jesselton_1911-800px
Sejarah

Penukaran Nama Jesselton Kepada Kota Kinabalu

30 September 1968 – Penukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada tahun 1968. Ia merupakan kesinambungan daripada cadangan Tun Mustapha bin Datu Harun pada tahun 1966 dalam satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah.

Kota Kinabalu dinamakan sempena Gunung Kinabalu, yang terletak kira-kira 50 kilometer ke arah timur laut bandar yang menjadi mercu tanda negeri Sabah. Kinabalu berasal daripada nama Aki Nabalu. Aki pula bermaksud “datuk” dan Nabalu ialah nama untuk gunung dalam bahasa Dusun. Terdapat juga sumber yang mengatakan bahawa istilah ini berasal daripada Ki Nabalu iaitu Ki bermaksud “ada” atau “wujud”, dan Nabalu bermaksud “semangat orang mati”.

Kota ialah perkataan Melayu untuk “kubu”, “pekan”, atau “bandar”. Perkataan Kota juga digunakan secara tidak rasmi untuk merujuk kepada mana-mana pekan atau bandar. Nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kina Balu from Pinokok Valley 1862

Kina Balu from Pinokok Valley – 1862

Nama Asal Jesselton

Selain Jesselton, ada beberapa teori lain tentang nama asal Kota Kinabalu. Yang paling terkenal, seperti yang dinyatakan di atas, ialah Api-Api, atau hanya Api. Ia dinamakan seperti itu oleh penduduk tempatan, terutamanya kaum Bajau, sempena memperingati pembakaran pejabat pentadbiran British di Pulau Gaya oleh Mat Salleh, serta kejadian pembakaran lain yang biasanya dilakukan oleh lanun.

Terdapat dakwaan bahawa kawasan Kota Kinabalu sekarang sebenarnya dinamakan sempena sungai berdekatan yang dipanggil Sungai Api-Api. Selain Api-Api, satu lagi nama yang dikatakan ialah Deasoka, yang bermaksud “di bawah pokok kelapa”. Penduduk tempatan Bajau menggunakan nama ini bagi merujuk pada sebuah kampung di bahagian selatan bandar yang dipenuhi pokok kelapa.

Nama lain ialah Singgah Mata yang bermaksud “mata transit”, tetapi boleh juga diterjemahkan sebagai “menyenangkan mata”. Ia ialah nama yang diberikan oleh nelayan dari Pulau Gaya yang merujuk kepada kawasan yang hari ini merupakan pusat bandar Kota Kinabalu. Hari ini, semua nama ini digunakan sebagai nama jalan atau bangunan di sekitar bandar. Beberapa contohnya ialah Lintasan Deasoka, Api-Api Centre dan Jalan Singgah Mata.

Memorial Clock Tower Jesselton

Sejarah Awal Jesselton

Syarikat Borneo Utara British (SBUB) telah mengasaskan sebuah penempatan kecil di kawasan yang dikenali sebagai Teluk Gaya yang didiami oleh suku kaum Bajau. Petempatan pertama telah dibakar dan dimusnahkan oleh pejuang kebebasan Bajau, iaitu Mat Salleh pada tahun 1897.

Selepas kemusnahan Pulau Gaya, SBUB pada asalnya memutuskan untuk berpindah ke Teluk Gentisan pada tahun 1898. Apabila ia didapati tidak sesuai, Pesuruhjaya Tanah, Encik Henry Walker telah menggantikannya dengan sebuah tapak seluas 30 ekar dan SBUB telah berpindah ke sebuah perkampungan nelayan yang dinamakan Api-Api pada tahun 1899. Ia dipilih kerana terletak berhampiran dengan Perkhidmatan Kereta Api Borneo Utara dan merupakan pelabuhan semula jadi yang dilindungi daripada angin. Pusat pentadbiran yang baru ini dinamakan Jesselton selaras dengan nama Tuan Charles Jessel, yang merupakan Naib Pengerusi SBUB pada ketika itu.

Jesselton telah menjadi sebuah pos perdagangan utama Borneo Utara pada ketika itu dengan perdagangan getah, rotan, madu, dan lilin giat dijalankan. Keretapi baharu telah digunakan bagi mengangkut barang-barang ke pelabuhan Jesselton. Kebangkitan orang Melayu dan Bajau pada masa itu tidak begitu ketara dan SBUB juga bekerja keras untuk membanteras ancaman lanun yang telah lama berlaku di rantau ini.

Jesselton 1914

Jesselton 1914

Perang Dunia Kedua

Ketika Perang Dunia Kedua, British telah membakar bandar Jesselton untuk mengelakkannya jatuh ke tangan Jepun. Ketika pendudukan Tentera Jepun nama Jesselton telah ditukar kepada Api. Beberapa pemberontakan terhadap pentadbiran tentera Jepun berlaku ketika itu terutamanya pada 10 Oktober 1943 yang dilakukan oleh Gerila Kinabalu yang terdiri daripada penduduk tempatan. Ia dipatahkan oleh Tentera Jepun selepas pemimpinnya, Albert Kwok, ditangkap dan dihukum bunuh pada tahun 1944.

Bandar ini dimusnahkan sekali lagi oleh Tentera Bersekutu dibom siang dan malam selama lebih enam bulan sebagai sebahagian daripada Kempen Borneo pada tahun 1945. Kemusnahan teruk bandar Jesselton menyaksikan hanya tinggal tiga bangunan yang kekal berdiri pada masa tersebut. Perang di Borneo Utara berakhir dengan penyerahan diri Tentera Darat Jepun yang ke-37 oleh Leftenan Jeneral Baba Masao di Labuan pada 10 September 1945.

Jesselton Bomb Damage

Tamat Perang Dunia Kedua

Selepas perang tamat, SBUB kembali untuk mentadbir Jesselton tetapi tidak mampu untuk membiayai kos pembinaan semula yang sangat besar. Kawalan Borneo Utara diserahkan kepada Mahkota British (British Crown Colony) pada 15 Julai 1946. Kerajaan kolonial baharu telah dipilih bagi membina semula Jesselton sebagai pusat pemerintahan baharu selain daripada Sandakan yang juga telah dimusnahkan sewaktu perang.

Pada tempoh 1948-1955, sebuah Pelan Pembangunan Semula dan Pembangunan untuk Borneo Utara telah ditubuhkan oleh kerajaan British. Kerajaan British telah meluluskan dana sebanyak £ 6,051.939 – £ 2,232.882 bagi membina semula dan £ 3,819.057 bagi pembangunan baharu. Jalan raya telah dibina, pelabuhan dibersihkan dan lapangan terbang dibaiki. Pembangunan semula pekan dan sektor pertanian juga diberi tumpuan. Roy Edgardo Parry, Pengarah Pendidikan pertama, telah dilantik untuk menyediakan pelan lima tahun bagi pembangunan pendidikan.

KotaKinabalu_CityHall-800px

Apabila Borneo Utara bersatu dengan Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, negeri ini bertukar nama dan dikenali sebagai Sabah, dengan Jesselton kekal sebagai pusat pemerintahan utama. Penukaran nama Jesselton  kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada 30 September 1968 dan menerima status bandar raya daripada kerajaan Malaysia pada 2 Februari 2000.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
james_brooke_portrait-800px
Sejarah

James Brooke Meninggal Dunia

11 Jun 1868 – James Brooke meninggal dunia di England akibat penyakit jantung pada tahun 1868. Mayatnya telah dikebumikan di perkarangan gereja Sheepstor di Devonshire, England dalam tahun 1863. Anak saudaranya Charles Brooke, telah dilantik untuk menggantikannya sebagai Raja Sarawak bergelar Tuan Muda James Brooke meninggal ketika berusia 65 tahun.

James Brooke mula datang ke Sarawak pada 27 Julai 1839, dengan kapal Royalist dari Singapura. Sejak kedatangannya beliau telah bersahabat baik dengan Pengiran Muda Hashim, pemerintah Sarawak ketika itu. Pada waktu itu Sarawak berada dalam keadaan kucar-kacir.

Pengiran Hashim telah meminta James Brooke untuk menolongnya menghapuskan keadaan kacau-bilau tersebut. Sebagai membalas jasanya, Pengiran Muda Hashim telah memberikan Seniawan dan Sarawak yang pada masa itu hanyalah bandar Kuching sahaja kepada James Brooke.

Sir_James_Brooke_1847_by_Francis_Grant

Sejak itu James Brooke telah dilantik menjadi pemerintah Sarawak bergelar Raja Sarawak. Semasa hayatnya sebagai pemerintah Sarawak beliau terkenal sebagai seorang pemerintah yang bijak. Dalam usahanya untuk berbaik-baik dengan orang Melayu beliau telah melantik pemimpin-pemimpin Sarawak dari kalangan orang-orang Melayu. Beliau telah melantik Datu Patinggi, Datu Bandar dan Datu Temenggung bagi memimpin masyarakat Melayu di Kuching.

Beliau juga telah mengadakan bendera Sarawak yang pertama. Bendera itu berwarna merah ungu dan bersilang. Tapi warna ungu itu kemudiannya ditukarkan ke warna hitam untuk memudahkan percetakan. Bendera ini berlatarkan warna kuning iaitu warna rasmi kerajaan Borneo.

brookes_graves_in_sheepstor

Kubur James Brooke di Sheepstor

Di samping itu beliau telah berusaha mententeramkan negeri Sarawak dari ancaman-ancaman lanun. Misalnya peperangan di Batang Maru untuk menghapuskan lanun-lanun Kanowit. Beliau juga telah berjaya menamatkan pemberontakan orang-orang Cina dalam tahun 50-an di Kuching dan Bau. Semasa hayatnya James Brooke telah banyak merintis jalan bagi memudahkan pemerintahan anak saudaranya Charles Brooke

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
polis_logo-800px
Sejarah

Peluasan Bidang Kuasa Polis Persekutuan

09 Jun 1948 – Pada tahun 1948, Polis Persekutuan Tanah Melayu telah diberi kuasa yang luas dalam melaksanakan tugas harian mereka kepada negara. Kenyataan ini telah dibuat oleh Pegawai Pemerintah Polis Encik H.B. Longworthy di Kuala Lumpur. Tujuan utama perluasan kuasa ini diadakan ialah untuk memenuhi kedudukan suasana politik pada masa itu. Di antara kuasa-kuasa yang diperluaskan itu ialah:-

  1. Kuasa untuk membuang negeri kepada mereka yang tidak dibenarkan lagi tinggal di Tanah Melayu. Tindakan membuang negeri ini telah pun dilaksanakan sebaik sahaja ia berkuatkuasa. Menurut Encik H.B Longworthy kuasa baru ini juga akan dilaksanakan di Singapura.
  2. Semua pegawai telah diperintahkan supaya sentiasa membawa senjata sama ada pada masa kerja atau luar kerja.
  3. Pemeriksaan mengejut dan penahanan kepada yang bersalah akan dijalankan di jalan-jalan raya, pekan-pekan dan kampung-kampung di negeri ini.

Berikutan peluasan kuasa ini juga, Ketua Polis Selangor Encik D.P. Macnamara menjelaskan iaitu peluasan kuasa ini merupakan langkah-langkah permulaan dalam pergerakan Polis menghapuskan penjahat dan penyamun. Beliau telah menyeru kepada peladang-peladang di negeri ini supaya membeli senapang sebagai alat kawalan keselamatan mereka.

Sesungguhnya dengan peluasan bidang kuasa Polis Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1948, telah memperkukuhkan lagi keamanan rakyat daripada gangguan penjenayah di samping dapat melicinkan lagi pentadbiran perkhidmatan Polis di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sir_Thomas_Stamford_Raffles
Sejarah

Perjanjian Raffles, Sultan Hussain Dan Temenggong Abdul Rahman

07 Jun 1823 – Satu perjanjian telah ditandatangani di antara Stamford Raffles, Temenggong Abdul Rahman dan Sultan Hussain (Sultan Singapura) yang diangkat oleh Inggeris pada tahun 1823. Perjanjian tersebut ditandatangani setelah Inggeris yang mencari bandar pelabuhan di Selatan Tanah Melayu untuk kepentingan perdagangannya, mendarat di Pulau Singapura dan menawarkan perlindungan kepada Temenggong pada 30 Januari 1819 sebagai balasan untuk mendirikan loji di pulau itu.

Temenggong Abdul Rahman terpaksa menerima tawaran Inggeris, kerana bimbang diserang apabila mendapati Inggeris mendarat dengan segala kelengkapan perang. Raffles juga bertindak mengangkat Tengku Long dari Riau menjadi Sultan Singapura, bergelar Sultan Hussain dan mengadakan persetujuan tanpa pengetahuan Sultan Abdul Rahman di Lingga yang memegang tampuk pemerintahan Johor – Riau ketika itu. Perjanjian dan pelantikan Sultan Hussain ini telah menimbulkan kemarahan Sultan Johor – Riau dan juga Belanda. Ia dianggap tidak sah dan Inggeris dituduh menceroboh.

Perjanjian itu telah ditandatangani bagi tujuan mendapatkan kebebasan penuh di Pulau Singapura. Antara syarat-syarat perjanjian itu ialah:

  • Sultan menerima bayaran sebanyak satu ribu lima ratus ringgit setiap bulan dan Temenggong pula menerima lapan ratus ringgit setiap bulan;
  • Sultan dan Temenggong tidak berhak menerima atau mengutip cukai dari tongkang-tongkang Cina yang keluar masuk pelabuhan;
  • Inggeris berkuasa di seluruh Pulau Singapura dan pulau-pulau berdekatan kecuali kawasan atau pulau tempat kediaman Sultan dan Temenggong;
  • Sultan hanya boleh menghakimkan hukum-hukum agama dan adat; – Inggeris tidak akan campur tangan dalam urusan pemerintahan Sultan dalam jajahan takluknya;
  • Inggeris diberi kuasa memonopoli perusahaan kayu balak.

Perjanjian dirancang oleh Inggeris bagi mengukuhkan lagi kedudukannya di Singapura di samping menghadapi pengaruh Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
seri_menanti-4-800px
Sejarah

Perjanjian Antara Yamtuan Antah Dengan Inggeris

04 Jun 1887 – Selepas Perang Naning di antara tahun 1813-1832 Inggeris mula mengadakan beberapa siri perjanjian persahabatan dengan beberapa Pembesar Negeri Sembilan. Antaranya perjanjian dengan Raja Ali dan Syed Shaaban. Selepas itu Inggeris juga mula mencampuri urusan pentadbiran di Negeri Sembilan atas alasan menjaga kepentingan saudagar-saudagar mereka yang berniaga di Negeri Sembilan. Perjanjian-perjanjian ini secara tidak langsung membawa kepada campur tangan politik Inggeris ke atas kedaulatan pemerintahan Negeri Sembilan.

Pada 4 Jun 1887, salah satu daripada perjanjian tersebut telah ditandatangani. Perjanjian yang dimaksudkan adalah di antara Yang Maha Mulia Tengku Antah, Yamtuan Seri Menanti atau (lebih dikenali sebagai Yamtuan Antah) dengan Gabenor Negeri Selat Sir Frederick Aloysius Weld. Perjanjian dibuat selepas peristiwa Perang Bukit Putus.

Peperangan tersebut berlaku akibat perselisihan yang berlaku antara Yamtuan Antah di Seri Menanti dengan Dato’ Kelana Syed Abd. Rahman Sungei Ujong. Dato’ Kelana telah membuat perhubungan persahabatan dengan British dan semasa pertempuran di Bukit Putus beliau telah dibantu askar-askar British di bawah Kapten Patrick J. Murray. Walaupun Yamtuan Antah telah berperang bermati-matian melawan askar British di Bukit Putus. Baginda akhirnya terpaksa berundur ke Johor apabila pihak British berjaya mengalahkan Baginda.

Semasa berada di Johor, Baginda telah dibantu oleh Maharaja Abu Bakar untuk mengadakan perjanjian dengan Gabenor Negeri Selat di Singapura. Setelah mengadakan perbincangan maka pada hari ini perjanjian tersebut telah ditandatangani setelah Yamtuan Antah kembali semula ke Seri Menanti.

Antara lain perjanjian ini menyebut bahawa kerajaan Negeri Selat dan Negeri Sembilan akan bekerjasama dalam menjaga hal ehwal negeri, Yamtuan Seri Menanti dan Dato’-dato’ Penghulu Negeri Sembilan juga hendaklah sentiasa memberikan pertolongan kepada kerajaan Negeri Selat apabila dikehendaki; dan pihak British juga mengakui bahawa Tengku Besar Muhamad Ibni Tengku Antah akan menjadi pengganti Yamtuan dalam daerah Negeri Sembilan dan keturunannya.

Melalui perjanjian ini jelaslah bahawa British telah mencampuri urusan pentadbiran Negeri Sembilan secara mendalam. Yamtuan Antah pula ketika itu tidak berapa sihat dan semakin gering, menyebabkan fasa mengenai perlantikan anakanada Baginda Tengku Besar Muhamad disebut secara khusus dalam perjanjian ini. Yamtuan Seri Menanti, Yamtuan Antah akhirnya mangkat di Seri Menanti pada tahun 1888 setahun selepas perjanjian ini ditandatangani.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
penang_airport-800px
Sejarah

Pembukaan Rasmi Lapangan Terbang Pulau Pinang

02 Jun 1979 – Lapangan Terbang Pulau Pinang telah dirasmikan pada tahun 1979. Perasmiannya dilakukan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Pulau Pinang, Tun Datuk Haji Sardon bin Haji Jubir.

Sejarah Perkhidmatan penerbangan di Pulau Pinang telah bermula sejak tahun 1930-an lagi apabila lapangan terbangnya dijadikan sebagai tempat persinggahan kapal terbang – kapal terbang yang berulang alik antara negara-negara Eropah dan Asia Tenggara. Lapangan Terbang Pulau Pinang ini mengendalikan penerbangan tempatan antara Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura dan dikelolakan oleh Wearnes Air Service Ltd. Sementara penerbangan antarabangsa ke Eropah pula melibatkan penerbangan tiga buah syarikat iaitu:

  • Imperial Airway Ltd. – kemudiannya dikenal dengan nama British Airways dan British Overseas Airways Corporation. Penerbangan dua kali seminggu antara London dan Australia melalui India menggunakan ‘flying boats’ dan singgah di Gelugor Marine Station, Pulau Pinang.
  • Imperial Airways (Far East) Ltd. – Terbang sekali seminggu di antara Pulau Pinang – Bangkok – Hong Kong.
  • K.L.M. (Royal Dutch Airlines) iaitu perkhidmatan tiga kali seminggu di antara Amsterdam dan Batavia (Jakarta), melalui bandar-bandar di Eropah, India dan Pulau Pinang.

Di samping itu Kelab Penerbangan Pulau Pinang juga menjalankan perkhidmatan secara sementara (adhoc) dengan menggunakan kapal terbang kecil yang boleh memuatkan dua orang penumpang sahaja.

Pembukaan rasmi lapangan terbang Pulau Pinang pada hari ini adalah sebagai memantapkan lagi perkhidmatan penerbangan yang telah lama berjalan di negeri itu. Lapangan terbang yang baru ini adalah yang pertama di Malaysia dan terbaru di Asia Tenggara ketika itu. Bangunannya dilengkapi dengan beberapa peralatan moden seperti alat ‘passenger loading bridges’ yang boleh dipanjangkan sepenuhnya sehingga 18.3 meter, sistem isyarat keselamatan moden yang dipasangkan di bangunan terminal dan melibatkan fire alarm control panels’ serta beberapa peralatan kebakaran moden alat elektronik ‘Flight Information Display System’ iaitu untuk memberi maklumat kepada para penumpang mengenai butir-butir perjalanan kapal terbang dan beberapa peralatan lain lagi.

Pembukaan rasmi lapangan terbang Pulau Pinang yang moden dan lengkap ini akan menjadikan sistem perkhidmatan penerbangan di Pulau Pinang yang cekap dan sistematik. Lapangan terbang ini menjadikan Pulau Pinang lebih dekat kepada dunia luar dan membuka peluang kepada perdagangan, perindustrian dan pelancongan di negeri Pulau Pinang lebih berkesan lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
utusan_melayu-800px
Sejarah

Utusan Melayu Diterbitkan Di Kuala Lumpur

29 Mei 1939 – Pada tahun 1939 Utusan Melayu telah diterbitkan di Kuala Lumpur berikutan pemindahan ibu pejabatnya dari Singapura. Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, Utusan Melayu telah diterbitkan di Singapura oleh Singapore Free Press mulai 7 November 1907, pengasasnya yang pertama ialah Encik Yusof bin Ishak. Manakala pengarang yang pertama Utusan Melayu ialah Abdul Rahim Kajai. Terdapat juga pengarang-pengarang yang lain seperti Mohd. Yunos bin Abdullah, Abdul Hamid bin Miskin dan Syed Saddullah Khan.

Utusan_Melayu

Setelah berpindah ke Kuala Lumpur Utusan Melayu telah memainkan peranan penting dalam perkembangan pemikiran dan pembangunan masyarakat Melayu. Beberapa usaha telah dilakukan oleh pengarang seperti Zainol Abidin Haji Alias, Hashim Yunus, Ishak Hj. Mohamad, Haji Dahlan Mas’ud, Yusof Ishak, dan A. Samad Ismail. Utusan Melayu telah mengalami jatuh bangunnya bersama-sama bangsa Melayu.

Perkembangan politik di Tanah Melayu pada masa itu dapat mempengaruhi jiwa pengarang-pengarangnya dalam menghasilkan tulisan yang memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu. Utusan Melayu juga berperanan dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, membela bangsa, agama dan tanah air. Utusan Melayu telah menjadi medan bagi menyuarakan politik Melayu untuk menuntut kemerdekaan. Di samping penyuaraan perjuangan kebangsaan ia juga merupakan wadah utama dalam perkembangan bahasa dan sastera Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kemerdekaan_malaysia
Sejarah

Gagasan Persekutuan Malaysia Dikemukakan

27 Mei 1961 – Pada tahun 1961, Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu mengemukakan Gagasan Persekutuan Malaysia yang membawa kepada penubuhan Malaysia. Gagasan ini beliau kemukakan dalam satu majlis jamuan yang diadakan oleh Persatuan Wartawan-wartawan Luar Negeri Asia Tenggara, di Singapura.

Cadangan yang dikemukakan oleh beliau itu walaupun bukan sesuatu yang baru tetapi telah mengejutkan banyak pihak oleh kerana di zaman selepas perang tidak ramai orang berwenang (dalam kerajaan) memperkatakan tentang ide kesatuan politik- yang lebih besar oleh kerana cadangan-cadangan serupa ini sama ada berbahaya dari segi politik ataupun ia tidak praktikal dalam masa sedang berlakunya perubahan dan kegelisahan politik.

Dalam mengemukakan cadangan itu beliau menyatakan bahawa Tanah Melayu tidak dapat memencilkan diri dari politik antarabangsa. Seterusnya beliau menyatakan bahawa:

Lambat laun Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak. Adalah agak terlalu awal untuk saya menyebutkan cara bagaimana persefahaman itu dapat dicapai, namun tidak dapat dielakkan bahawa kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan bagaimana wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat.

Tidak berapa lama selepas pengumuman Gagasan Persekutuan Malaysia itu, pada 21 Ogos 1961, Jawatankuasa Setiakawan dan Perundingan Malaysia (Malaysian Solidarity Consultative Committee) pun ditubuhkan sebagai cawangan kepada Persatuan Parlimen Komanwel (Commonwealth Parliamentary Association) dan telah mengadakan mesyuaratnya di Jesselton dan mula merancangkan satu rancangan tindakan serantau.

Seorang Ahli yang terkemuka dalam Majlis Perundangan Borneo Utara, Donald Stephens telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa ini yang ahli-ahlinya terdiri dari wakil-wakil Sabah, Sarawak dan Singapura, dan pemerhati-pemerhati dari Brunei. Jawatankuasa ini telah bertemu sebanyak empat kali. Akhirnya Jawatankuasa ini telah mengeluarkan satu Memorandum bagi penubuhan Malaysia, 3hb Februari 1962 dan yang menjadi asas kepada Suruhanjaya bersama Britain-Tanah Melayu meninjau kehendak-kehendak rakyat Borneo.

Suruhanjaya ini ialah Suruhanjaya Cobbold yang telah dilantik pada 16hb Januari, 1962 dan diketuai oleh Lord Cobbold. Suruhanjaya ini telah menjalankan tinjauannya di Sabah dan Sarawak daripada 19hb Februari hingga 18 April 1962. Pada 1 Ogos 1962 Suruhanjaya ini mengeluarkan laporannya dan menyatakan bahawa 70 peratus daripada rakyat Borneo (kecuali Brunei) menginginkan Malaysia dengan syarat tiap-tiap negeri itu diberi hak mengawal dasar-dasar bahasa dan imigresen masing-masing dan mempunyai Ketua Negerinya sendiri.

Mereka juga akan mempunyai 40 orang wakil dalam Parlimen Malaysia dan akan menerima geran-geran pembangunan, Singapura pula telah bersetuju untuk bercantum dengan syarat ia menguasai hal ehwal kewangan, buruh dan pelajaran, sementara kawalan ke atas hal ehwal luarnegeri, pertahanan dan keselamatan diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Selain daripada itu Singapura akan diberi 15 kerusi daripada 159 kerusi dalam Dewan Perundangan Persekutuan. Ia juga akan mempunyai kerajaan dan Dewan dan Yang Dipertua Negaranya sendiri.

Gagasan untuk membentuk satu Persekutuan Malaysia sebagai satu entiti politik yang dimaksudkan oleh Tunku ini adalah merupakan cadangan yang pertama kalinya pernah dikemukakan secara terbuka oleh seorang pemimpin negara di rantau ini. Sebelum ini memang terdapat suara-suara yang menyuarakan tentang konsep ini tetapi datangnya daripada beberapa orang nasionalis Melayu dari parti-parti bukan pemerintah. Bagaimanapun konsep yang mereka kemukakan adalah dalam konteks Melayu Raya yang meliputi seluruh kepulauan Melayu Nusantara.

Cadangan Gagasan Persekutuan Malaysia Tunku ini telah mengubah secara radikal perjalanan politik antarabangsa di rantau ini hingga membawa kepada perubahan peta Asia Tenggara apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 yang merangkumi negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard