riau_lingga-800px
Sejarah

Utusan Menangkap Raja Lingga Sampai Di Kuala Terengganu

09 November 1862 – Pada tahun 1862, utusan menangkap Raja Lingga, Raja Mahmud Muzaffar Shah yang diketuai oleh Kolonel MacPherson sampai di Kuala Terengganu. Utusan Inggeris yang datang dengan dua buah kapal perang itu meminta Sultan Terengganu, Sultan Umar menyerahkan Sultan Lingga dengan memberi tempoh 24 jam.

Sultan Mahmud Muzaffar Shah telah dipecat oleh pemerintah Belanda dari takhta Riau-Lingga pada bulan September 1857 kerana ingkar menuruti perintah Belanda. Baginda Sultan adalah dari keturunan Sultan Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Setelah dipecat baginda telah pergi ke Singapura, Pahang dan Terengganu untuk meminta bantuan bagi mengambil balik tahta kerajaannya di Pulau Lingga tetapi gagal.

Akhirnya bekas Sultan Lingga itu telah pergi ke Siam. Raja Siam menyambutnya dengan baik dan berjanji akan menolongnya. Setelah sembilan bulan lamanya beliau tinggal di Siam, pertolongan seperti yang dijanjikan tidak diterimanya. Sebaliknya baginda telah dijadikan alat untuk mengembalikan kuasa kerajaan Siam di negeri Terengganu.

Dalam pada itu, Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Orfeur Cavenagh, telah mendapat maklumat menyatakan bahawa Sultan Lingga telah bertolak dari negeri Siam pada bulan Julai 1862 dengan sebuah kapal perang dan beliau akan dilantik menjadi Gabenor Siam di Terengganu dan Kelantan. Sir Cavenagh meminta Schamburg, wakil Inggeris di Siam menemui Menteri Luar Siam dan mendesak agar Sultan Lingga dipanggil pulang ke Siam demi menghormati Perjanjian Burney 1826, yang meletakkan taraf Terengganu sebagai negeri yang merdeka. Kerajaan Siam bersetuju untuk memanggil pulang bekas Sultan Lingga itu tetapi sehingga bulan Oktober 1862, tindakan tersebut tidak juga dilaksanakan.

Pada bulan Oktober itu juga, Dewan Perniagaan Singapura telah menghantar surat memberitahu Gabenor Negeri-negeri Selat bahawa perniagaan mereka dengan Pahang telah terhalang disebabkan oleh serangan-serangan yang dilakukan oleh Wan Ahmad dengan bantuan dari Sultan Terengganu dan Sultan Lingga.

Bagi menghalang pengaruh Siam di Terengganu serta juga menjaga kepentingan perdagangan Inggeris Gabenor Cavenagh telah menghantar dua buah kapal perang Inggeris yang tiba di Terengganu pada hari ini dalam tahun 1862. Angkatan tersebut diketuai oleh Kolonel MacPherson.

Permintaan Inggeris supaya diserahkan Sultan Lingga, telah tidak diendahkan oleh Sultan Terengganu, malah baginda menyuruh bekas Sultan Lingga itu, lari ke Besut. Akibat dari itu bandar Kuala Terengganu telah dibedil selama dua hari dan dikepung dua minggu. Dalam hal ini Gabenor Cavenagh telah disalahkan.

Raja Siam kemudiannya telah mengambil Sultan Lingga setelah empat bulan menyembunyikan dirinya di Besut. Walau bagaimanapun Sultan Lingga telah datang lagi ke Terengganu dan kemudian ke Pahang dan mangkat di Pekan, Pahang pada tahun 1867.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
seberang_perai-800px
Sejarah

Perjanjian Sempadan Province Wellesley-Negeri Kedah

2 November 1831 – Pada tahun 1831, satu perjanjian yang menentukan sempadan Province Wellesley-Negeri Kedah ditandatangani di antara Robert Ibetson, Residen bagi Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, dengan Pemerintah Ligor, Si Thammarat sebagai wakil Raja Siam.

Perjanjian itu menggariskan bahawa sempadan yang dipersetujui ialah bermula dari Sematol di tebing selatan Sungai Kuala Muda berhampiran dengan sebatang jalan yang menghala ke Sungai Perai hingga ke pertengahan Sungai Perai menuju ke Kuala hingga ke hulu Sungai Sintok.

Seberang Perai

Dari situ ia menuju ke arah timur hingga ke Bukit Mertajam, kemudian dari Bukit Mertajam melalui banjaran Bukit Berator hingga ke sebelah tebing utara Sungai Krian iaitu jarak lima orang di sebalik dan di sebelah timur Bukit Tunggal. Adalah juga dipersetujui supaya didirikan tiang-tiang sempadan daripada batu di tiga sempadan, iaitu di sempadan Sematul, di Sempadan Sungai Perai dan di Sempadan Sungai Krian.

Perjanjian ini adalah untuk mengesahkan dan melaksanakan kandungan Artikel 3 Perjanjian yang dibuat di antara Kerajaan British dengan Raja Siam Somdeth Phra Phuthi Chow Yu Hua. Dengan perjanjian ini, Siam yang dianggap oleh Inggeris sebagai penguasa ke atas kedah mengakui bahawa Province Wellesley adalah sebagai wilayah British dan tempat-tempat yang digariskan tadi sebagai sempadan-sempadannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_abdul_hamid_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Kedah – Inggeris 1923

 

1 November 1923 – Perjanjian Kedah – Inggeris telah ditandatangani di antara Sir Laurence Guilemard, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Tunku Ibrahim wakil Sultan Kedah pada tahun 1923. Melalui perjanjian ini, Negeri Kedah secara rasmi menerima seorang Penasihat Inggeris.

Menurut Perjanjian Bangkok yang ditandatangani pada 10 Mac 1909, Siam bersetuju menyerahkan kuasa kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak milik ke atas Negeri-negeri Utara Tanah Melayu iaitu Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dengan perjanjian ini Negeri-negeri tersebut secara tidak langsung diletakkan di bawah kuasa Inggeris.

Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Bagaimanapun bukanlah mudah bagi Inggeris untuk berkeras di Negeri Kedah. Inggeris terpaksa menghadapi tentangan yang sungguh hebat di negeri itu jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Selepas Perjanjian Bangkok, Inggeris telah menghantar George Maxwell sebagai Penasihat Inggeris di Kedah tetapi beliau telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kedah dan Sultan Kedah sendiri enggan menerimanya malahan enggan menandatangani sebarang perjanjian dengan Inggeris.

Namun begitu akhirnya Sultan Kedah terpaksa juga menerima kedatangan Inggeris itu atas hubungan kerjasama. Inggeris merasakan kedudukannya di Kedah harus diperkukuhkan. Menyedari hal ini maka pada hari ini dalam tahun 1923 perjanjian ini telah ditandatangani antara Inggeris dengan Kerajaan Kedah. Di antara lain perjanjian ini menyatakan:-

  •  Negeri Kedah akan terus diletakkan di bawah perlindungan Inggeris dan Sultan Kedah tidak dibenarkan berhubung dengan kuasa-kuasa luar kecuali dengan persetujuan Inggeris.
  • Inggeris tidak akan menyerahkan kekuasaannya ke atas Negeri Kedah kepada kuasa-kuasa lain atau menyatukan Kedah dengan sebarang negeri atau tanah jajahannya yang lain tanpa persetujuan bertulis dari Sultan Kedah.
  • Pewarisan takhta kerajaan atau pengganti Sultan akan ditentukan oleh Sultan yang memerintah setelah diputuskan di Majlis Negeri serta dengan persetujuan Inggeris.

Dengan termeterainya perjanjian ini, Negeri Kedah dengan rasminya terletak di bawah naungan Inggeris bersama-sama dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Negeri-negeri ini terangkum di bawah Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
yung_lo-800px
Sejarah

Hubungan Antara China Dan Melaka

28 Oktober 1403 – Pada tahun 1403, Maharaja Yung Lo, China telah mengarahkan Laksamana Yi Ch ‘ing mengetuai satu utusan menemui Raja Melaka, Parameswara. Hasil dari pertemuan itu maka bermulalah perhubungan perdagangan dan politik antara China dan Melaka.

Maharaja Yung Lo dari Dinasti Ming yang memerintah dari tahun 1402-1424 merupakan pemerintah yang bijak dan terkenal. Beliau telah menubuhkan sebuah Angkatan Tentera Laut dan melalui beberapa siri ekspedisi angkatan itu, China telah berjaya membawa beberapa negara tunduk di bawah naungannya dan ini menjadikan China sebagai sebuah negara yang berkuasa di Asia. Di antara bulan Oktober 1402 hingga awal Oktober 1403, Maharaja Yung Lo telah mengadakan hubungan dengan negeri-negeri di Asia Tenggara seperti Annam, Champa, Siam, Jawa, Majapahit, Acheh dan India Selatan.

Sejak itu utusan-utusan China sentiasa berulang-alik dan mengadakan lawatan ke negeri-negeri di Asia Tenggara. Hasil dari laporan lawatan tersebut, Maharaja Yung Lo mengetahui akan wujudnya Kerajaan Melayu Melaka. Berikutan itu, pada hari ini dalam tahun 1403, Yin Ch’ing pun dihantar untuk menemui Parameswara dengan membawa hadiah-hadiah yang mahal seperti emas, payung dan kain sutera. Parameswara menyambut baik kedatangan utusan China itu dan meminta supaya Melaka menjadi naungan China. Dengan hubungan persahabatan antara China dan Melaka ini, terselamatlah Melaka dari serangan Siam.

yung lo

Yung Lo

Maharaja Yung Lo mengakui Parameswara sebagai pemerintah Melaka dan Kerajaan Siam diberi amaran supaya jangan mengganggu dan menyerang Melaka. Melaka telah mendapat banyak faedah hasil dari hubungannya dengan China. Pada tahun 1409, China telah mengiktiraf Kesultanan Melaka. Pelabuhan Melaka menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang Islam dari Selatan India di dalam perjalanan mereka ke Siam dan Acheh.

Setelah menerima perlindungan politik dari Negeri China, peranan Melaka sebagai ‘entrepot’ menjadi bertambah pesat, disebabkan kehadiran lebih ramai pedagang asing. Melaka menjadi pusat perdagangan yang utama di Asia Tenggara. Hubungan antara China dan Melaka telah diteruskan oleh Sultan-sultan selepas Parameswara.

Apabila Melaka bertambah kuat dan menjadi sebuah Empayar, hubungan antara China dan Melaka bertukar menjadi hubungan diplomatik. Di zaman Sultan Mansor Shah, Maharaja China pada masa itu telah menghantar puterinya, Puteri Hang Li Po ke Melaka, untuk berkahwin dengan baginda. Melaka dan China teguh menjadi sahabat setia, sehinggalah kedatangan kuasa Barat yang mengubah segalanya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Coat_of_arms_of_Perak-800px
Sejarah

Perjanjian Low Ditandatangani

18 Oktober 1826 – Pada tahun 1826, wakil politik Gabenor Pulau Pinang, Melaka dan Singapura bagi pihak Gabenor dan Syarikat Hindia Timur Inggeris Kapten James Low dan Sultan Perak, Sultan Abdullah Mu’azzam Shah menandatangani suatu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Low.

Perjanjian ini adalah kerana sikap Raja Ligor yang tidak menghormati Perjanjian Burney yang ditandatangani oleh pihak Inggeris dengan Raja Siam pada tahun 1825. Setelah Kapten Burney kembali ke India, Raja Ligor tidak menghormati janjinya mengenai negeri Perak iaitu mengakui hak Sultan Perak untuk ‘memerintah negeri baginda sendiri’. Ini dapat dipastikan apabila Raja Ligor menghantar utusan dengan pasukan tenteranya ke Perak. Raja Ligor telah memberi jawapan yang berdolak-dalik apabila Gabenor Robert Fullerton meminta penjelasan mengenai perbuatannya itu.

Robert Fullerton

Robert Fullerton

Perjanjian Low Ditandatangani

Oleh kerana bimbangkan amaran dari Siam itu dan mengenangkan betapa Inggeris telah mengecewakan harapan Sultan Kedah dengan tidak membantu baginda dari serangan Siam dalam tahun 1821, Sultan Perak berkehendakkan satu perjanjian persahabatan yang dapat menjamin keselamatan negeri baginda dari serangan Siam. Permintaan baginda itu telah dipersetujui lalu pada hari ini dalam tahun 1826, Perjanjian Low ditandatangani.

Di antara perkara-perkara penting yang termaktub dalam perjanjian itu ialah Sultan Perak tidak boleh membuat apa jua bentuk hubungan dengan Raja Siam dan pembesar-pembesarnya, begitu juga dengan Raja Selangor dan pembesar-pembesar baginda, dan juga kuasa-kuasa lain yang berkaitan dengan politik, pentadbiran dan urusan Kerajaan Negeri Perak. Baginda juga mengaku tidak akan mengirim ufti Bunga Emas dan apa jua biaya kepada Raja Siam, Sultan Selangor dan kuasa-kuasa lain.

Perjanjian Low ini telah memeranjatkan pihak atasan di India. Dalam menjanjikan perlindungan Inggeris ke atas negeri Perak itu, Kapten James Low telah melampaui batas kuasa dan arahan yang diberikan kepadanya. Beliau dikatakan telah melanggar dasar tidak campur tangan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Bagaimanapun, perjanjian itu mendapat restu dan kelulusan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Robert Fullerton.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kereta_api-800px
Sejarah

Perasmian Landasan Kereta Api Pantai Timur

05 September 1931 – Pada tahun 1931, landasan kereta api Pantai Timur yang menghubungkan Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad ke IV bersama dengan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Cecil Clementi.

Perasmian ini adalah bersempena dengan pembukaan landasan kereta api dari Gua Musang ke Kuala Gris di Kelantan. Pembinaan landasan kereta api pantai Timur itu dijalankan secara berperingkat dari dua hala, iaitu dari Selatan ke Utara dan sebaliknya.

Dari Selatan ke Utara pembinaannya bermula dari Gemas hingga ke kawasan sempadan Negeri Sembilan dan negeri Pahang yang disiapkan pada tahun 1910. Dalam tahun 1912 landasan ini siap dibina hingga ke Kuala Krau di Pahang.

Dalam tahun 1917 pula landasan diteruskan hingga ke Kuala Lipis. Dari Kuala Lipis pembinaannya diteruskan ke Padang Tengku dan siap dalam tahun 1921. Pembinaannya diteruskan hingga ke Chegar Perah di Pahang dalam tahun 1923 dan disambung hingga ke Merapoh dan sempadan Pahang-Kelantan dalam tahun 1927. Pada bulan Julai 1930 ia telah siap dibina hingga ke Gua Musang di Kelantan.

Kos pembinaan landasan kereta api Pantai Timur ini dianggarkan sebanyak hampir RM 39 juta. Dengan siapnya landasan kereta api itu ia bukan sahaja dapat menghubungkan negeri-negeri pantai timur dengan Singapura melalui Johor Bahru tetapi juga dengan negeri Siam melalui jalan kereta api dari Pasir Mas ke pekan Golok yang dibuka pada tahun 1921.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malacca_dutch-800px
Sejarah

Perjanjian Belanda – Selangor Ditandatangani

13 Ogos 1784 – Perjanjian Belanda – Selangor ditandatangani berikutan penaklukan Belanda ke atas Selangor pada tahun 1784.

Dengan termeterainya perjanjian ini kuasa Sultan jatuh ke tangan Belanda dan semua bangsa lain seperti Bugis, Cina dan Eropah tidak dibenarkan memasuki pelabuhan Selangor kecuali orang-orang Belanda.

Perjanjian ini juga membawa kepada wujudnya hubungan di antara Syarikat Belanda Hindia Timur dengan Selangor.

Sebenarnya perjanjian ini memberikan kesan yang besar kepada orang-orang Bugis yang selama ini memusuhi orang-orang Belanda. Permusuhan di antara kedua belah pihak bermula apabila Belanda menakluki Makasar pada tahun 1668 dan menghalau orang-orang Bugis dari tanah air mereka.

Namun begitu orang-orang Bugis terus memainkan peranan penting di Kepulauan Melayu dengan menjadi penyokong kuat Sultan-sultan. Sehingga tahun 1718 orang-orang Bugis masih mempunyai pengaruh yang kuat ke atas pemerintahan negeri-negeri Kepulauan Melayu.

Pada tahun 1722, orang-orang Bugis mengadakan perjanjian dengan Sultan Johor. Perjanjian ini meluaskan lagi pengaruh mereka di negeri tersebut.

Menyedari keadaan ini Sultan cuba membebaskan diri dari pengaruh Bugis. Percubaan ini membawa kepada perselisihan di antara kedua belah pihak. Akibatnya wujud pula perhubungan di antara pihak Sultan dengan Belanda.

Hubungan ini memberi peluang baik kepada Belanda yang selama ini merasakan orang-orang Bugis mengancam kepentingan ekonomi mereka.

Keadaan ini berterusan sehingga tahun 1784, apabila Belanda merasakan tekanan yang hebat akibat peluasan pengaruh orang-orang Bugis yang telah menguasai kawasan-kawasan di Selat Melaka dari Riau hingga ke Kedah.

Belanda akhirnya terpaksa meminta bantuan dari Terengganu dan Kedah apabila diserang oleh orang-orang Bugis. Terengganu yang sememangnya mempunyai hubungan dengan Belanda sejak 1766 turut membantu. Manakala Kedah yang menghadapi ancaman dari Siam tidak dapat membantu.

Akhirnya, serangan orang-orang Bugis yang diketuai oleh Raja Muda Riau dapat dipatahkan. Raja Muda Riau terbunuh manakala ibu negeri Selangor ditawan oleh Belanda.

Dengan jatuhnya ibu negeri Selangor ke tangan Belanda dan termeterainya perjanjian Belanda-Selangor pada hari ini dalam tahun 1784, berakhirnya pengaruh orang-orang Bugis yang sekian lama berkuasa di Kepulauan Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
thailand-800px
Sejarah

Pemberontakan Terhadap Pentadbiran Siam Di Kedah

03 Ogos 1838 – Pada tahun 1838, satu pemberontakan terhadap pentadbiran Siam telah berlaku di negeri Kedah. Pemberontakan ini dipimpin oleh Tengku Muhammad Saad, anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah.

Ketika pemberontakan ini berlaku Sultan Ahmad Tajuddin telah berundur ke negeri Melaka untuk menyelamatkan diri dari ditawan oleh Siam.

Negeri Kedah telah ditawan oleh Siam pada tahun 1821 kerana enggan menghantar ufti Bunga Emas kepada kerajaan Siam dan baginda juga enggan tunduk kepada arahan-arahan Raja Siam. Akibatnya Governor Ligor Chauphaya Nakhon di Thammarat telah diarahkan oleh Raja Siam menyerang negeri Kedah.

Serangan ini telah berjaya dan Sultan Ahmad Tajuddin berundur ke Pulau Pinang. Negeri Kedah pula telah ditadbir oleh pegawai-pegawai Siam.

Sultan Ahmad Tajuddin yang berada di Pulau Pinang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula negeri Kedah. Baginda dan pengikut-pengikut baginda telah membuat serangan ke atas orang-orang Siam di negeri Kedah tetapi telah dihalang oleh pihak Inggeris yang mementingkan perhubungan baik dengan kerajaan Siam di Bangkok.

Dalam tahun 1826 Perjanjian Burney telah ditandatangani di antara pihak Inggeris dan Siam. Antara perkara yang ditetapkan dalam perjanjian ini ialah Kedah dikekalkan sebagai negeri jajahan takluk negeri Siam.

Akibatnya Sultan Ahmad Tajuddin semakin berusaha untuk mendapatkan takhta kerajaan baginda.

Dalam tahun 1831 dan 1836 Sultan Ahmad Tajuddin dan para pengikut baginda telah menyerang orang-orang Siam di negeri Kedah. Angkatan perang Sultan Ahmad Tajuddin telah berjaya menghalau orang-orang Siam keluar dari negeri Kedah.

Tetapi kejayaan-kejayaan ini telah dihalang oleh angkatan perang Inggeris kerana dalam perjanjian Burney telah dipersetujui bahawa Inggeris akan menghalang Sultan Kedah dari mengambil kembali takhta baginda. Inggeris juga telah berjanji akan menghalang Sultan Kedah dari menyerang takluk negeri Siam.

Seterusnya pada hari ini dalam tahun 1838, Tengku Muhammad Saad, anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin telah mengetuai satu pemberontakan terhadap pemerintahan Siam di negeri Kedah. Pemberontakan ini telah berjaya menghalau orang-orang Siam dari negeri Kedah, Setul dan Perlis.

Kejayaan ini seperti juga kejayaan-kejayaan sebelumnya telah dihalang oleh pihak Inggeris. Pihak Siam pula telah menghantar angkatan tentera yang besar untuk menawan semula negeri Kedah. Dalam masa beberapa bulan sahaja dalam tahun 1839, Siam telah dapat menawan semula negeri Kedah.

Akhirnya Sultan Ahmad Tajuddin berjaya menyelamatkan negeri Kedah dengan cara diplomasi dan dalam tahun 1842 kerajaan Siam bersetuju memberikan semula takhta kerajaan Negeri Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin. Pentadbiran Siam di Kedah juga telah dimansuhkan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
japanese_troop-800px
Sejarah

Perjanjian Penyerahan Negeri Kelantan Kepada Negeri Siam Ditandatangani

20 Julai 1943 – Pada tahun 1943, satu perjanjian penyerahan negeri Kelantan kepada negeri Siam telah ditandatangani antara kerajaan Siam dengan Jepun.

Sebelum perjanjian penyerahan ini ditandatangani, negeri Kelantan berada di bawah kekuasaan Tentera Jepun berikutan dengan penaklukannya oleh Tentera Jepun yang bermula pada 8 Disember 1941.

Walau bagaimanapun pentadbiran Jepun hanya dikuatkuasakan sepenuhnya di Kelantan pada awal Januari 1942 sejurus selepas seluruh negeri Kelantan jatuh ke tangan Tentera Jepun.

Walaupun perjanjian penyerahan ini telah ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1943, namun penyerahan negeri Kelantan oleh Tentera Jepun kepada Khalang Tharu Phia Chamrat bagi pihak Siam hanya dilakukan pada 18 Oktober 1943.

Sehari selepas penyerahan ini iaitu pada 19 Oktober, seluruh negeri Kelantan telah mengibarkan bendera Siam sebagai menandakan penyerahan tersebut.

Di bawah kekuasaan Siam, corak pentadbiran dan pemerintahan di negeri Kelantan turut berubah. Pada 31 Oktober 1943, Kelantan telah di perintah secara Sistem Berahli (Member System). Walaupun begitu, undang-undang yang telah digubal sebelumnya di Kelantan masih diteruskan.

Walaupun penyerahan ini menandakan bermulanya pemerintahan Siam di negeri Kelantan, namun setelah Jepun terpaksa menyerah kalah kepada tentera Berikat tanpa sebarang syarat, Tentera British telah kembali semula ke Tanah Melayu dan mengambil alih pentadbiran di seluruh Tanah Melayu termasuk Kelantan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
istana_Maziah_Kuala_Terengganu
Sejarah

Upacara Penyerahan Terengganu Kepada Inggeris

14 Julai 1909 – Pada tahun 1909, satu upacara penyerahan Terengganu kepada Inggeris berlangsung di Kuala Terengganu. Upacara ni telah dihadiri oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin ke III, Pembesar-pembesar Negeri, wakil British, W.L. Conlay dan seorang Pesuruhjaya Siam. Upacara penyerahan ini dilakukan oleh Pesuruhjaya Siam dengan disaksikan oleh semua pembesar-pembesar Terengganu.

Penyerahan ini adalah lanjutan dari hasil Perjanjian Bangkok yang ditandatangani diantara Siam dan Inggeris pada 10 Mac 1909 yang lalu.

Dalam perjanjian ini kedua belah pihak telah bersetuju bahawa ‘Kerajaan Siam memindahkan segala hak-hak pertuan, naungan, kawalan, pentadbiran dan sebarang kuasa yang dipegang oleh kerajaan Siam terhadap negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pulau-pulau berhampiran kepada Kerajaan British’.

Pihak British yang sememangnya mempunyai niat untuk menguasai negeri-negeri Melayu di Utara dan Pantai Timur telah menjadikan penghantaran ufti bunga mas sebagai alasan bahawa negeri-negeri tersebut berada di bawah pengaruh Siam dan penerimaan pertuanan Siam ke atas mereka.

Dengan anggapan ini dan harapan untuk meluaskan jajahan takluknya pihak British telah menggunakan pihak Siam dengan mengadakan perjanjian-perjanjian pada tahun 1902 dan 1909.

sultan_zainal_abidin_III_1909

Sultan Zainal Abidin III 1909

Tetapi tanggapan British terhadap pertuanan Siam di Terengganu adalah salah sama sekali.  Sultan Terengganu telah menjelaskan kepada pihak British bahawa bunga mas itu hanyalah semata-mata sebagai tanda persahabatan, bukan tanda menerima pertuanan.

Ketika Frank Swettenham melawat Sultan untuk memujuk baginda supaya menandatangani dan bersetuju dengan perjanjian 1902, didapati di Terengganu tidak ada seorang Pegawai Siam pun.

Sultan sama sekali membantah isi kandungan perjanjian tersebut yang antara lainnya berbunyi, “Negeri Terengganu itu telah diiktiraf sebagai sebuah jajahan takluk Siam”

Apabila berita tentang kandungan Perjanjian 1909 diterima  oleh Sultan Terengganu, maka pada bulan Mei, 1909 baginda Sultan bersama-sama rombongan pembesar-pembesar Terengganu telah berangkat menuju ke Singapura dan bertemu dengan Sir John Anderson, Gabenor Negeri Selat dan menyatakan bantahanya terhadap tindakan Siam yang telah mengadakan perjanjian penyerahan Terengganu kepada Inggeris dalam Perjanjian Inggeris Siam ini.

Baginda juga mempersoalkan apakah hak Siam ke atas Terengganu dan menyatakan bahawa penghantaran bunga mas bukanlah sebagai tanda pertuanan Siam keatas Terengganu.

Walau bagaimanapun pada hari ini, pihak Siam dengan rasminya menyerahkan Terengganu kepada Inggeris, tetapi Sultan Zainal Abidin ke III dan pembesar-pembesar Terengganu dengan tegasnya membantah tindakan ini. Lebih-lebih lagi butir-butir penyerahan tersebut adalah di luar pengetahuan mereka sebelum ini.

Ini menyebabkan timbulnya perdebatan antara Sultan, pihak Siam dan Inggeris dan Sultan tidak mengakui W.L. Conlay sebagai Penasihat British. W.L. Conlay hanya dianggap sebagai Censular Officer sahaja. W.L. Conlay tidak diberikan kuasa dan tugas pentadbiran dalam Majlis Mesyuarat Negeri.

Pihak British hanya berjaya mengukuhkan pengaruh sepenuhnya ke atas Terengganu pada bulan Mei 1919 apabila J.L. Humphreye dilantik sebagai penasihat British pertama dengan berbagai helah dan daya usaha.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard