Sejarah

Perjanjian Persempadanan Perak Kedah

04 Mac 1912– Satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Perjanjian tersebut adalah mengenai sempadan antara Perak Kedah iaitu di Daerah Baling dan Tasek dan pembinaan sebatang jalan raya dari Baling ke Padang Serai di Negeri Kedah.

sultan abdul halim shah

Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Persetujuan yang dicapai di dalam perjanjian tersebut adalah seperti berikut:

  • Sultan Perak bersetuju membina sebatang jalan raya kelas satu dari Baling hingga ke Kuala Ketil sepanjang 22 batu. jalan yang akan dibina ini akan menyambungkan Klian Intan di Hulu Perak dengan Baling hingga ke Kuala Ketil. Pembinaan jalan sepanjang 22 batu ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak. Sebagai balasannya, Kerajaan Negeri Kedah pula bersetuju akan mengawasi jalan tersebut selepas ianya diserahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah, seperti juga ia mengawasi jalan- jalan kelas satu di Negeri Kedah.
  • Kerajaan Negeri Kedah juga bersetuju akan menyambung pembinaan jalan tersebut dari Kuala Ketil ke Padang Serai sejauh 12 batu dan Kedah juga akan mengawasi jalan tersebut seperti juga ia mengawasi jalan-jalan kelas satu yang lain di Kedah.
  • Kerajaan Kedah akan menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Perak semua kawasan di Baling dan kawasan Goa Baling ke atas kepada Kerajaan Perak supaya pada masa hadapan sempadan antara Kedah dan Perak di kawasan Hulu Perak ditandai dengan kawasan bukit dalam daerah tersebut.
Raja Chulan dan Sultan Idris

Raja Chulan dan Sultan Idris (kanan)

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar di hadapan Pemangku Residen British di Perak, Oliver Marks dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid menandatangani bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah dengan disaksikan oleh Encik Md. Ariffin, Setiausaha kepada Baginda Sultan Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Penubuhan Kompeni Percubaan Askar Melayu

23 Januari 1933 – Sejak penjajahan oleh Kerajaan Kolonial British, pasukan-pasukan Tentera British dan juga Tentera British India (British Indian Army) seperti pasukan “Burma Rifles” telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Ini melibatkan kos yang tinggi kerana pasukan-pasukan itu terpaksa dibawa daripada Britain dan India untuk berkhidmat di Tanah Melayu.

Sejak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.

Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.

Akta ini mengandungi perkara-perkara mengenai disiplin dan peraturan-peraturan Rejimen Melayu. Antaranya pada Bahagian Pertama Enakmen ini mengandungi 56 perkara disebut dengan panjang lebar mengenai soal disiplin seperti hal-hal jenayah, melarikan diri, tidak hadir tanpa mengambil cuti, mabuk semasa bertugas, membuat kenyataan palsu dan memalsukan dokumen-dokumen dan lain-lain.

 

rejimen melayu

Penubuhan Kompeni Percubaan Askar Melayu

Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu. Pada 1 Februari 1933, seramai 25 orang anak Melayu daripada 100 orang calon telah dipilih sebagai “sesuai untuk diambil menjadi rekrut” di dalam pasukan Askar Melayu.

Pasukan Askar Melayu ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1933 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pasukan ini di letakkan di bawah perintah Mejar G. Mc Bruce , sementara Kapten K.G. Exham dilantik menjadi Adjutan. Sarjan Mejar A. E. McCarthy dilantik menjadi Sarjan Mejar Rejimen dan Sarjan Kuartermaster E. Oldfiled menjadi Sarjan Kuartermaster.

Pasukan ini dikira sebagai percubaan kerana pada peringkat itu, ia bertujuan untuk menilai kesesuaian orang-orang melayu sebagai anggota tentera, dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin tentera

Formed on 1st March 1933 in Port Dickson, Negri Sembilan, this Experimental Company started with 25 recruits. It was designated ‘Experimental’ because at this stage, the “Company” was only an attempt to “.find out how the Malays would react to military discipline.”

(Mejar Jeneral G. Mcl. S. Bruce, O.B.E. M.C. (bersara). (Petikan dari rencana “Trying it out with No. 1 Squad”, Pahlawan, Vol. 1, Kuala Lumpur, 1952.)

 

Pembesaran Pasukan Askar Melayu

Pada 1 Januari 1935, atas kesungguhan anak-anak Melayu di dalam Kompeni Percubaan Askar Melayu dan dengan kegigihan Mejar S. Bruce, 1 Kompeni Percubaan Askar Melayu ditukarkan menjadi Rejimen Askar Melayu dengan kekuatan permulaan seramai 150 orang anggota. Pengambilan anggota-anggota baru dipercepatkan dengan penambahan 232 orang anggota baru, dua Kompeni tempur telah ditubuhkan, dengan satu pasukan Ibu Pejabat sebagai elemen perintah yang dilengkapkan dengan platun mesingan Vickers, satu seksyen Semboyan dan satu unit tambur.

 

Vickers_machine-gun_of_the_1st_Manchester_Regiment-640

 

Pada 1 Januari 1938, Batalion Pertama Askar melayu (1 Melayu) mempunyai kekuatan 17 pegawai british dan 6 Pegawai Melayu, 11 Pegawai Waran dan 759 Pegawai Tak Bertauliah dan anggota Lain-Lain Pangkat.

Apabila bahang perang semakin hampir, latihan ketenteraan dipertingkatkan. Latihan jalan lasak di peringkat batalion dan peringkat briged kerap kali diadakan. 1 Melayu juga mula membuat latihan menggunakan mortar dan meriam penangkis kereta kebal.  Dalam bulan Ogos 1941, satu platun bantuan ditubuhkan menggunakan 10 buah “Universal Carrier” ataupun lebih dikenali sebagai “Bren Gun Carrier’ di bawah pimpinan Kapten R.R.C. Carter. Platun bantuan ini menjalankan latihan bersama-sama Batalion ke-2 Loyal Regiment (North Lancashire) Tentera British.

 

Bren_gun_carrier_British_Army_in_Malaya_1941

 

Pada bulan Mac 1941, Gabenor Negeri-Negeri Selat memberikan kuasa untuk menambah kekuatan Rejimen Askar Melayu menjadi dua battalion. Batalion Ke-2 Askar Melayu ditubuhkan pada 1 Disember 1941. 1 Melayu dan 2 Melayu bersama-sama batalion Ke-2 Loyal Regiment (North Lancashire) diletakkan di bawah pemerintahan 1st Malaya Infantry Brigade. Briged ini akan memainkan peranan besar dalam mempertahankan Tanah Melayu semasa penjajahan Jepun.

Sumber : Arkib Negara Malaysia , Wikipedia

Standard
Laurence_Guillemard-800px
Sejarah

Perjanjian Mengubah Majlis Perundangan Negeri-Negeri Melayu

24 April 1927 – Perjanjian Mengubah Majlis Perundangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di King’s House (Istana Tetamu) Kuala Lumpur telah diadakan pada tahun 1927. Perubahan ini telah dibincangkan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat Sir Laurence Nunns Guillemard sejak dari tahun 1925 lagi.

Beliau telah mengumumkan satu rancangan pembaharuan perlembagaan dan pentadbiran yang meluas dan secara beransur-ansur menghapuskan jawatan Ketua Setiausaha. Dengan ini kuasa Ketua Setiausaha akan diserahkan kepada Residen-Residen dan Majlis-Majlis Undangan Negeri dan menarik keluar raja-raja dari Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Dengan demikian, Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah diperbaharui semula dengan memasukkan ke dalamnya anggota-anggota Melayu yang tidak rasmi menggantikan Raja-Raja Melayu di samping menyerahkan kuasa-kuasa kecil kepada Majlis Undangan Negeri.

Sir Laurence Guillemard

Sir Laurence Guillemard

Sebelum ini, terdapat lapan anggota tidak rasmi Majlis iaitu 5 wakil Eropah, 2 wakil China dan seorang wakil Melayu. Kemudiannya Guillemard menambahkan lagi anggota rasmi kepada 13 orang dan anggota tidak rasmi kepada 11 orang. Ketua-ketua jabatan diberikan kerusi dalam majlis tersebut. Tetapi keanggotaan Sultan ditarik dalam majlis itu dan dimasukkan pula 4 orang wakil baru daripada orang Melayu Empat orang anggota Melayu dalam Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ialah Raja Chulan, Raja di Hilir Perak, Tengku Musa’eddin Raja Muda kepada Sultan Sulaiman Selangor; Dato’ Abdullah bin Haji Dahan, Undang Rembau; dan Tengku Sulaiman, Tengku Besar kepada Sultan Abdullah Pahang.

Walaupun kesemua mereka datang daripada golongan aristokrasi dan dua orang daripadanya bakal raja-raja di negeri masing-masing tetapi mereka merupakan jurucakap rasmi kepada pendapat umum Melayu. Ini terbukti dalam bentuk perhatian yang diberikan oleh Raja Chulan dan Dato’ Abdullah kepada soal-soal pelajaran Melayu dan peluang anak-anak Melayu bekerja dengan pemerintah.

Di samping itu perubahan Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ada kaitannya dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada penghujung 1920-an dan 1930-an di mana telah membabitkan kepentingan orang Melayu seperti soal perombakan semula pemusatan kuasa, zaman meleset dan tuntutan orang Tionghua yang berkehendakkan peranan yang lebih besar bagi mereka dalam urusan-urusan pentadbiran dan pemerintahan.

Perjanjian mengubah Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada hari ini dalam tahun 1927, kurang memberi kesan kepada pengembalian kuasa Raja-Raja Melayu dan orang Melayu. Kerajaan British tetap berkuasa dalam Majlis Undangan Negeri Melayu Bersekutu walaupun jumlah ahli tidak rasminya yang terdiri daripada orang Melayu bertambah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
telegraf-800px
Sejarah

Litar Telegraf Pertama Di Negeri-Negeri Melayu

16 April 1876 – Pada tahun 1876, Perhubungan telekomunikasi pertama telah diadakan dengan pemasangan litar telegraf pertama di Kuala Kangsar, Perak. Litar sepanjang 39.2 kilometer ini telah dipasang bagi menghubungkan Pejabat Residen British di Kuala Kangsar dan Pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke Pejabat Majistret di Matang. Penggunaan litar telegraf ini diperlukan untuk membantu mempercepatkan Residen dalam mengendalikan urusan pentadbirannya serta menyokong pembangunan kegiataan ekonomi yang berkembang pesat di Taiping pada ketika itu.

Berikutan daripada pengenalan talian telegraf pertama ini, Jabatan Pos dan Telegraf telah diwujudkan pada tahun 1882 dan diletakkan di bawah kawalan juruaudit negeri. Lanjutan daripada itu juga sistem perhubungan dan telekomunikasi telah berkembang lagi dengan pemasangan ibusawat pertama di Kuala Lumpur pada tahun 1891.

Pada tahun 1930 ibusawat automatik telah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah dan ianya telah ditempatkan di bangunan Ibusawat Melayu Telefon di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sekarang.

Sistem telekomunikasi negara telah berkembang dengan pesatnya selepas negara mencapai kemerdekaan sejajar dengan pembangunan dan perkembangan dunia telekomunikasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
raja_chulan-800px
Sejarah

Kemangkatan Raja Sir Chulan

10 April 1933 – Raja Sir Chulan telah meninggal dunia pada tahun 1933. Kemangkatan baginda adalah merupakan satu kehilangan besar bagi rakyat negeri Perak dan Tanah Melayu.

Raja Chulan

Raja Chulan

Raja Sir Chulan dilahirkan pada tahun 1869 di Tanjung Brombang Krian, Perak. Baginda mendapat pendidikan dari Raffles Institution, Singapura dan Malacca High School. Dalam tahun 1886 dalam usia 17 tahun baginda telah bekerja di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Kuala Kangsar.

sultan_idris_and_raja_chulan-bw

Raja Chulan dan Sultan Idris

Baginda merupakan putera Melayu pertama yang menyertai perkhidmatan dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Baginda juga merupakan Raja bukan memerintah yang pertama mendapat kurniaan ‘King’ dengan dua bintang kebesaran yang membawa gelaran ‘sir’.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard