map_lebuh_raya_timur_barat-800px
Sejarah

Pelancaran Pembinaan Lebuh Raya Timur Barat

09 April 1964 – Pada tahun 1964, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah melancarkan peringkat pertama pembinaan Lebuh Raya Timur Barat di Mukim Tersat, Kuala Berang, Terengganu. Lebuh raya sejauh 400 kilometer dan menelan belanja sebanyak 150 juta ini bermula dari Sungai Siput di negeri Perak melintasi negeri Kelantan hingga ke Kuala Berang, Terengganu. YAB Tun Abdul Razak menyifatkan, pembinaan lebuh raya ini sebagai satu simbol perpaduan rakyat dan lambang kemajuan dan pembangunan yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan untuk faedah rakyat.

Dengan pembinaan lebuh raya ini, beribu-ribu hektar tanah pertanian seperti getah, padi, kelapa sawit dan sebagainya akan dapat diterokai dengan adanya sistem perhubungan yang baik. Ia juga akan mendorong perlaksanaan pelbagai projek pembangunan seperti projek-projek hidro elektrik dan penempatan-penempatan baru yang memberi faedah kepada penduduk-penduduk desa di sekitarnya.

Tugu lebuh Raya Timur Barat

Di dalam ucapan perasmiannya, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa kerajaan menumpukan perhatian untuk membasmi kemiskinan khasnya di kalangan penduduk desa dengan mengadakan pelbagai projek luar bandar melalui badan-badan tertentu seperti RIDA dan agensi-agensi swasta.

Tun juga menasihatkan penduduk-penduduk desa supaya tidak terpengaruh dengan anasir-anasir subversif yang bertujuan untuk merosakkan kemakmuran dan keamanan negara melalui dakyah-dakyah halus. Rakyat mestilah bersatu-padu dan bekerjasama dengan kerajaan untuk kepentingan Negara.

Dengan pelancaran pembinaan lebuh raya Timur Barat pada hari ini dalam tahun 1964, penduduk desa khasnya di kawasan-kawasan yang terlibat telah dapat menikmati hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Kuala_Lumpur_Hospital-800px
Sejarah

Peletakan Batu Asas Hospital Besar Kuala Lumpur

07 April 1967 – Pada tahun 1967, telah berlangsung majlis peletakan batu asas Hospital Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra. Pembinaan bangunan hospital itu bertujuan untuk menggantikan bangunan-bangunan hospital lama yang telah berusia lebih 80 tahun.

Pembinaan hospital ini telah melalui lima fasa. Fasa pertama dimulakan pada tahun 1963 yang menempatkan Rumah Sakit Bersalin setinggi lima tingkat dan mempunyai 214 buah katil pesakit. Fasa kedua pada tahun yang sama menempatkan pejabat x-ray yang moden dan sebuah asrama jururawat setinggi empat tingkat. Ia mempunyai 608 buah katil pesakit. Fasa ketiga yang dimulakan pada 1968, menempatkan gedung ubat, bilik bedah dan syarahan untuk sekolah latihan jururawat serta sebuah bilik tabung derma darah. Ini diikuti dengan fasa empat dan lima pada tahun yang sama.

Perbelanjaannya menelan kos berjumlah RM 49 juta dengan RM 21 juta diperuntukkan untuk fasa pertama dan kedua. Manakala selebihnya untuk fasa-fasa yang berikutnya. Usaha-usaha pembinaan hospital baru ini membuktikan keperihatinan kerajaan terhadap keperluan kemudahan dan tahap kesihatan rakyat Malaysia dengan mengambil peluang dari pembentukan negara sendiri dan kemerdekaan yang dikecapi

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
satelit_bumi_kuantan-800px
Sejarah

Perasmian Satelit Bumi Di Kuantan

06 April 1970 – Pada tahun 1970, Perdana Menteri, Y.T.M Tunku Abdul Rahman telah merasmikan Stesen Satelit Bumi di Kuantan. Dalam ucapan perasmiannya, Tunku menyifatkan peristiwa ini sebagai satu detik gilang – gemilang bagi Malaysia. Ini kerana Stesen yang bernilai RM9 juta ini telah menandakan satu kemajuan yang telah dicapai oleh negara dalam bidang telekomunikasi dan perhubungan dengan dunia luar.

Stesen yang mula dibina pada bulan Februari tahun 1969 ini dihubungkan dengan satelit diruang angkasa Laut Hindi iaitu INTELSAT 3 yang merentasi dengan India, Indonesia, United Kingdom dan Australia. Berikutan wujudnya Stesen Satelit Bumi ini seluruh rakyat Malaysia telah dapat menyaksikan siaran secara langsung pelancaran dan pendaratan kapal angkasa APOLLO di bulan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perasmian stesen bumi di Kuantan ini telah membuka lembaran baru kepada negara dalam sejarah telekomunikasi negara sejajar dengan perkembangan dan pengisian bagi sebuah negara yang merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upm_logo-800px
Sejarah

Pengisytiharan Nama Baru Universiti Pertanian Malaysia

03 April 1997 – Universiti Pertanian Malaysia menempa sejarah dengan pengisytiharan nama baru, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamad. Nama baru ini menggambarkan UPM menawarkan pelbagai bidang program termasuk sains dan teknologi di samping program berkaitan pertanian, perhutanan dan veterinar. Nama baru ini dipilih kerana lokasinya bersebelahan dengan Putrajaya dan mengambil sempena nama Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Sejarah penubuhan UPM bermula sejak penubuhan Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 dengan tujuan untuk menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian. Pada 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian dinaik taraf menjadi Kolej Pertanian Malaya. Pada 31 Mac 1969, Tun Abdul Razak Hussein telah mengutarakan penubuhan sebuah universiti pertanian yang menawarkan program pengajian di peringkat ijazah.

Sehubungan itu, penubuhan UPM telah menjadi kenyataan melalui Warta Kerajaan P.U. (A) 387 bertarikh 29 Oktober 1971 dan pada 23 Julai 1973, UPM memulakan sesi akademiknya dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. UPM mula mengeluarkan graduan pertamanya pada Majlis Konvokesyen pada 30 Julai 1977.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
universiti_malaysia_kelantan-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

31 Mac 2006 – Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan di negeri Kelantan telah dijadikan sebagai salah satu komponen dalam Rancangan Malaysia Ke-9 bagi menyokong pembangunan modal insan berkualiti dalam sektor pendidikan tinggi negara. YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan sebuah universiti di Kelantan dalam pembentangan RMK-9 pada 31 Mac 2006.

Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan ini telah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada 14 Jun 2006. Jemaah Menteri juga telah menetapkan supaya falsafah kurikulum pengajian di UMK berteraskan kepada pendidikan keusahawanan dan perusahaan (entrepreneurship education and enterprises) dalam semua program pengajian.

Oleh itu frasa rangsangan seperti Entrepreneurship is Our Thrust dan Entrepreneurial University digunakan dengan meluas. Pengkhususan pengajian untuk pembangunan jangka masa pendek dan sederhana dikelompokkan kepada tiga bidang pengajian iaitu Keusahawanan dan Perniagaan; Teknologi Kreatif dan Warisan dan Agro-industri dan Sains Sumber Asli.

Universiti Malaysia Kelantan

Universiti Malaysia Kelantan merupakan institut pengajian tinggi awam yang ke-19 ditubuhkan di Malaysia dan terletak di kampus sementara di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa. UMK telah mula beroperasi secara rasmi pada 1 Julai 2007 dengan pendaftaran pelajar sulung seramai 295 orang.

Kini, Universiti Malaysia Kelantan menumpang di Institut Perguruan Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan. Prof. Dato’ Ir. Dr. Zainai Mohamed telah dilantik sebagai naib canselor pertama Universiti Malaysia Kelantan, berkuatkuasa 1 Oktober 2006.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sultan_Abdul_samad_Building-800px
Sejarah

Pembukaan Rasmi Mahkamah Agung

26 Mac 1984 – Pembukaan Rasmi Mahkamah Agung telah disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda, Sultan Haji Ahmad Shah bertempat di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Dalam upacara tersebut baginda telah berkenan memeriksa perbarisan kehormat 107 anggota Batalion 11 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Ismail Haniffah dengan diiringi 60 anggota Pancaragam Pusat Kor Kovalri Diraja.

Keberangkatan baginda ke dalam Mahkamah Agung diiringi oleh Pemangku Perdana Menteri – Datuk Musa Hitam, Ketua Hakim Negara – Tan Sri Haji Mohd Salleh Abas, Hakim Mahkamah Persekutuan – Tan Sri Wan Sulaiman Pawan Teh, Hakim Besar Malaya – Tan Sri Abdul Hamid Omar dan Hakim Besar Borneo – Tan Sri Lee Hun Hoe. Baginda turut berkenan melawat ke Dewan Penghakiman, bilik Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan bilik Tan Sri Abdul Hamid Omar.

Dalam titah perasmiannya baginda berharap agar dengan pembinaan bangunan mahkamah baru dan pembaikan mahkamah lama, urusan pentadbiran kehakiman dan perbicaraan dapat dijalankan dalam keadaan yang lebih selesa dan sesuai. Mahkamah Agung melambangkan kemuncak bidang kehakiman di negara ini dan mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Malaysia. Mulai daripada 1 April 2007, Mahkamah Agung telah berpindah ke Jalan Duta secara berperingkat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kota_kinabalu-800px
Sejarah

Persetujuan Damai Di Sabah

24 Mac 1986 – Pada tahun 1986, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa persetujuan damai dan formula kerjasama bagi menyelesaikan krisis politik Sabah telah dipersetujui oleh tiga parti utama di Sabah.

Datuk Seri Dr. Mahathir juga berkata melalui persetujuan damai ini, keadaan politik dan ekonomi di negeri Sabah dapat ditenteramkan. Beliau menambah formula kerjasama ada kaitan dengan cadangan Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, dengan diiringi oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Pairan Ketingan, kemudian melawat tempat letupan bom dekat Wisma Sabah dan selepas itu ke Kompleks Gudang di Karamunsing yang terbakar dalam rusuhan pada 19 Mac 1986.

Formula kerjasama dan persetujuan damai bagi menyelesaikan krisis politik Sabah yang dipersetujui oleh Presiden PBS, Datuk Pairin Ketingan, Presiden USNO Datuk Tun Datu Haji Mustapha Harun dan Presiden Berjaya Haji Mohd Nor Mansoor akan membawa keamanan di negeri Sabah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Projek Pusat Bandaraya Pulau Pinang

22 Mac 1975 – Pada tahun 1975, Ketua Menteri Pulau Pinang Dr. Lim Chong Eu telah mengumumkan projek raksasa pusat Bandaraya Pulau Pinang sebagai Kompleks Angkasa Perdana kerana mengambil sempena nama Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang telah melakukan upacara menanam tiang asas projek itu pada tahun 1973 lalu.

Lim_Chong_Eu

Lim Chong Eu

Perlaksanaan projek ini sebenarnya adalah untuk memenuhi kehendak bangunan-bangunan pentadbiran, tatarakyat, kebudayaan serta perdagangan ke arah menyusun semula masyarakat di bandaraya Georgetown sejajar dengan kehendak Dasar Ekonomi Baru.

Ketua Menteri semasa berucap merasmikan bengkel daerah yang pertama mengenai Malaysia dalam tahun 2000 pagi ini menyifatkan bahawa projek ini merupakan salah satu perkara penting untuk memenuhi kehendak pembangunan sosio-ekonomi bandar Georgetown bukan sahaja untuk 10 tahun tetapi menjangkau hingga ke kurun ke-21.

Projek Pusat Bandaraya yang bernilai kira-kira 200 juta ringgit ini terletak di kawasan 22.4 ekar merangkumi Jalan Pinang, Jalan Perangin, Lebuh Bridge dan Jalan Magazine. Ia akan dilaksanakan dalam lima peringkat.

Perlaksanaan dan kejayaan projek ini memperlihatkan keupayaan kerajaan menjalankan proses kemajuan tanpa mengubah corak dan mutu kehidupan rakyat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
abdullah_badawi-1-800px
Sejarah

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri

22 Mac 2004 – YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Kesebelas pada tahun 2004. Acara yang penuh dengan adat istiadat ini telah berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

abdullah_badawi

Turut berangkat pada upacara tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. YAB Perdana Menteri diiringi isteri, Datin Seri Endon Mahmood.

Pilihan Raya Umum kesebelas yang berlangsung pada 21 Mac 2004 ini merupakan Pilihan Raya yang pertama bagi Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Pada Pilihan raya ini Barisan Nasional mencatatkan kejayaan paling gemilang dalam sejarah pilihan raya negara apabila memenangi 198 buah kerusi daripada 219 buah kerusi Parlimen dan pada masa yang sama menguasai 452 daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tudm_Cope_Taufan_2014-800px
Sejarah

Penyerahan Panji-Panji Diraja Kepada Tudm

14 Mac 1967 – Satu upacara penyerahan panji-panji Diraja kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diadakan pada tahun 1967. Penyerahan itu dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diserahkan kepada Flight Lt. Buang bin Ahmad.

tudm

Penyerahan panji-panji Diraja kepada TUDM ialah sebagai menghargai khidmat jasa para TUDM dalam mempertahankan keamanan dan keharmonian. Ia juga menjadi ”simbol taat setia kepada bangsa dan negara”.

Bentuk panji-panji Yang di-Pertuan Agong itu berwarna kuning Diraja serta di tengah-tengahnya terdapat lambang Diraja dan di bahagian sudut atas sebelah kiri ialah lambang TUDM.

Turut hadir di upacara itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Ketua Turus TUDM, Pemerintah Udara A. Mck. Steedman, dan kira-kira 1,000 orang anggota tentera TUDM.

Terdahulu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Negara menerima tabik kehormat dan barisan TUDM dengan diiringi lagu Negara Ku dan pertunjukan penerbangan kapal terbang TUDM.

Dengan berlangsung upacara itu pada hari ini dalam tahun 1967, melambangkan kedaulatan negara terhadap khidmat TUDM. Semoga ia dapat memberi semangat baru dan motivasi kepada semua pegawai supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard