pilihanraya_1955-800px
Sejarah

Pilihanraya Umum Parlimen Yang Pertama Selepas Merdeka

19 Ogos 1959 – Pilihanraya Umum Parlimen yang pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan pada tahun 1959.

Melalui pilihanraya ini, buat pertama kalinya penduduk Tanah Melayu berpeluang menentukan sendiri peruntukan kerusi dan perjalanan pilihan raya.

Pilihanraya kali ini telah menyaksikan kenaikan peratus pengundi bagi tiap kaum iaitu 57% bagi pengundi-pengundi Melayu, 30% Cina dan 7% India.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan juga bertambah dari 52 pada tahun 1955 menjadi 104 pada tahun 1959.

tunku 1959

Antara parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya ini ialah Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC, Parti Negara, Parti Malaya (Malayan Party), Parti Islam Se Tanah Melayu dan beberapa orang calon bebas.

Parti Perikatan telah memenangi 74 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan.

Berikutan kemenangan besar Parti Perikatan, Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Parti Perikatan dan Perdana Menteri telah membentuk kabinet pertama selepas merdeka yang bebas daripada campur tangan penjajah Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
singapore_withdraw-800px
Sejarah

Pemisahan Singapura Dari Malaysia

09 Ogos 1965 – Pemisahan Singapura dari Malaysia terjadi pada tahun 1965. Pengisytiharan mengenai pemisahan ini telah dibuat oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia pertama di Dewan Rakyat.

Kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 telah membebaskannya dari belenggu penjajahan Inggeris dan menjadikannnya sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Singapore withdraws

Tindakan pemisahan tersebut merupakan jalan terbaik demi perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan menghindarkan konflik politik di antara Kerajaan Malaysia yang dikuasai Parti Perikatan dan Parti Tindakan Rakyat yang berkuasa di Singapura.

Tunku Abdul Rahman menyatakan antara sebab lain perpisahan ini ialah kerana sikap setengah pemimpin-pemimpin politik Singapura yang memperjuangkan konsep ‘Malaysia Malaysia’ yang menafikan institusi kesultanan Melayu serta hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Walau bagaimanapun, pemisahan Singapura dari Malaysia dibuat dengan persefahaman bahawa Malaysia dan Singapura akan terus bekerjasama dalam bidang-bidang pertahanan, perniagaan dan perdagangan.

Untuk itu satu persetujuan telah pun dibuat dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Cabinet_of_Malaya,_1955-800px
Sejarah

Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu

01 Ogos  1955 – Pada tahun 1955, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, selaku pemimpin Kebangsaan Parti Perikatan yang dianggotai oleh United Malay National Organisation (UMNO), Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan Indian Congress (MIC) telah membentuk kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Pembentukan Kabinet adalah berikutan kemenangan Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama yang di adakan pada 27 Julai 1955.

Pembentukan barisan Kabinet pertama terdiri daripada 10 orang Menteri, 2 orang Timbalan Menteri dan 3 orang Penolong Menteri terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti dari UMNO, MCA, MIC.

Sehubungan itu, YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama.

Pengumuman rasmi pembentukan anggota Kabinet pertama  telah dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray pada 4 Ogos 1955 di King’s House setelah diperkenankan oleh Raja-raja Melayu.

Majlis angkat sumpah telah diadakan pada 9 Ogos 1955 dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Mr. Pretheroe.

Pembentukan Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi asas kepada pembentukan berkerajaan sendiri selepas kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pilihanraya_1955-800px
Sejarah

Pilihanraya Persekutuan Yang Pertama

27 Julai 1955 – Pilihanraya Persekutuan yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan telah diadakan pada tahun 1955 mempertandingkan sebanyak 52 buah kerusi. Parti-parti yang mengambil bahagian dalam pilihanraya ini ialah Parti Perikatan yang terdiri daripada parti UMNO, MCA dan MIC.

Parti Perikatan mempertaruhkan seramai 52 orang calon, bagi tiap-tiap kawasan pilihanraya. Manakala Parti Negara, di bawah pimpinan Datuk Onn pula telah mengemukakan seramai 33 orang calon. Diikuti dengan Parti Islam SeTanah Melayu (PAS) dengan 11 orang calon.

Antara Parti-parti lain yang turut serta mengambil bahagian dalam pilihanraya ini ialah Parti Buruh, Parti Kemajuan Perak, Pertubuhan Kebangsaan Perak dan Pertubuhan Melayu.

pilihanraya 1955

Pilihanraya 1955

Parti Perikatan telah berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi lagi telah dimenangi oleh PAS.

Berikutan daripada itu Parti Perikatan telah berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan Tunku Abdul Rahman, selaku pemimpin Parti Perikatan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 01 Ogos 1955, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, selaku pemimpin Kebangsaan Parti Perikatan telah membentuk kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Semangat kerjasama dan muhibah di kalangan anggota Parti Perikatan telah menjadi teras kepada kejayaan yang diperolehi serta membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
parti_perikatan-800px
Sejarah

Perikatan Umno-Mca Menarik Ahli-Ahlinya Daripada Pentadbiran Kerajaan

13 Jun 1954 – Pada tahun 1954, satu ketetapan telah diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA untuk menarik keluar semua ahlinya yang bukan rasmi dari mengambil bahagian yang cergas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Menurut ketetapan yang dikeluarkan, ahli-ahli Perikatan yang dilantik (Nominated) sebagai ahli-ahli tidak rasmi oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Settlement kepada Majlis Kerja Persekutuan, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan, Majlis Mesyuarat Negeri, Majlis Mesyuarat Settlement, Majlis-Majlis Mesyuarat Perbandaran, Bandaran dan Lembaga Bandaran akan meletak jawatan dari Majlis tersebut.

Ahli-ahli yang dipilih (elected) ke dalam majlis-majlis ini pula akan memulakan persidangan majlis-majlis tersebut. Ketetapan ini diambil sebagai tindakan tidak puas hari terhadap Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British yang melengahkan cadangan Perikatan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas dan bebas bagi menyiasat dan mengkaji soal pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ketetapan yang diputuskan ini, dua orang Menteri Perikatan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan jawatan. Mereka ialah Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman; Menteri Hasil Bumi dan Kol. H.S.Lee; Menteri Kenderaan Persekutuan Tanah Melayu.

Di samping itu, Jawatankuasa Agung Pusat MCA telah melantik sebuah jawatankuasa bertindak yang akan menguruskan semua soal mengenai ahli-ahli MCA yang menjadi ahli dalam badan-badan kerajaan dan separuh kerajaan kecuali badan-badan mengenai kebajikan dalam negeri.

Ketetapan yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA menarik keluar ahli-ahlinya daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan begitu seriusnya perjuangan mereka menuntut kemerdekaan bagi negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard