ThuiskomstVanNeck1599
Sejarah

Perjanjian Naning Belanda Diperbaharui

13 Februari 1680 – Pada 15 Ogos 1641, Belanda dan Naning menandatangani satu perjanjian. Belanda diwakili oleh Johan van Twist, Gabenor Belanda di Melaka manakala Naning diwakili oleh Penghulu dan pembesarnya. Dalam perjanjian itu Naning diminta memberi 200 gantang padi dan beberapa orang abdi sebagai tanda persahabatan. Di samping itu juga pemerintah Belanda mempunyai hak-hak mutlak untuk melantik bangsa Belanda sebagai pemungut cukai.

Belanda juga mengambil kesempatan dengan mengenakan bermacam-macam cukai lagi kepada rakyat Naning dan Rembau. Antaranya ialah cukai penjualan buah pinang, sireh, padi, cukai tanah dan cukai kepala. Ini telah menyebabkan rakyat memberontak.

Setelah penentangan dan serangan oleh Naning dan Rembau terhadap Belanda berterusan selama beberapa tahun, satu perjanjian damai telah ditandatangani pada 13 Februari 1680.

Rijcklof van Goens

Rijcklof van Goens

Perjanjian Naning Belanda diperbaharui oleh Gabenor Jeneral Rijcklof van Goens dan Gabenor Belanda Melaka, Yakub Jarissoon Pits bagi pihak Belanda dengan wakil Naning dan Rembau bagi pihak raja Johor,

Antara butiran pada perjanjian tersebut adalah :

  • Cukai sebanyak sepuluh peratus atas penjualan lada perlu diserahkan kepada Belanda,
  • Belanda berjanji untuk memberi sara hidup yang mencukupi kepada ketua di Naning dan satu per sepuluh daripada hasil yang dikutip.
  • Setiap bot dari Naning perlu membayar duti satu crusadoe kepada Belanda.
  • Semua hamba beragama Kristian akan dibebaskan
  • Orang Naning dilarang membuat hubungan perdagangan dengan orang luar.
  • Mereka dikehendaki membawa barang dagangan ke Melaka melalui Sungai Melaka sahaja.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_istana_raja_melewar_rembau-800px
Sejarah

Perjanjian Sempadan Rembau

09 Januari 1833 – Pada tahun 1833, satu perjanjian yang menentukan sempadan Rembau dan Melaka telah ditandatangani di Naning. Perjanjian ini telah dibuat di antara Ketua Pemerintah Rembau dan pembesar-pembesarnya dengan wakil-wakil dari Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Mohor_Syarikat_Hindia_Timur_Inggeris

Pihak Rembau telah diwakili oleh Yamtuan Besar Raja Ali, Yamtuan Muda Sharif Saban bin Ibrahim AI-Kadaree, Datuk Penghulu Maharaja Lela dan Datuk-Datuk dari lapan suku Rembau iaitu Datuk Maharaja Gampar, Datuk Mara Wangsa, Datuk Saunia Raja, Datuk Andika, Datuk Maharaja Sendeng dan Datuk Mandaleka. Pihak Syarikat India Timur Inggeris pula telah diwakili oleh Robert Ibbetson Gabenor Majlis Pulau Pinang, Singapura dan Melaka dan Samuel Garling, Penasihat Residen Melaka.

Robert_Ibbetson_1789-1850

Robert Ibbetson

Syarat Perjanjian Sempadan Rembau

Di antara lain perjanjian, ini menyatakan:-

  • Sempadan-sempadan di antara Rembau dan Melaka ialah daripada Kuala Sungai Jenai hingga ke Bukit Bertam, kemudian hingga ke Bukit Jelutong dan ke Bukit Putus, kemudian hingga ke Jerat Kancil, ke Lubuk Talang, hingga ke Dusun Perinjai ke Dusun Kacur, hingga ke Buluh Sangkar dan ke Bukit Putus.
  • Walau sesiapa pun yang akan menjadi pemerintah Kerajaan Melaka atau Kerajaan Rembau kemudiannya, mereka hendaklah menghormati dan mematuhi perjanjian yang telah dibuat ini.
  • Daripada tarikh ini, kedua-dua pihak yang menandatangani perjanjian ini, hendaklah membatalkan kesemua perjanjian-perjanjian dan persetujuan yang telah dibuat sebelumnya berkaitan dengan sempadan di antara Rembau dan Melaka.

Dengan termeterainya perjanjian sempadan Rembau yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1833, terbentuklah sempadan di antara Melaka dan Rembau yang akan memudahkan perhubungan di antara kedua-dua belah pihak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_istana_raja_melewar_rembau-800px
Sejarah

Perjanjian Persahabatan Rembau – Belanda

05 Jun 1819 – Satu perjanjian persahabatan dan pengiktirafan telah ditandatangani di Naning di antara Kerajaan Belanda dan Rembau pada tahun 1819. Rembau telah diwakili oleh Raja Ali, Penghulu Dato’ Maharaja Lela dan Empat Suku yang terdiri dari Dato’ Gempa Maharaja, Dato’ Marabangsa, Dato’ Sangsoera Pahlawan dan Dato’ Bangsa di Balang. Kerajaan Negeri Belanda pula diwakili oleh Gabenor Belanda di Melaka iaitu J. S. Timmermann Thyssen.

Perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini adalah :

  • ARTIKEL PERTAMA – Kerajaan Belanda mengiktiraf Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku sebagai pentadbir Kerajaan Rembau.
  • ARTIKEL KEDUA – Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku mengiktiraf Kerajaan Belanda sebagai pelindung serta bersumpah dan berjanji akan sentiasa taat setia dan tidak akan menentang Kerajaan Belanda dan menganggap bahawa sahabat-sahabat Belanda adalah sahabat-sahabat mereka dan usuh Belanda sebagai musuh Rembau juga, dan oleh itu berjanji akan memberi bantuan tenaga atau senjata jika diperlukan oleh pemerintah Belanda di Melaka.
  • ARTIKEL KETIGA – Kerajaan Belanda mengaku untuk mengekalkan dan menyokong Raja Ali, Penghulu, hak-hak mereka dan waris-waris mereka kecuali mengenai adat istiadat Negeri Rembau yang dibenarkan berlaku sepenuhnya, tetapi jika Raja Ali atau Penghulu meninggal dunia, waris yang dipilih menggantikannya tidak boleh bertindak atau diakui tindakannya itu oleh sesiapa pun kecuali ianya telah dipersetujui oleh pemerintah Belanda di Melaka.
  • ARTIKEL KEEMPAT – Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku tidak akan memberi perlindungan kepada orang-orang yang terlibat dalam penjualan hamba abdi atau yang telah melakukan jenayah tetapi sebaliknya mestilah menyerahkan mereka kepada Gabenor Belanda di Melaka supaya dibicarakan mengikut kesalahan mereka.
  • ARTIKEL KELIMA – Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku mestilah menyerahkan hamba-hamba yang telah lari dan berselindung di Rembau semenjak 21hb September. 1818 iaitu tarikh bermulanya pemerintahan Belanda di Melaka, dan demikian itu bagi tiap-tiap seorang hamba yang diserahkan semula akan dibayar 14 Dollar Sepanyol yang mana 7 dollar akan dibahagi-bahagikan kepada Penghulu dan Empat Suku, dan 7 dollar lagi akan diberikan sebagai hadiah kepada sesiapa saja yang telah menyerahkan hamba tersebut.
  • ARTIKEL KEENAM – Di atas permintaan Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku, Gabenor Melaka akan mengeluarkan arahan-arahan untuk menahan orang-orang seperti itu yang melarikan diri dari Rembau dan menyembunyikan diri dalam kawasan kekuasaan Melaka, dan menyerahkan mereka kepada Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku. Peraturan yang sama hendaklah diikuti berhubung dengan hamba-hamba yang lari dari Rembau ke Melaka di mana bayaran sebanyak 14 dollar Sepanyol hendaklah dibayar oleh yang empunya hamba.
  • ARTIKEL KETUJUH – Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku akan menyerahkan kepada kerajaan Belanda semua bijih timah yang dipungut oleh mereka atau rakyat mereka dari Linggi, Sungai Ujong, Rembau dan jajahan takluk mereka; Kerajaan Belanda akan membayar 40 dollar (Sepanyol) bagi setiap satu bahara yang seberat 300 kati atau 375 paun Belanda bagi berat yang sama. Walau bagaimanapun Kerajaan Belanda mempunyai kuasa merampas bijih timah yang diseludup, atau yang menyalahi Perjanjian 1759.
  • ARTIKEL KELAPAN – Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku tidak akan membantu atau melindungi lanun-lanun tetapi sebaliknya membantu dengan segala kuasa yang ada pada mereka untuk memajukan perdagangan di Selat Melaka dan mereka akan bertanggungjawab terhadap kegiatan perompakan di laut yang dilakukan oleh rakyat mereka.
  • ARTIKEL KESEMBILAN – Jika diketahui ada orang-orang yang membuat persiapan untuk bermusuhan mereka hendaklah menghalangnya daripada berlaku dan memberitahukan hal itu ke pengetahuan Gabenor Melaka.
  • ARTIKEL KESEPULUH – Setiap kapal tanpa mengecualikan tuan punya sama ada yang datang dari Timur atau Barat, yang melalui Melaka akan dirampas jika tidak membayar cukai pelabuhan. Semua kapal yang dipunyai oleh Rembau jika bertembung dengan kapal-kapal kerajaan asing yang memberi tembakan isyarat kepada mereka, mestilah memberikan lambaian isyarat dan menunjukkan pas kebenaran supaya dibenarkan Ialu dan tidak disyaki sebagai lanun.

Perjanjian ini adalah untuk memperbaharui Perjanjian 1759 yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Tertinggi Belanda di India dengan Daeng Kemboja (Dain Cambodia) bersama-sama Penghulu dan Empat Suku yang dahulu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
seri_menanti-4-800px
Sejarah

Perjanjian Antara Yamtuan Antah Dengan Inggeris

04 Jun 1887 – Selepas Perang Naning di antara tahun 1813-1832 Inggeris mula mengadakan beberapa siri perjanjian persahabatan dengan beberapa Pembesar Negeri Sembilan. Antaranya perjanjian dengan Raja Ali dan Syed Shaaban. Selepas itu Inggeris juga mula mencampuri urusan pentadbiran di Negeri Sembilan atas alasan menjaga kepentingan saudagar-saudagar mereka yang berniaga di Negeri Sembilan. Perjanjian-perjanjian ini secara tidak langsung membawa kepada campur tangan politik Inggeris ke atas kedaulatan pemerintahan Negeri Sembilan.

Pada 4 Jun 1887, salah satu daripada perjanjian tersebut telah ditandatangani. Perjanjian yang dimaksudkan adalah di antara Yang Maha Mulia Tengku Antah, Yamtuan Seri Menanti atau (lebih dikenali sebagai Yamtuan Antah) dengan Gabenor Negeri Selat Sir Frederick Aloysius Weld. Perjanjian dibuat selepas peristiwa Perang Bukit Putus.

Peperangan tersebut berlaku akibat perselisihan yang berlaku antara Yamtuan Antah di Seri Menanti dengan Dato’ Kelana Syed Abd. Rahman Sungei Ujong. Dato’ Kelana telah membuat perhubungan persahabatan dengan British dan semasa pertempuran di Bukit Putus beliau telah dibantu askar-askar British di bawah Kapten Patrick J. Murray. Walaupun Yamtuan Antah telah berperang bermati-matian melawan askar British di Bukit Putus. Baginda akhirnya terpaksa berundur ke Johor apabila pihak British berjaya mengalahkan Baginda.

Semasa berada di Johor, Baginda telah dibantu oleh Maharaja Abu Bakar untuk mengadakan perjanjian dengan Gabenor Negeri Selat di Singapura. Setelah mengadakan perbincangan maka pada hari ini perjanjian tersebut telah ditandatangani setelah Yamtuan Antah kembali semula ke Seri Menanti.

Antara lain perjanjian ini menyebut bahawa kerajaan Negeri Selat dan Negeri Sembilan akan bekerjasama dalam menjaga hal ehwal negeri, Yamtuan Seri Menanti dan Dato’-dato’ Penghulu Negeri Sembilan juga hendaklah sentiasa memberikan pertolongan kepada kerajaan Negeri Selat apabila dikehendaki; dan pihak British juga mengakui bahawa Tengku Besar Muhamad Ibni Tengku Antah akan menjadi pengganti Yamtuan dalam daerah Negeri Sembilan dan keturunannya.

Melalui perjanjian ini jelaslah bahawa British telah mencampuri urusan pentadbiran Negeri Sembilan secara mendalam. Yamtuan Antah pula ketika itu tidak berapa sihat dan semakin gering, menyebabkan fasa mengenai perlantikan anakanada Baginda Tengku Besar Muhamad disebut secara khusus dalam perjanjian ini. Yamtuan Seri Menanti, Yamtuan Antah akhirnya mangkat di Seri Menanti pada tahun 1888 setahun selepas perjanjian ini ditandatangani.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
naning-bg
Sejarah

Perang Naning Berakhir 1832

15 Jun 1832 – Pada tahun 1832 peperangan di antara pihak Kerajaan Inggeris di Melaka dengan Naning yang lebih dikenali sebagai Perang Naning berakhir.

Peperangan itu dikatakan berpunca daripada keengganan orang-orang Melayu Naning membayar 1/10 daripada hasil pendapatan mereka kepada pihak berkuasa Kerajaan Inggeris di Melaka.

Orang-orang Melayu Naning diketuai oleh Penghulunya, Dato’ Naning Abdul Said atau Dol Said. Setelah beberapa kali gagal memujuk Dato’ Naning supaya membayar ufti 1/10, pada bulan Julai 1831, satu pasukan seramai 150 orang askar Sepoi dengan dua buah meriam telah dihantar oleh kerajaan Inggeris ke Naning untuk menghancurkan pasukan Dato’ Naning dan orang-orangnya.

Askar-askar ini telah ditentang dan dikalahkan oleh orang-orang Dato’ Naning dengan bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban yang merupakan menantu Raja Ali.

Serangan ini adalah merupakan serangan yang pertama. Inggeris sedar bahawa kekuatan Naning dan Rembau tidak mudah dikalahkan.

Oleh itu dari bulan September 1831 hingga Januari 1832 beberapa siri rundingan di antara Raja Ali dari Rembau dan pihak kerajaan Inggeris di Melaka telah diadakan dan akhirnya pada 28hb Januari. 1832 satu perjanjian telah dipersetujui dan ditandatangani.

Mengikut perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju tidak akan menyerang di antara satu sama lain dan Rembau diiktiraf sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran kerajaannya.

Sebagai ganjaran, Raja Ali menarik balik pasukannya daripada Naning dan mengurangkan kekuatannya kepada kira-kira 600 orang dan beberapa bulan kemudian bergabung dengan pasukan Inggeris.

Pada bulan April, 1832 pasukan Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban dan askar-askar Inggeris berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,400 orang yang diketuai oleh Kolonel Herbert menyerang Naning bagi kali yang kedua.

Dalam serangan kali kedua ini, dan setelah berlaku beberapa pertempuran selama lebih kurang dua bulan, Taboh, ibu negeri dan pusat gerakan Dato’ Dol Said dapat ditawan dan Dato’ Dol Said serta pengikut-pengikutnya berundur.

Dengan berakhirnya perang Naning pada hari ini dalam tahun 1832, telah memberi ruang kepada Inggeris untuk menawan Naning.

Perang Naning telah membuktikan semangat juang yang tinggi di kalangan orang-orang Melayu dalam mempertahankan maruah dan hak bangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard