Sejarah

Cadangan Penukaran Nama Jesselton Kepada Kota Kinabalu

06 Mac 1966 – Cadangan penukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu telah dinyatakan oleh Pengerusi Perikatan Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tun Mustapha bin Datu Harun pada tahun 1966. Cadangan tersebut telah diutarakan dalam ucapan beliau dalam satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah.

Di dalam ucapannya, Tun Mustapha menyatakan bahawa nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Nama Kota Kinabalu juga dipilih bagi menghormati kaum Dusun yang merupakan kaum teramai yang tinggal berdekatan gunung tersebut.

Tun Mustapha bin Datu Harun

Tun Mustapha bin Datu Harun

Menurut Tun Mustapha lagi sikap bermegah-megahkan orang-orang asing harus dihapuskan kerana nama bandar Jesselton itu sendiri sebenarnya diberikan bagi memperingati seorang Naib Pengerusi Syarikat Borneo Utara British di Sabah, iaitu Sir Charles Jessel. Beliau berharap agar anak cucu dan keturunan yang akan datang berbangga dengan perjuangan serta kemajuan yang dilakukan oleh penduduk tempatan di masa lalu.

Di samping itu, Tun Mustapha turut mengesyorkan supaya setiap negeri di Malaysia menamakan jalan raya dengan nama negeri-negeri lain di Malaysia. Beliau juga mengesyorkan supaya sebatang jalan raya di ibu kota Kuala Lumpur diberi nama Jalan Kinabalu.

Usaha ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi persefahaman dan dapat mengingatkan kembali serta mempelajari sejarah tempatan demi menghidupkan semangat kebangsaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Pelancaran Perodua Rusa

06 Mac 1996 – Pelancaran Perodua Rusa telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 6 Mac 1996. Pengerusi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd, YM Raja Tun Mohar Bin Raja Badiozaman turut sama hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Perodua keluaran pertama

Perodua keluaran pertama

Perodua Rusa merupakan sebuah mikrovan pertama Perodua dan negara. Rekaannya diambil dari model Daihatsu D-130 Jumbo (Indonesia) yang memiliki rekabentuk seperti Daihatsu Hijet Maxx. Pelancaran pertama pada tahun 1996 Perodua Rusa 1.3CX merupakan model biasa 2 tempat duduk dengan enjin 1.3 liter.

Perodua keluaran kedua

Perodua keluaran kedua

Pada tahun 1997 Perodua Rusa 1.3 GX dilancarkan dengan 7 tempat duduk dan enjin 1.6 liter. Sebelum digantikan dengan lambang Perodua, lambang asal van ini adalah gambar rusa melompat.

Perodua keluaran facelift

Perodua keluaran facelift

Maklumat Perodua Rusa

  • Pengilang Perodua
  • Pengeluaran 1996-2007
  • Kelas Mikrovan
  • Stail badan Van 5-pintu
  • Pelantar Susun atur FR
  • Enjin Enjin petrol HD-C, disejukkan air, 4-silinder sebaris, 4-kitar, 16-injap, SOHC.
  • Jarak roda 2,080 mm (81.9 in)
  • Panjang 3,880 mm (152.8 in)
  • Lebar 1,560 mm (61.4 in)
  • Tinggi 1,845 mm (72.6 in)
  • Berat Curb 935 kg (2,061 lb) — 1,145 kg (2,524 lb)
  • Berkait Daihatsu Atrai, Daihatsu Hijet

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Commonwealth_Flag-800px
Sejarah

Malaysia Menarik Diri Dari Kumpulan 8 Negara Komanwel

05 Mac 1971– Pada tahun 1971, Malaysia telah menarik diri dari menjadi anggota Badan Pengkaji Kumpulan 8 Negara Komanwel. Pengumuman ini dibuat oleh Kementerian Luar Negeri sebagai bantahan terhadap pengumuman Britain hendak membekalkan helikopter jenis Wasp kepada negara Afrika Selatan tanpa menunggu laporan dari kumpulan negara yang membuat kajian.

Kumpulan Badan Pengkaji tersebut dibentuk oleh negara-negara Komanwel di Singapura pada bulan Januari 1971 untuk mengkaji masalah penjualan senjata Britain kepada Afrika Selatan.

Westland Wasp HAS.1

Westland Wasp HAS.1

Malaysia telah pun menjelaskan sikapnya bahawa sebarang keputusan Britain untuk menjual senjatanya kepada Afrika Selatan sebelum kumpulan itu selesai menjalankan tugasnya akan menjejaskan kerja-kerja kumpulan itu.

Malaysia merupakan negara ketiga dari lapan buah negara anggota kumpulan yang menarik diri berikutan keputusan Britain itu. Manakala dua buah negara terdahulu ialah Nigeria dan India.

Dengan penarikan Malaysia dari menjadi anggota kumpulan lapan Negara Komanwel pada hari ini dalam tahun 1971 hanya tinggal lagi lima buah negara yang mengekalkan keanggotaannya iaitu Australia, Britain, Kenya, Kanada dan Jamaica.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
msn_logo
Sejarah

Pengumuman Penubuhan Majlis Sukan Negara

05 Mac 1969 – Penubuhan Majlis Sukan Negara telah diumumkan pada tahun 1969. Usul penubuhannya telah diluluskan oleh kabinet pada 27 April 1971. Ia ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979).

Majlis Sukan Negara telah dilancar secara rasmi pada 21 Februari 1972 oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Pada peringkat awal penubuhannya, program-program sukan prestasi tinggi dilaksanakan di bawah kendalian Bahagian Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (nama Kementerian Belia Dan Sukan ketika itu).

Untuk mencapai matlamat penubuhan Majlis, satu usaha kolektif melibatkan secara langsung semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan sukan tanahair, majlis-majlis sukan negeri, institusi pengajian tinggi, badan-badan sukarela serta orang perseorangan telah diusahakan supaya mutu sukan negara dapat mencapai prestasi yang terbaik.

Selepas organisasi Majlis disusun semula pada tahun 1981, Majlis mula mengorak langkah dan seterusnya mengembangkan program dan aktiviti sehinggalah apa yang dapat dilihat masa kini. Matlamat penubuhan Majlis Sukan Negara Malaysia adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara iaitu bertanggungjawab sepenuhnya ke arah penggalakkan, pembangunan dan pencapaian cemerlang dalam sukan-sukan di peringkat tertinggi.

logo anugerah sukan negara

Objektif Penubuhan Majlis Sukan Negara

  1. Memastikan lebih ramai atlet dan atlet para melayakkan diri ke program podium.
  2. Memastikan pengurusan program pembangunan atlet dilaksanakan secara bersistematik dan berstruktur dengan kerjasama semua pemegang taruh.
  3. Memastikan agensi-agensi pelaksana peringkat kebangsaan dan negeri berkeupayaan menguruskan program latihan dengan berkesan.
  4. Mewujudkan penilaian dan piawaian kebangsaan dalam aspek pembangunan atlet.
  5. Bertindak sebagai pakar rujuk teknikal dalam pengurusan dan pembangunan sukan prestasi tinggi di Malaysia.
  6. Menyelaras semua perkhidmatan sokongan dalam pelbagai aspek seperti pengurusan kejurulatiahn, kemudahan latihan, kebajikan atlet dan tadbir urus di setiap peringkat pembangunan sukan prestasi tinggi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perjanjian Persempadanan Perak Kedah

04 Mac 1912– Satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Perjanjian tersebut adalah mengenai sempadan antara Perak Kedah iaitu di Daerah Baling dan Tasek dan pembinaan sebatang jalan raya dari Baling ke Padang Serai di Negeri Kedah.

sultan abdul halim shah

Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Persetujuan yang dicapai di dalam perjanjian tersebut adalah seperti berikut:

  • Sultan Perak bersetuju membina sebatang jalan raya kelas satu dari Baling hingga ke Kuala Ketil sepanjang 22 batu. jalan yang akan dibina ini akan menyambungkan Klian Intan di Hulu Perak dengan Baling hingga ke Kuala Ketil. Pembinaan jalan sepanjang 22 batu ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak. Sebagai balasannya, Kerajaan Negeri Kedah pula bersetuju akan mengawasi jalan tersebut selepas ianya diserahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah, seperti juga ia mengawasi jalan- jalan kelas satu di Negeri Kedah.
  • Kerajaan Negeri Kedah juga bersetuju akan menyambung pembinaan jalan tersebut dari Kuala Ketil ke Padang Serai sejauh 12 batu dan Kedah juga akan mengawasi jalan tersebut seperti juga ia mengawasi jalan-jalan kelas satu yang lain di Kedah.
  • Kerajaan Kedah akan menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Perak semua kawasan di Baling dan kawasan Goa Baling ke atas kepada Kerajaan Perak supaya pada masa hadapan sempadan antara Kedah dan Perak di kawasan Hulu Perak ditandai dengan kawasan bukit dalam daerah tersebut.
Raja Chulan dan Sultan Idris

Raja Chulan dan Sultan Idris (kanan)

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar di hadapan Pemangku Residen British di Perak, Oliver Marks dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid menandatangani bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah dengan disaksikan oleh Encik Md. Ariffin, Setiausaha kepada Baginda Sultan Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Balance_scales_in_China_02-800px
Sejarah

Rusuhan Terhadap Majlis Bandaran Kuala Lumpur ( Sanitary Board )

04 Mac 1897– Pada tahun 1897, satu rusuhan terhadap Majlis Bandaran Kuala Lumpur (Sanitary Board) terjadi ekoran dari bantahan pekedai-pekedai Cina yang dipaksa menggunakan Liteng atau dacing kecil. Para peniaga tidak dibenarkan lagi menggunakan alat-alat timbang dan sukat yang digunakan sebelum itu.

Sekumpulan perusuh telah berarak di jalanraya dan telah mengugut semua peniaga supaya menutup kedai mereka. Perusuh-perusuh ini akan merampas barang-barang daripada kedai-kedai yang menjalankan perniagaan. Mereka juga telah menyerang pekebun-pekebun sayur dan orang ramai yang sedang membeli dan mengusir mereka keluar dari kawasan pasar. Di samping itu, semua jenis pengangkutan awam tidak beroperasi dan jika ada yang mengambil sewa, kenderaan itu akan dirampas dan dimusnahkan.

Liteng

Liteng

Notis-notis telah diedarkan kepada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur supaya melakukan pemogokan menentang pengguna alat penimbang dan sukat yang baru. Jaminan perlindungan akan diberikan sekiranya sesuatu masalah yang timbul akibat pemogokan yang dilakukan.

Menurut laporan Encik G.T. Hare, Protector of Chinese bagi Negeri Selangor dan Negeri-negeri Bersekutu, rusuhan tersebut terjadi kerana tindakan Inspektor Stapleton dari Jabatan Timbang dan Sukat menyaman tiga buah kedai yang menggunakan alatan timbang dan sukat yang berlainan dengan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaran Kuala Lumpur.

Balance_scales_in_China_01-800px

Selepas tiga hari berada keadaan huru-hara, akhirnya Kuala Lumpur menjadi tenang semula dengan adanya campur tangan dari Encik G.T Hare, peniaga-peniaga yang berpengaruh dan juga ketibaan satu kontinjen askar-askar Sikh di Kuala Lumpur. Semua kedai telah dibuka semula dan pengangkutan awam juga beroperasi semula.

Sesungguhnya rusuhan terhadap Majlis Bandaran Kuala Lumpur (Sanitary Board) yang berlaku pada hari ini dalam tahun 1897, menunjukkan tentangan yang hebat daripada peniaga cina terhadap paksaan serta tindakan yang diambil oleh Majlis Bandaran Kuala Lumpur.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_malaysia-800px
Sejarah

Dewan Rakyat Meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967

03 Mac 1967– Pada tahun 1967, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan dengan 95 undi menyokong dan 11 undi menentang. Tujuan Rang Undang-undang ini digubal adalah bagi melaksanakan ketetapan di dalam Bab 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi yang tunggal.

Rang Undang-undang ini digubal setelah genap tempoh 10 tahun penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi sebagaimana yang termaktub di dalam Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan. Rang Undang-undang Bahasa ini menetapkan bahawa mulai 1 September 1967 hanya bahasa Kebangsaan yang boleh digunakan dalam urusan rasmi.

dewan rakyat

Namun, demi kepentingan awam, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan, iaitu melalui penggunaan terjemahan daripada bahasa-bahasa tersebut. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu juga dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris.

Perbicaraan yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah boleh dijalankan sama ada dalam bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris atau sebahagian dalam bahasa Kebangsaan dan sebahagian lagi dalam bahasa Inggeris.

Seksyen-Seksyen Akta

Akta ini mengandungi 11 seksyen iaitu:-

  1. Tajuk ringkas, pemakaian dan mula berkuat kuasa.
  2. Bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud-maksud rasmi.
  3. Menggunakan terjemahan.
  4. Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dilanjutkan.
  5. Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dalam Parlimen dan Dewan Undangan.
  6. Teks yang sahih bagi undang-undang.
  7. Undang-undang bertulis yang dikanunkan sebelum 1 September 1967.
  8. Bahasa mahkamah.
  9. Tulisan bagi bahasa kebangsaan.
  10. Bentuk angka.
  11. Borang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia, AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67(pdf)

Standard
kampung
Sejarah

Perbicaraan Pembunuhan J.W.W. Birch

03 Mac 1876 – J.W.W. Birch merupakan Residen British yang pertama di Perak yang dilantik pada November 1874. Kedatangan Birch di Perak sebagai Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas.

Pembesar-pembesar Negeri mula merasakan pengenalan sistem Residen yang telah menghakis kuasa Raja dan pembesar-pembesar Melayu. Mereka telah mengadakan satu mesyuarat di Durian Sebatang dan beberapa syor telah dikemukakan tentang cara-cara untuk membunuh J.W.W.Birch.

Pada mesyuarat tersebut Datuk Maharajalela telah bersetuju untuk melaksanakannya dan mengarahkan anak-anak buahnya Pandak Endut, Kulup Ali, Si Putum, Ngah Jabar dan Setuah untuk menjalankan tugas membunuh Birch. Akhirnya pada 2 November 1875 J.W.W. Birch telah berjaya dibunuh di Pasir Salak Kampung Gajah ketika beliau sedang mandi. Kerani J.W.W. Birch, Mat Arshad juga turut dibunuh dalam peristiwa tersebut.

J.W.W. Birch

Satu perbicaraan telah diadakan di Bandar Baru, Perak ke atas Si Putum, Che Gondah dan Ngah Ahmad yang dituduh membunuh Residen British di Perak, J.W.W. Birch. Ketiga-tiga orang yang dituduh itu telah dibicarakan di hadapan Raja Deris yang dilantik oleh Sultan Abdullah untuk menghakimkan perbicaraan itu.

Frank Swettenham, Residen British di Selangor hadir sebagai juri. Ketiga-tiga yang dituduh tidak mengaku salah, akan tetapi terdapat empat orang saksi yang mengaku telah melihat bahawa ketiga-tiga mereka telah melakukan pembunuhan tersebut.

Saksi-saksi tersebut ialah Hamid, yang bekerja sebagai pencuci sampan J.W.W. Birch; Kok Ah Yong, seorang peniaga emas; Mat Tahir, seorang pendayung sampan dan Ho Ah Choy bekerja sebagai tukang masak Kok Ah Yong. Keempat-empat saksi tersebut bersumpah bahawa mereka melihat Si Putum menetak J.W.W. Birch, manakala Che Gondah dan rakan-rakannya menyerang J.W.W. Birch.

Antara Keterangan Daripada Saksi

Hamid menegaskan bahawa Mat Arshad lebih dahulu ditikam oleh Pandak Indut. Mat Arshad yang mengalami kecederaan cuba menaiki perahu naga tetapi ketika itu datang dua orang dan salah seorangnya Si Puntum melukakan Mat Arshad dibahagian kepala.

Mat Tahir pula menegaskan bahawa Mat Arshad ditikam oleh Che Ali atau Kulup Ali. Si Puntum mencederakan Mat Arshad ketika menaiki perahu naga. Juga menyatakan bahawa ketika mandi, nampak kepala Birch tetapi setelah direjam dengan lembing tidak kelihatan lagi.

Seorang tukang emas Koh Ah Yong pula nampak J.W.W. Birch timbul dari dalam air di balik tempat mandinya, cuba menaiki bot apabila Si Puntum menetak kepalanya dengan sebilah pedang yang panjang. Koh Ah Yong melihat dari tingkap di rumahnya kira-kira jarak 15 kaki. Koh Ah Yong menegaskan bahawa beliau tidak nampak Che Gondah menikam J.W.W. Birch dan menafikan Se Tuah menikam Mat Arshad.

Ho Ah Choey pula menyatakan dia nampak Pandak Indut menikam J.W.W. Birch dengan senjata tajam menyebabkan J.W.W. Birch melarikan diri terjun ke dalam air. Kemudian beliau nampak J.W.W. Birch di dalam air di belakang bilik mandinya dan Si Puntum menetaknya dengan sebilah pedang. Dua kali dia menetak J.W.W. Birch.

Khoo Ah Chai menyatakan dia nampak Pak Indut, Panjang Bur dan Che Ali mengoyakkan perisytiharan yang dilekatkan di Kedai Cina itu. Pertengkaran berlaku dan Mat Arshad melarikan diri menuju ke tempat J.W.W. Birch mandi. Beliau dikejar dan ditikam oleh Pandak Indut. Pandak Indut seterusnya menikam Birch bersama dengan Si Puntum.

makam si puntum

Akhirnya setelah mendengar keterangan-keterangan saksi-saksi tersebut, Raja Deris telah mengumumkan ketiga-tiga yang dituduh bersalah dan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Si Putum dan hukuman penjara seumur hidup ke atas Che Gondah dan Ngah Ahmad . Si Putum telah dihukum gantung pada 20 Mei 1876 di Bandar Baru.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perjanjian Padas Damit

02 Mac 1889 – Satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Padas Damit telah ditandatangani di antara Pengeran Shahbandar dengan Syarikat Borneo Utara British yang bertujuan untuk mengakhiri perbalahan dan permusuhan di antara mereka.

Antara perkara yang terpenting di dalam perjanjian itu adalah Pengeran Shahbandar bersetuju menyerahkan kepada Syarikat Borneo Utara British semua kawasan Padas Damit dan semua jajahan di bawah kuasanya termasuk Padas Klias. Pengeran Shahbandar juga bersetuju menyerahkan semua kuasa keistimewaannya seperti kuasa memungut cukai dan juga menyerahkan semua dokumen mengenai Padas Damit dan Padas Klias.

british_north_borneo_company

Perjanjian Padas Damit

  1. Pangeran Syahbandar menyerahkan ke semua wilayah di Padas Damit kepada Syarikat Borneo Utara British. Menyerahkan semua hak, kuasa, keistimewaan dan bidang kuasanya di dalamnya dan termasuk hak untuk menaikkan dan mengumpul hasil menguruskan keadilan dan menjalankan semua kuasa kepada Syarikat British Borneo Utara. Bersetuju menyerahkan kepada Syarikat British Borneo Utara dokumen-dokumen wilayah Padas Damit atau Padas Klias.
  2. Pangeran Shabandar bersetuju dengan segera selepas menurunkan tandatangan untuk memberitahu kepada ketua dan orang-orang dari Padas Damit melalui proklamasi di bawah tanda tangan dan meterainya, penyerahan dengan ini dan mengharuskan mereka dan masing-masing meletakkan senjata mereka, menyerahkan diri kepada Pemerintah dan Pegawai Syarikat Borneo Utara British, menyerahkan kubu mereka, dan memusnahkan semua kubu yang terdapat di dalam wilayah itu.
  3. Syarikat Borneo Utara British akan membayar Pangeran Shahbandar sejumlah $ 330 setahun. Syarikat Borneo Utara British akan membayar dengan serta-merta semua tunggakan pembayaran tahunan tersebut sebanyak $ 330 hingga kini, dengan bunga di atasnya pada kadar lima peratus, setahun, jumlah keseluruhan kepada jumlah $ 733.50. kepada Pengiran Shahbandar.
  4. Pangeran Shabandar bersetuju untuk mengelakkan segala kesulitan di masa depan perlu mendapatkan tanda tangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei dan Pangeran Baboo Fatima. Pangeran Shabandar perlu memberi jaminan bahawa telah menyerahkan hak kepada Syarikat Borneo Utara British dan tidak boleh dituntut oleh pihak lain.
  5. Syarikat Borneo Utara British bersetuju untuk membayar kepada Pangeran Syahbandar selama hidupnya $ 2,130 dibayar setengah tahun pada hari tiga puluh satu Ogos dan dua puluh lapan hari bulan Februari dalam setiap tahun, pembayaran pertama dibuat pada hari tiga puluh satu Ogos yang akan datang, dan kepada pewarisnya selepas kematiannya $ 1,065 yang akan dibayar pada masa yang sama dan dengan cara yang sama. Pembayaran ini akan dibuat dengan menggunakan satu setengah daripada wang tembaga Borneo Utara dan separuh lagi dalam bentuk perak.
  6. Syarikat Borneo Utara British selanjutnya bersetuju untuk meminjamkan dan memberikan Pangeran Syahbandar dengan serta-merta apabila Perjanjian ini ditandatangani oleh Sultan Brunei dan Pangeran Fatima seperti yang disebutkan sebelum ini sejumlah $ 2,130 tanpa faedah. Bayaran secara ansuran $ 250 dalam setiap setengah tahun akan ditolak daripada pembayaran setengah tahun yang disebut di atas, bermula pada 31 Ogos yang akan datang, sehingga keseluruhan pinjaman tersebut telah dibayar balik.
  7. Ketua-ketua dan orang-orang Padas Damit tidak boleh dihukum atas tindakan dan permusuhan mereka sebelum ini. Mereka bebas untuk tinggal atau menjual segala harta benda mereka.
  8. Pangeran Shabandar perlu bersetuju mematuhi dan mewajibkan dirinya, anak-anaknya dan keluarganya untuk tidak tinggal atau masuk ke dalam wilayah Padas Damit tanpa izin khusus daripada Syarikat Borneo Utara British dan tidak mengganggu semua Ketua atau penduduknya atau berurusan dengan apa-apa cara sekalipun. Syarikat Borneo Utara British dengan ini bersetuju untuk membenarkan Pangeran Shabandar dan keluarganya untuk melupuskan semua harta benda persendiriannya di Padas Damit dalam masa dua bulan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia , Perjanjian Padas Damit (pdf)

Standard
majlis_amanah_raya
Sejarah

Majlis Amanah Rakyat (Mara) Ditubuhkan

01 Mac 1966 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta MARA 1966. Objektif utama penubuhan MARA adalah untuk menambah dan meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian serta meningkatkan taraf ekonomi dan sosial Bumiputera sejajar dengan Dasar Ekonomi Baru.

Ini dilakukan dengan menggalak, membimbing, melatih dan membantu Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perusahaan ke arah pembentukan masyarakat peniaga Bumiputera yang berjaya.

Penubuhan MARA adalah berasaskan cetusan idea dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama yang telah diadakan pada tahun 1965 di Kuala Lumpur. Melalui Kongres tersebut, resolusi yang mahukan agar RIDA disusun semula telah diluluskan. RIDA atau Rural and Industrial Development Authority ditubuhkan pada tahun 1953 bagi membangun dan memajukan masyarakat di kawasan luar bandar.

majlis_amanah_raya_logo

Sejak penubuhannya banyak pembangunan dan kemajuan telah dicapai oleh MARA. Penguasaan ekonomi Bumiputera menjadi cabaran masa kini dan agenda utama MARA dalam usaha untuk memastikan Bumiputera mempunyai kedudukan yang sewajarnya.

MARA, sebuah badan autonomi bertanggungjawab kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah. Ahli-ahli Majlis MARA terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Ketua Setiausaha dan lapan orang anggota lain, dua daripada mereka adalah kakitangan awam. Semua Ahli Majlis dilantik oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah.

Intitusi Pendidikan Di Bawah MARA

  • Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), diwujudkan bagi pelajar bumiputera yang berumur 13-17 tahun yang mempunyai keputusan peperiksaan awam yang cemerlang
  • Kolej MARA , diwujudkan bagi pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran bagi peringkat pra-universiti seperti IB, A-level, program matrikulasi KPM dan asasi Universiti.
  • Kolej Profesional MARA (KPM) , diwujudkan bagi pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran dalam diploma dan high national diploma(HND).
  • GiatMARA
  • Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM)
  • Institut Kemahiran MARA (IKM)
  • German-Malaysian Institute (GMI)
  • Universiti Kuala Lumpur(UniKL) , sebuah institut pengajian tinggi swasta.
  • Kolej Poly-Tech MARA (KPTM)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM), atau dahulunya Institut Teknologi MARA (ITM) – Kini diambil alih oleh Kementerian Pendidikan dan kemudian Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard