mas_logo-800px
Sejarah

Malaysia Menubuhkan Syarikat Penerbangan Sendiri

25 Januari 1970 – Pada tahun 1970, Kerajaan Malaysia dan Singapura telah membuat pengumuman bersama bahawa demi kepentingan kedua-dua buah negara, perlulah ditubuhkan dua buah syarikat penerbangan yang berasingan. Perpecahan ini berikutan perbezaan pendapat di antara dua kerajaan.

Singapura mahu menumpukan destinasi antarabangsa manakala Malaysia mahu menumpukan kepada perhubungan domestik. Perpecahan Malaysia-Singapore Airline (MSA) pada 3 April 1971 ini telah melahirkan dua syarikat penerbangan. Malaysia pada mulanya telah menubuhkan sebuah syarikat penerbangan dengan nama Malaysia Airline Berhad (MAL) tetapi nama ini telah ditukar kepada Malaysia Airline Sistem Berhad atau MAS manakala Singapura pula Singapore Airlines (SIA).

Oleh kerana ingin melakukan penerbangan antarabangsa Singapura telah memperolehi 7 buah kapal terbang Boeing 707 dan 5 buah Boeing 737. Ibu pejabat MSA yang terletak di Singapura telah dijadikan ibu pejabat Singapore Airlines. Malaysia pula memperolehi 9 buah kapal terbang Fokker F27 dan 3 buah Britten-Norman BN-2 Islander. Ia memulakan operasi pada 1 Oktober 1972.

malaysia_singapore_airlines

Malaysia Airline Sistem Berhad (MAS)

Nama MAS dipilih kerana singkatan kepada nama tersebut (MAS) bermaksud emas dalam Bahasa Melayu, yang juga menggambarkan perkhidmatan yang berkualiti. Lambang yang berupa Wau Kelantan yang mempunyai unsur tradisi dan kebudayaan negara telah dipilih sebagai simbol syarikat penerbangan ini.

Menjelang tahun 1972, MAS telah meluaskan operasi kepada lebih 34 destinasi domestik dan enam destinasi antarabangsa.

Pada 15 Oktober 1987, nama perdangangan syarikat penerbangan ini ditukar kepada Malaysia Airlines. Pada 1 September 2015 ia ditukar kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malayan_airways_logo-800px
Sejarah

Perkhidmatan Malayan Airways Dimulakan

01 Mei 1947 – Pada tahun 1947, Malayan Airways Limited (MAL) telah memulakan perkhidmatan berjadualnya yang pertama, selepas didaftarkan dalam tahun 1937. Perkhidmatan sulung ini meliputi laluan tiga kali seminggu di antara Singapura-Kuala Lumpur-Ipoh-Pulau Pinang dengan menggunakan pesawat Airspeed Consul dengan pendaftaran VR-SCD ’Raja Udang’.

Dalam tempoh dua bulan berikutnya MAL telah berjaya menguasai perkhidmatan penerbangan di Tanah Melayu. MAL merupakan satu-satunya syarikat yang diberi kelulusan bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara pada ketika itu.

Pada tahun 1949, MAL telah meluaskan perkhidmatan penerbangannya ke Bangkok, Jesselton, Kuching dan Rangoon. Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, MAL telah ditukar kepada Malaysian Airways. Pada tahun 1967, Syarikat ini sekali lagi bertukar nama kepada Malaysia-Singapore Airline (MSA).

Namun begitu, perpisahan Singapura dari Malaysia telah membawa kepada pemisahan MSA dan penubuhan syarikat penerbangan berasingan bagi Malaysia dan Singapura. Nama MAL kemudiannya digantikan dengan Sistem Penerbangan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MAS (Malaysia Airline System) pada 30 November 1971.

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman pada 30 September 1972, bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Subang, Selangor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard