mageran-800px
Sejarah

Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)

16 Mei 1969 – Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada tahun 1969 bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd. Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC.

Pada dasarnya fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, mempastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Berikutan daripada itu, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1970. Beberapa dasar penting telah diwujudkan antaranya Akta Hasutan, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru yang telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

Penubuhan Majlis Gerakan Negara telah memberikan sumbangan yang besar dalam memulihkan perpaduan di kalangan rakyat sehingga kemerdekaan negara dapat dipertahankan hingga kini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mageran-800px
Sejarah

Tragedi 13 Mei 1969

13 Mei 1969 – Pada tahun 1969 telah berlaku satu peristiwa yang hampir menghancurkan keutuhan negara yang dikenali sebagai tragedi 13 Mei 1969. Ia berpunca dari Pilihanraya Umum yang telah berlangsung pada 10 Mei 1969 di mana emosi dan sentimen perkauman telah disuarakan dengan begitu lantang.

Hasil dari pilihanraya tersebut, Parti Perikatan telah berjaya menubuhkan kerajaan sekali lagi tetapi dengan kelebihan undi yang kurang berbanding dengan kemenangan sebelumnya. Akibat dari tragedi ini banyak nyawa yang tak berdosa terkorban dan harta benda musnah.

13mei1969

 

Bagaimanapun peristiwa ini telah mencorakan perubahan falsafah sosio-politik dan ekonomi negara dan menyedarkan semua pihak bahawa jurang perkauman masih wujud di negara ini. Untuk mengawal keadaan, darurat telah diisytiharkan dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan untuk mengambil alih pemerintahan negara. MAGERAN telah diketuai oleh Tun Abdul Razak dan beliau telah menjalankan perbincangan dengan semua pihak yang berkenaan untuk mewujudkan semula perpaduan di Malaysia.

Akhirnya ‘Rukun Negara’ telah dibentuk dan sebagai manifestasi ideologi kebangsaan demi mewujudkan perpaduan di kalangan semua kaum. Berdasarkan kepada semangat Rukun Negara jugalah akhirnya Dasar Ekonomi Baru telah berjaya diciptakan demi kemajuan ekonomi negara dan menghapuskan kemiskinan masyarakat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mageran-800px
Sejarah

Rukun Negara Diisytiharkan

31 Ogos 1970 – Pada tahun 1970, D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin telah berkenan mengisytiharkannya Rukun Negara pada upacara bersempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-13.

Rukun Negara dirangka hasil perundingan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), mengandungi lima prinsip yang menjadi kunci perdamaian antara kaum, bertujuan mencapai kemajuan bangsa.

Ia diperkenalkan sebagai pengikat dan pembina perasaan semangat cintakan negara di kalangan rakyat. Berikutan itu juga segala aktiviti dan acara menyambut kemerdekaan negara pada tahun 1970 ini telah diisi dengan persembahan yang berteraskan Rukun Negara.

Ikrar Rukun Negara adalah seperti berikut :

  • Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
  • Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
  • memelihara satu cara hidup demokratik;
  • mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama;
  • menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-Undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

Rukun Negara merupakan falsafah dan ideologi negara hasil sumbangan pemimpin dan rakyat pelbagai kaum dari kepakaran yang tidak ternilai. Ia perlu dihayati oleh setiap warganegara yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard