Balance_scales_in_China_02-800px
Sejarah

Rusuhan Terhadap Majlis Bandaran Kuala Lumpur ( Sanitary Board )

04 Mac 1897– Pada tahun 1897, satu rusuhan terhadap Majlis Bandaran Kuala Lumpur (Sanitary Board) terjadi ekoran dari bantahan pekedai-pekedai Cina yang dipaksa menggunakan Liteng atau dacing kecil. Para peniaga tidak dibenarkan lagi menggunakan alat-alat timbang dan sukat yang digunakan sebelum itu.

Sekumpulan perusuh telah berarak di jalanraya dan telah mengugut semua peniaga supaya menutup kedai mereka. Perusuh-perusuh ini akan merampas barang-barang daripada kedai-kedai yang menjalankan perniagaan. Mereka juga telah menyerang pekebun-pekebun sayur dan orang ramai yang sedang membeli dan mengusir mereka keluar dari kawasan pasar. Di samping itu, semua jenis pengangkutan awam tidak beroperasi dan jika ada yang mengambil sewa, kenderaan itu akan dirampas dan dimusnahkan.

Liteng

Liteng

Notis-notis telah diedarkan kepada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur supaya melakukan pemogokan menentang pengguna alat penimbang dan sukat yang baru. Jaminan perlindungan akan diberikan sekiranya sesuatu masalah yang timbul akibat pemogokan yang dilakukan.

Menurut laporan Encik G.T. Hare, Protector of Chinese bagi Negeri Selangor dan Negeri-negeri Bersekutu, rusuhan tersebut terjadi kerana tindakan Inspektor Stapleton dari Jabatan Timbang dan Sukat menyaman tiga buah kedai yang menggunakan alatan timbang dan sukat yang berlainan dengan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaran Kuala Lumpur.

Balance_scales_in_China_01-800px

Selepas tiga hari berada keadaan huru-hara, akhirnya Kuala Lumpur menjadi tenang semula dengan adanya campur tangan dari Encik G.T Hare, peniaga-peniaga yang berpengaruh dan juga ketibaan satu kontinjen askar-askar Sikh di Kuala Lumpur. Semua kedai telah dibuka semula dan pengangkutan awam juga beroperasi semula.

Sesungguhnya rusuhan terhadap Majlis Bandaran Kuala Lumpur (Sanitary Board) yang berlaku pada hari ini dalam tahun 1897, menunjukkan tentangan yang hebat daripada peniaga cina terhadap paksaan serta tindakan yang diambil oleh Majlis Bandaran Kuala Lumpur.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard