prince_of_wales-800px
Sejarah

Kapal Prince Of Wales Dan Repulse Ditenggelamkan

10 Disember 1941 – Dua buah kapal perang Inggeris, Prince of Wales dan Repulse ditenggelamkan oleh pasukan kapal terbang pengebom Jepun di Laut China Selatan. Tenggelamnya kedua-dua buah kapal perang Inggeris ini bukan sahaja telah memalukan Inggeris, malahan juga telah menghancurkan pertahanan Inggeris di Tanah Melayu.

Oleh yang demikian tentera Jepun dengan mudah dan cepat telah dapat menawan negeri ini dan terus mara ke Singapura. Prince of Wales dan Repulse merupakan kapal perang terbesar kepunyaan Tentera Laut Inggeris.

HMS_Prince_of_Wales

Prince of Wales

Pada pertengahan bulan November 1941, Perdana Menteri British, Sir Winston Churchil telah bersetuju menghantar Prince of Wales dan Repulse ke Tanah Melayu bersama-sama empat buah kapal perang pembinasa. Tujuannya hanyalah sekadar menakut-nakutkan Jepun supaya tidak menyerang Tanah Melayu di samping cuba menyembunyikan kelemahan pertahanan Inggeris di negara ini kerana Britain pada masa itu terpaksa menumpukan perhatian bagi pertahanan di Eropah dan Timur Tengah.

Pada 2 Disember 1941, Prince of Wales dan Repulse dengan diiringi oleh keempat-empat kapal perang pembinasa tersebut tiba di Singapura. Ketibaan ini, dianggap sebagai satu sejarah kerana ia merupakan kali pertama sebuah angkatan kapal perang mendarat di Singapura. Lima hari kemudian, iaitu pada 8 Disember 1941, Jepun dengan secara mengejut telah menyerang dan menawan Kota Bharu Ialu terus menyusur ke selatan.

HMS_Repulse

Repulse

Di hari yang sama Prince of Wales dan Repulse bersama keempat-empat buah kapal pembinaan bertolak dari Singapura menuju ke Teluk Siam. Kapal-kapal ini dihantar untuk menggempur pusat tentera Jepun di Singgora, Siam. Malangnya pelayaran Prince of Wales dan Repulse itu telah dapat dikesan oleh pihak Jepun.

Apabila Inggeris mengetahui kedudukannya dalam bahaya, Prince of Wales dan Repulse terpaksa berpatah balik ke Singapura. Dalam pelayaran pulang kapal-kapal tersebut telah membelok ke Kuantan setelah pasukan kawalan ternampak kapal musuh berhampiran dengan pantai. Tepat jam 2.10 pagi, 10 Disember, sebanyak 85 buah kapal terbang pengebom Jepun telah menyerang Prince of Wales dan Repulse.

Kira-kira jam 1.20 petang kapal perang British yang teragung itu pun tenggelam di lautan, tidak jauh dari Kuantan. Dengan tenggelamnya kapal Prince of Wales dan Repulse itu hancurlah kegemilangan Tentera Laut British dan pertahanannya di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
voc-800px
Sejarah

Orang-Orang Perak Menyerang Angkatan Laut Belanda

27 Mei 1658 – Pada tahun 1658, satu pertempuran telah berlaku apabila orang-orang Perak menyerang angkatan laut Belanda. Pertempuran ini berlaku ketika kapal-kapal laut Belanda yang diketuai oleh Joan Truitmans sedang menghalang Perak daripada menjalankan perdagangan dengan saudagar-saudagar asing. Belanda mengambil tindakan demikian kerana tidak berpuashati terhadap orang-orang Perak yang kerap melanggar syarat-syarat perjanjian persahabatan dan perdagangan yang dibuat di antara kedua pihak dalam tahun-tahun 1650, 1653 dan 1655.

Orang-orang Perak menganggap perjanjian-perjanjian itu adalah tidak sah kerana perjanjian itu dibuat secara paksa dan juga kerana perbezaan agama. Perjanjian-perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Perak adalah kerana desakan Acheh dan mereka menganggap campur tangan Belanda telah menggugat kepentingan mereka yang mengamalkan perdagangan bercorak bebas. Syarat-syarat perjanjian perdagangan bijih timah misalnya hanya menguntungkan Belanda. Belanda telah mengenakan harga dagangan yang rendah dan gantirugi yang dibayar tidak menyenangkan orang-orang Perak.

Secara senyap mereka terus menjalankan perdagangan dengan saudagar-saudagar asing. Oleh kerana tidak puas hati orang-orang Perak kerap kali menyerang loji-loji perniagaan dan kapal-kapal Belanda di Kuala Sungai Perak dalam tahun-tahun 1651 hingga 1657.

Akibat dari itu, Belanda telah mengepung dan mengawasi perairan Perak untuk menghalang sebarang perdagangan tempatan. Ini menyebabkan orang-orang Perak menyerang dan membakar loji-loji perniagaan Belanda pada 23 April 1658 di Kuala Bernam dan berjaya melumpuhkan kegiatan Belanda di situ.

Pada hari ini dalam tahun 1658, dengan tujuh buah kapal perang dan 30 buah kapal-kapal kecil, orang-orang Perak menyerang angkatan laut Belanda yang sedang mengepung perairan Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lambang_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Di Antara Negeri Kedah Dengan Encik Frank Powell

29 November 1890 – Pada tahun 1890, satu perjanjian mengenai pengajaran bahasa Inggeris telah ditandatangani di antara kerajaan negeri Kedah dengan Encik Frank Powell, seorang guru terlatih kelulusan Maktab Perguruan Negeri Scotland. Perjanjian Di Antara Negeri Kedah Dengan Encik Frank Powell ini diwakili oleh baginda Sultan Kedah iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Shah, manakala Encik Frank Powell telah hadir sendiri bagi pihaknya.

Tujuan utama perjanjian ini ialah untuk melantik dengan rasmi Encik Frank Powell sebagai Guru bahasa Inggeris kepada keluarga Diraja Kedah serta menjadi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Kedah. Perjanjian yang mengandungi 7 perkara ini, antara lain menetapkan bahawa :-

  • Encik Frank Powell terikat di dalam tugas-tugasnya dengan Kerajaan Kedah selama lima tahun mulai 9 April 1891.
  • Encik Frank Powell akan dibayar gaji sebanyak $170/- sebulan berserta elaun kenderaaan (iaitu kuda) sebanyak $30/- sebulan, tempat tinggal percuma dan lain-lain kemudahan.
  • DYMM Sultan Kedah berhak membatalkan dengan serta merta keseluruhan perjanjian ini sekiranya, Encik Frank Powell didapati bersalah, berkelakuan tidak baik atau gagal menurut perintah Sultan.
  • Kedua-dua pihak yang terlibat berhak menamatkan perjanjian ini dengan cara mengeluarkan 3 bulan notis menyatakan hasratnya kepada pihak kedua. Tetapi sekiranya DYMM Sultan Kedah yang mengeluarkan notis seperti itu, Encik Frank Powell berhak mendapat gaji, perbelanjaan-perbelanjaan yang berkaitan serta tambang Kelas Pertama balik ke England di dalam kapal laut.

Perjanjian Encik Powell mengajar bahasa Inggeris kepada DYMM Sultan Kedah pada hari ini dalam tahun 1890, merupakan satu perjanjian yang bermakna memandangkan negeri Kedah pada masa itu, belum mempunyai sistem pendidikan formal. Dengan termeterainya perjanjian ini, bermulalah sistem pendidikan bagi keluarga Diraja Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
misc_logo-800px
Sejarah

Perjanjian Hutang Darah Pendudukan Tentera Jepun Ditandatangani

21 September 1967 – Pada tahun 1967, Malaysia dan Jepun telah menandatangani Perjanjian Bayaran Muhibah bagi melunaskan Hutang Darah Pendudukan Tentera Jepun di Tanah Melayu (1941-1945). Upacara itu telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putera dan Tuan T. Kojima, Duta Jepun di Malaysia.

Perjanjian ini adalah hasil dari perbincangan awal di antara YTM Tengku Perdana Menteri dengan Perdana Menteri Jepun, Tuan Eiko Sato iaitu dalam rangka kerjasama ekonomi yang diadakan di Tokyo pada bulan Mei tahun 1967. Mengikut perjanjian yang ditandatangani itu Kerajaan Jepun akan menghadiahkan Malaysia dua buah kapal.

YTM Tunku Abdul Rahman menganggap perjanjian ini adalah penting dalam usaha untuk menubuhkan syarikat perkapalan sendiri. Beliau menegaskan bahawa sudah sampai masanya Malaysia perlu mempunyai sebuah syarikat perkapalannya sendiri. Tunku menyatakan kerajaan akan membukakan saham kepada para hartawan di Malaysia untuk membolehkan pembelian kapal-kapal laut yang lebih banyak lagi. Segala bantuan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Jepun dalam perjanjian ini akan dikuatkuasakan mulai dari hari ini dalam tahun 1967 dan hendaklah diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Duta Jepun ke Malaysia, Tuan T. Kojima dalam ucapannya setelah selesai menandatangani perjanjian itu berharap bahawa kapal yang diberikan oleh kerajaan Jepun itu akan dapat membantu Malaysia dalam menubuhkan Syarikat Perkapalan Kebangsaannya sendiri.

Bermula dari perjanjian ini dan diikuti dengan usaha-usaha yang gigih Malaysia kini telah berjaya mendirikan sebuah syarikat perkapalan kebangsaannya sendiri yang dikenali sebagai Malaysia International Shipping Corporation Berhad atau ringkasnya MISC yang bergerak sebagai sebuah syarikat swasta.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard