james_brooke_portrait-800px
Sejarah

James Brooke Meninggal Dunia

11 Jun 1868 – James Brooke meninggal dunia di England akibat penyakit jantung pada tahun 1868. Mayatnya telah dikebumikan di perkarangan gereja Sheepstor di Devonshire, England dalam tahun 1863. Anak saudaranya Charles Brooke, telah dilantik untuk menggantikannya sebagai Raja Sarawak bergelar Tuan Muda James Brooke meninggal ketika berusia 65 tahun.

James Brooke mula datang ke Sarawak pada 27 Julai 1839, dengan kapal Royalist dari Singapura. Sejak kedatangannya beliau telah bersahabat baik dengan Pengiran Muda Hashim, pemerintah Sarawak ketika itu. Pada waktu itu Sarawak berada dalam keadaan kucar-kacir.

Pengiran Hashim telah meminta James Brooke untuk menolongnya menghapuskan keadaan kacau-bilau tersebut. Sebagai membalas jasanya, Pengiran Muda Hashim telah memberikan Seniawan dan Sarawak yang pada masa itu hanyalah bandar Kuching sahaja kepada James Brooke.

Sir_James_Brooke_1847_by_Francis_Grant

Sejak itu James Brooke telah dilantik menjadi pemerintah Sarawak bergelar Raja Sarawak. Semasa hayatnya sebagai pemerintah Sarawak beliau terkenal sebagai seorang pemerintah yang bijak. Dalam usahanya untuk berbaik-baik dengan orang Melayu beliau telah melantik pemimpin-pemimpin Sarawak dari kalangan orang-orang Melayu. Beliau telah melantik Datu Patinggi, Datu Bandar dan Datu Temenggung bagi memimpin masyarakat Melayu di Kuching.

Beliau juga telah mengadakan bendera Sarawak yang pertama. Bendera itu berwarna merah ungu dan bersilang. Tapi warna ungu itu kemudiannya ditukarkan ke warna hitam untuk memudahkan percetakan. Bendera ini berlatarkan warna kuning iaitu warna rasmi kerajaan Borneo.

brookes_graves_in_sheepstor

Kubur James Brooke di Sheepstor

Di samping itu beliau telah berusaha mententeramkan negeri Sarawak dari ancaman-ancaman lanun. Misalnya peperangan di Batang Maru untuk menghapuskan lanun-lanun Kanowit. Beliau juga telah berjaya menamatkan pemberontakan orang-orang Cina dalam tahun 50-an di Kuching dan Bau. Semasa hayatnya James Brooke telah banyak merintis jalan bagi memudahkan pemerintahan anak saudaranya Charles Brooke

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Coat_of_arms_of_Sarawak-800px
Sejarah

Majlis Negeri Sarawak Ditubuhkan

24 Mei 1867 – Majlis Negeri Sarawak yang sekarang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri Sarawak telah ditubuhkan oleh James Brooke pada tahun 1867. Ia merupakan Dewan Undangan Negeri yang tertua di Malaysia.

Sebelum itu, pada tahun 1865 ‘General Council’ yang juga dikenali sebagai ‘Supreme Council’ telah ditubuhkan. Pada asal penubuhan Majlis Negeri Sarawak ini bertujuan untuk membawa semua kaum bumiputera dalam satu perjumpaan yang terbesar. Disamping bagi mendengar ucapan dasar untuk menyuarakan pandangan serta bertukar-tukar fikiran.

Persidangan Majlis Negeri yang pertama telah diadakan pada 8 September 1867, bertempat disebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak. Sejak ditubuhkan sehinggalah tahun 1941, Majlis Negeri tidak mempunyai sebarang peraturan tetap sehinggalah pada bulan September 1941, Raja Vnyer Brooke telah menggubal satu perlembagaan baru bagi Majlis Negeri. Perlembagaan baru ini telah mengurangkan suara bumiputera kerana 14 dari 25 orang ahlinya mestilah terdiri daripada pegawai kerajaan bangsa Eropah, manakala sebelas lagi ahlinya terdiri daripada wakil-wakil kaum bumiputera dan bukan bumiputera.

Sesungguhnya, Dewan ini telah menempuh tiga zaman yang penting iaitu zaman Raja Putih Keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
rentap-800px
Sejarah

Rentap Menyerang Kubu Nanga Skrang, Sarawak

26 April 1853 – Pada tahun 1853, ketua suku Dayak Laut yang terkenal bernama Rentap atau nama asalnya Libau bersama-sama pengikutnya telah menyerang kubu milik kerajaan James Brooke di Nanga Skrang, Sarawak. Nama Rentap diberikan kerana kegagahan beliau. Ia membawa maksud penggoncang dunia.

Pemerintahan James Brooke ditentang kerana telah mencabuli adat resam kaum Iban. Pemerintah itu telah melarang suku kaum Iban berdagang di persisir pantai bagi menghalang mereka dari bercampur-gaul dengan orang Melayu.

Kekalahan kerajaan James Brooke di Nanga Skrang, telah menyemarakkan lagi semangat perjuangan Rentap. Beliau telah membina kubu di atas Gunung Sadok dan menggelarkan dirinya sebagai Raja Darat Sarawak. Ini telah menggugat kedudukan Brooke yang sebelum ini bergelar Raja Sarawak.

Dalam bulan Jun 1857, Brooke telah mengerahkan seramai 3,000 orang Dayak dan 500 orang Melayu untuk menyerang Rentap, namun gagal. Akhirnya, pada September 1861, Brooke berjaya memusnahkan kubu Rentap. Pada 28 Oktober 1861, kubu dan perkampungan Rentap itu musnah dibakar dan ini memaksa Rentap melarikan diri ke Entabai, dekat Sungai Kanowit.

Walaubagaimanapun, perjuangan Rentap dan pengikutnya melambangkan semangat juang yang jitu dalam membela adat resam dan budaya serta hak kaum mereka di bumi kelahiran mereka sendiri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
james_brooke-800px
Sejarah

James Brooke Meminta Bantuan British Menentang Pemberontakan Di Sarawak

15 Mac 1860 – Pada tahun 1860, Pejabat Tanah Jajahan British di London meluluskan permohonan pemerintah negeri Sarawak Raja James Brooke meminta bantuan British untuk menentang pemberontakan di Sarawak. Antara pemberontakan besar yang berlaku adalah pemberontakan yang diketuai oleh Syarip Masahor (Syed Masahor), Rentap dan Liu Shan Bang. Pemberontakan ini menimbulkan berbagai masalah terutamanya masalah keselamatan rakyat British di Sarawak.

Sebelum Pejabat Tanah Jajahan meluluskan permohonan beliau itu James Brooke telah meminta perlindungan pihak Belanda dan Perancis terhadap pentadbiran beliau. Walau bagaimanapun beliau tidak mempercayai kuasa-kuasa tersebut kerana bimbang Sarawak akan jatuh ke tangan kuasa Barat yang lain.

James Brooke

James Brooke

Oleh itu James Brooke meminta campur tangan kerajaan British sama ada menjadikan negeri Sarawak sebagai tanah jajahan British atau mengiktiraf kedaulatan James Brooke di bawah naungan keluarga Diraja British. Ini bermakna secara tidak langsung kuasa pentadbiran negeri Sarawak adalah atas arahan keluarga Diraja British.

Bagaimanapun, jika Kerajaan British berminat menguasai negeri Sarawak sepenuhnya James Brooke mengenakan syarat agar adat-istiadat suku kaum di Sarawak dikekalkan dan penduduk tempatan hendaklah dilatih cara-cara mentadbir negeri mereka.

Kerajaan British tidak berminat untuk menjadikan Sarawak sebagai jajahan takluknya dan enggan menerima permohonan James Brooke itu. Sebaliknya kerajaan British bersetuju menghantar kapal perang bagi mengawasi kawasan pantai negeri Sarawak tetapi tidak akan campur tangan jika terjadi apa-apa peristiwa yang tidak diingini antara James Brooke dengan musuhnya. Bagaimanapun Kerajaan British di London telah bersetuju menghantar seorang Penasihat British untuk membantu James Brooke bagi mentadbir Sarawak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
hugh_clifford-face-800px
Sejarah

Labuan Dijadikan Anggota Negeri-Negeri Selat

28 November 1899 – Pada tahun 1899, Pulau Labuan dijadikan anggota Negeri-negeri Selat adalah merupakan kawasan penaklukan Inggeris yang digunakan sebagai pusat perdagangan dan sebagai tapak untuk memperluaskan jajahannya. Penjajahan Inggeris yang telah berjaya bertapak di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka mula mengalihkan pandangannya ke Pulau Borneo dan kawasan sekitarnya pada pertengahan abad Ke-19.

Langkah pertama tindakan Inggeris ialah mendapatkan penempatan untuk mengawal dan mengawasi perdagangan di Pulau Borneo dan Makasar. Sungguhpun pada bulan Januari 1763, seorang wakil Inggeris, Alexander Dalrymple telah berjaya mendapatkan Pulau Balambangan dari kesultanan Sulu tetapi Inggeris terpaksa meninggalkan Pulau tersebut pada tahun 1804 setelah beberapa kali diserang oleh orang-orang Sulu yang tidak bersetuju penyerahan pulau itu kepada Inggeris. Dengan kehilangan Pulau Balambangan sebagai tempat bertapak, Inggeris terpaksa mencari tempat penggantinya.

Hugh_Charles_Clifford

Hugh Charles Clifford

Pada tahun 1844 Kerajaan British dapat menjalinkan perhububgan diplomatik dengan kesultanan Brunai setahun berikutnya iaitu pada tahun 1845 Inggeris berjaya mendapatkan Pulau Labuan. James Brooke telah dilantik sebagai Gabenor Pertama untuk mentadbir Pulau tersebut tetapi akhirnya beliau telah dilucutkan dan digantikan oleh seorang pegawai Inggeris yang lain. Diantara Gabenor-gabenor Labuan yang terkenal ialah Hugh Clifford yang pernah berkhidmat di Negeri Pahang.

Pulau Labuan tidak banyak memberi keuntungan kepada pihak Inggeris. Ia tidak berjaya sebagai pusat perdagangan seperti Pulau Pinang atau Pualau Singapura. Pentadbiran Inggeris di Pulau Labuan merugikan. Untuk menampung perbelanjaan Pulau Labuan, maka pada hari ini dalam tahun 1899, Labuan telah dijadikan anggota Negeri-negeri Selat. Dengan ini Pulau Labuan diperairan Pulau Borneo telah disatukan dengan Pulau Pinang, Melaka dan Singapura di Semenanjung Tanah Melayu sebagai Negeri-negeri Selat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
james_brooke_portrait-800px
Sejarah

James Brooke Dilantik Sebagai RAJAH Sarawak

24 September 1841 – Pada tahun 1941 James Brooke dilantik sebagai Rajah Sarawak oleh Pangeran Muda Hashim, wakil Sultan Brunei di satu perhimpunan ramai di bandar Kuching, Sarawak. Pada hari itu juga Pangeran Muda Hashim telah memberikan kepada James Brooke satu perjanjian mengenai pertukaran pemerintahan Sarawak kepada James Brooke.

Antara lain surat itu menyatakan bahawa Pangeran Muda Hashim menyerahkan kepada James Brooke pemerintahan Sarawak serta jajahan takluknya, hasil cukainya serta segala tanggung jawab pada masa yang akan datang.

James Brooke mengaku iaitu undang-undang dan adat istiadat orang Melayu di Sarawak hendaklah dihormati dan dipelihara selama-lamanya kerana negeri Sarawak itu adalah takluk Sultan Brunei, Pangeran Muda Hashim dan Raja-raja Melayu.

James Brooke

James Brooke

James Brooke Dilantik Sebagai Rajah Sarawak

Dengan pelantikan James Brooke sebagai Rajah Sarawak bermakna tamatlah pentadbiran Pangeran Mahkota di Sarawak. Pangeran Mahkota Muhammad Salleh adalah seorang pembesar Brunei yang direstui oleh Sultan Omar Ali Saifuddin II memerintah di Sarawak. Beliau adalah orang yang mula-mula membuka bandar Sarawak yang kemudian dinamakan Kuching.

Pada masa Pangeran Mahkota Muhammad Salleh memerintah di Sarawak, ia telah bertindak keras dan zalim terhadap orang-orang Melayu, Bidayuh dan Cina, yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali.

Apabila James Brooke menjadi Rajah Sarawak beliau telah memecat Orang-orang Besar Brunei yang memegang jawatan kerajaan di Sarawak dan mengangkat ketua-ketua orang Melayu Sarawak memegang jawatan dalam kerajaan, iaitu Datu Patinggi Ali, Datu Temenggung Mersal, Datu Bandar Ranca, Muhammad Lana Ali, Abdul Ghafur dan Pangeran Matusin, yang menjadi tempat James Brooke mendapatkan nasihat mengenal pemerintahan Sarawak.

Pangeran Muda Hashim

Pangeran Muda Hashim

Oleh kerana James Brooke yang menjadi Rajah Sarawak itu hanya bertaraf sebagai Gabenor dengan kuatkuasa surat Perjanjian yang telah diperbuat dengan Pangeran Muda Hashim, dan negeri Sarawak masih takluk di bawah kuasai Sultan Brunei, maka pada bulan Julai 1842, la telah pergi ke Brunei dengan tujuan hendak mendapat pengesahan daripada baginda Sultan Brunei mengenai kuasanya di Sarawak.

Di Brunei, Brooke telah berunding dengan Sultan Omar Ali Saifuddin. Hasil daripada rundingan itu pada bulan Ogos 1842, baginda telah membuat perjanjian dengan James Brooke, yang antara lain menyebutkan bahawa Sultan Brunei menyerahkan negeri Sarawak serta segala cukai hasil negeri kepada James Brooke, dan James Brooke hendaklah membayar kepada Sultan Brunei tiap-tiap tahun wang sebanyak $ 2500.

Dengan itu James Brooke dilantik menjadi Rajah Sarawak dan mula berkuasa di Sarawak dengan rasminya maka bermulalah sejarah moden negeri Sarawak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
war_river-800px
Sejarah

Perang Beting Marau, Sarawak

31 Julai 1849 – Pada tahun 1849, satu pertempuran telah berlaku di antara orang-orang Iban Saribas dengan angkatan perang James Brooke. Pertempuran ini lebih dikenali sebagai Perang Beting Marau, kerana ia berlaku di beting pasir besar yang dinamakan Beting Marau, terletak di Kuala Sungai Kerian, Sarawak.

Perang yang berlaku ini telah banyak mengorbankan jiwa berikutan pengepungan yang telah dilakukan oleh angkatan perang James Brooke. Peperangan ini dilakukan oleh James Brooke untuk memerangi orang-orang Iban Saribas dan Skrang yang dikatakan perompak-perompak laut.

James Brooke dan angkatan perangnya seramai 3,000 orang serta tiga buah kapal perang iaitu H.M.S Royalist, H.M.S Albatros dan Namesis telah mula bertolak dari Kuala Sungai Sarawak pada 24 Julai 1849.

Apabila Brooke mendapat berita tentang satu angkatan perompak laut yang besar telah bertolak meninggalkan Sungai Saribas dan menuju ke Sungai Batang Lupar.

Maka pada 27 Julai 1849, James Brooke telah mengarahkan angkatannya mengepung Kuala Sungai Kerian untuk menyerang angkatan perompak laut apabila mereka pulang ke tempat mereka di Sungai Saribas.

Setelah tiga hari angkatan James Brooke menunggu akhirnya berlakulah pertempuran, iaitu ketika perahu-perahu orang Iban Saribas cuba memasuki Sungai Saribas. Pertempuran ini telah mengakibatkan ramai orang Iban terbunuh.

James Brooke selepas itu telah menyerang pula perkampungan orang-orang Iban ini dan akhimya satu perjanjian telah ditandatangani oleh 250 orang ketua-ketua Iban Saribas dan Melayu Saribas dengan James Brooke.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
james_brooke_portrait-800px
Sejarah

Serangan Ke Atas Kubu British Di Kanowit, Sarawak

25 Jun 1859 – Pada tahun 1859 penduduk pribumi yang diketuai oleh Sawing dan Sakalai telah melancarkan satu serangan ke atas Kubu British di Kanowit, Sarawak. Dalam serangan itu, mereka telah berjaya membunuh dua orang pegawai British iaitu Charles Fox dan Henry Steele.

Serangan itu merupakan penentangan penduduk-penduduk tempatan terhadap dasar perjanjian James Brooke yang menyekat hak dan kuasa pemimpin-pemimpin tempatan terutama dalam pengutipan cukai. Malah dasar pemerintahan James Brooke cuba menghalang adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh penduduk tempatan.

James Brooke telah membina kubu di Kanowit dalam tahun 1851 atau lebih dikenali sebagai Kubu Emma. Tujuannya adalah untuk menyekat pergerakan penduduk tempatan di persisiran pantai yang berhampiran dengan kawasan yang kaya dengan sagu. Dengan keadaan pentadbiran yang lemah dan kucar-kacir, serangan yang diketuai oleh  Sawing dan Sakalai itu telah berjaya menawan kubu tersebut.

Ekoran daripada serangan tersebut, pihak British telah menyerang balas ke atas Kubu yang telah ditawan itu. Serangan balas itu, dianggap penting bagi mengukuhkan pentadbiran Brooke di Sarawak. Ia dijadikan alasan untuk meluaskan lagi penjajahannya di Sungai Rejang, Pantai Mukah dan Oya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard