onn_jaafar
Sejarah

Kelahiran Dato’ Onn Jaafar

12 Februari 1895 – Dato’ Onn bin Jaafar merupakan pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947 tetapi beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.

Beliau dilahirkan pada 12 Februari 1895 di Batu Pahat, Johor serta merupakan anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya ke England.

Garis Masa Dato Onn Jaafar

1895 – Dilahirkan di Seri Gambir, Johor Bahru .

1901 – Menjadi anak angkat Sultan Ibrahim dan menghabiskan masa di Istana Johor. Belajar bahasa Inggeris dengan wanita Inggeris.

1902 – Ibunya Rugayah meninggal dunia

1903 – Belajar di Alderburgh Lodge School, Suffolk, England . Dia ke sana sebagai pengiring putera-putera Sultan Johor.

25 Mac 1910 – kembali ke Johor dengan perawakan Barat.

1910 – 1911 – Belajar di di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

1911 – Kerani sambilan di Jabatan Setiausaha Kerajaan Johor .
Berkahwin kali pertama Rafeah Abdullah (gadis Cina yang merupakan anak angkat bapanya). Mendapat empat orang anak dan isterinya meninggal dunia beberapa tahun kemudian.

1915 – Berkahwin kali kedua dengan Che Jamilah dan mendapat seorang anak iaitu Ismail bin Onn. Isterinya meninggal dunia.
Berkahwin kali ketiga dengan Che Kah, seorang pelakon bangsawan.

1917 – Menyertai Pasukan Tentera Johor dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura- markas JMF. Pangkat tertinggi adalah Leftenan.

1919 – Berkahwin kali keempat dengan Halimah Hussein, janda adiknya. Mendapat 3 anak termasuk Hussein Onn.

1920 – Bekerja semula di Pejabat Penasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.

1922 – Diterima bekerja semula sebagai penolong pegawai di Pejabat Tanah Johor kerana pujukan Tengku Ismail.

1923 – Pegawai di Pejabat Tanah Muar

1924 – Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar dengan gaji RM1440.00.

1927 – Pindah ke Johor Bahru dengan jawatan yang sama. Pegawai British menahan elaun RM200.00 setahun, tidak diberi motokar kerajaan dan tidak disediakan rumah kerajaan sedangkan pegawai British mendapat pelbagai kemudahan.

1927 – 1936 – Dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror. Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF.

1 Januari 1930 – Dilantik menjadi pengarang Warta Malaya

1934 – Menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga.

1936 – 1941 – Menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor

1942 – 1945 – Menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor

1945 – 1946 – Menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat

03 Januari 1946 – Memimpin Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor.

1 – 4 Mac 1946 – Menjadi Pengerusi Kongres Melayu Se-Malaya 1946 untuk menentang Malayan Union anjuran Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur.

11 Mei 1946Menubuhkan UMNO dan menjadi presidennya yang pertama ketika Kongres ketiga diadakan di Johor Bahru..

1 Jun 1947 – Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

10 Januari 1949 – Dilantik menjadi anggota ‘Communities Liasion Committee’

31 Mac 1949 – Dilantik sebagai salah seorang daripada Pro-Canselor Universiti Malaya.

18 Mei 1950 – Meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO.

1951 – Pengerusi Rural and Industrial Development Authority (RIDA).

26 Ogos 1951 – Cadangan membuka keahlian UMNO kepada semua kaum telah ditolak. Maka Dato’ Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 Ogos 1951.

26 Ogos, 1951 – Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).
Februari 1954 – Menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.

1955 – Kalah dalam Pilihan raya Persekutuan 1955

1959 – Mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan dengan bantuan parti PAS..

19 Januari 1962Meninggal dunia dan dikebumikan di Makam Mahmoddiah Johor Bahru.

Standard
selat_johor-1879-800px
Sejarah

Surat Sungai Yang Pertama Dikeluarkan

9 Oktober 1844 – Pada tahun 1844, Temenggung Ibrahim, Pemerintahan Kerajaan Johor telah mengeluarkan Surat Sungai yang pertama kepada seorang pekebun Cina bernama Lau Lib Keng. Dengan ini maka bermulalah penghijrahan orang-orang Cina dari Singapura ke Johor dan bermulalah penanaman gambir dan lada hitam secara komersial di Tanah Melayu.

Corak pentadbiran Kerajaan Johor ke atas pekebun-pekebun Cina ini kemudiannya dikenali sebagai Sistem Kangchu. Kangchu adalah perkataan Teochiew yang bererti Ketua Petempatan Cina, manakala Kerajaan Johor menggunakan istilah Tuan Sungai.

ChineseGambierSingapore

Surat Sungai yang pertama ini menyatakan bahawa “Ungku Temenggung Seri Maharaja memberi surat tanda keterangan kepada orang Cina yang hendak berkebun dalam tanah Johor”. Di dalam Surat Sungai itu juga dijelaskan bahawa Tuan Sungai mesti membayar cukai kepada Ungku Temenggung. Jika dijelaskan bagi tempoh tiga tahun, Tuan Sungai tersebut akan menerima hukuman yang berat.

Di samping itu juga seorang Tuan Sungai mesti mematuhi beberapa peraturan lain. Peraturan-peraturan ini terkandung di dalam beberapa dokumen seperti Surat Jual-beli, Surat Pajak dan Surat Tauliah. Dokumen yang penting ialah Surat Tauliah yang menggariskan 17 undang-undang mengenai kuasa dan tanggungjawab tiap-tiap Tuan Sungai.

Mulai dari Surat Sungai yang pertama pada hari ini dalam tahun 1844 hingga tahun-tahun 1860-an penanaman gambir dan lada hitam telah berkembang dengan pesat di negeri Johor. Dalam tahun 1862 sebanyak 37 Surat Sungai telah dikeluarkan oleh Kerajaan Johor. Dengan itu Johor telah menjadi pengeluar gambir dan lada hitam yang terkemuka di Nusantara mendahului Singapura dan Kepulauan Riau.

Perkembangan yang pesat ini adalah disebabkan oleh tiga faktor penting. Pertama pengeluaran gambir dan lada hitam di Singapura dan Kepulauan Riau telah merosot dengan teruknya. Kedua, pemerintahan Inggeris di Singapura mula niengenakan cukai tanah yang tinggi dan kerana kekurangan tanah di pulau yang kecil itu. Sebaliknya Johor masih mempunyai kawasan hutan yang luas yang belum pernah diteroka. Ketiga, permintaan untuk gambir telah meningkat di Eropah.

Walaupun Surat Sungai yang pertama itu hanya merupakan dokumen yang sederhana dan ringkas, ia merupakan satu pembaharuan dalam sistem pentadbiran tradisional negeri Melayu di abad ke-19.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dutch_war1-800px
Sejarah

Selangor Ditawan Oleh Belanda

02 Ogos 1784 – Pada tahun 1784, Selangor ditawan oleh Belanda yang memulakan serangan pada 13 Julai 1784. Kemenangan Belanda ke atas pusat pemerintahan di Kuala Selangor itu menyebabkan Sultan Ibrahim, Sultan Selangor pada masa itu bersama para pembesar dan pengikutnya berundur ke negeri Pahang.

Serangan Belanda ke atas Selangor ini adalah sebagai membalas serangan Selangor ke atas kedudukan Belanda di Melaka.

Ini kerana semasa peperangan Kerajaan Melayu Johor-Riau dengan Belanda, Sultan Ibrahim yang bersimpati dengan Johor telah membantu menyerang Belanda di Melaka di mana Belanda hampir-hampir tewas dalam tahun 1783 sekiranya tidak mendapat bantuan dari Betawi, Jawa.

Dengan penguasaan Belanda ke atas Selangor selepas mengharungi peperangan sengit, Belanda telah memperkuatkan lagi Kota di Kuala Selangor yang terletak di atas Bukit Melawati.

Untuk beberapa waktu Belanda juga menguasai perjalanan lalulintas Selat Melaka dan menguasai perdagangan bijih timah dan gambir.

Walau bagaimanapun dengan bantuan tentera Bendahara Pahang, Sultan Ibrahim telah menyerang dan menawan semula ibu negerinya Kuala Selangor dari tangan Belanda dalam tahun 1785.

Dengan kekalahan Belanda ini, Sultan Ibrahim dapat menegakkan kembali Kerajaan Melayu Selangor. Baginda juga kemudiannya telah memperbaiki dan memperkuatkan lagi Kota Melawati sebagai tempat kawalan dan pertahanan kerajaannya dari sebarang serangan dari luar dan masa hadapan.

Kemenangan Belanda ke atas Selangor pada hari ini dalam tahun 1784 adalah bersifat sementara sahaja kerana pada 28 Jun 1785 Selangor telah menewaskan Belanda semula dan mengusir penceroboh itu dari tanah airnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard