sultan_abdul_hamid_kedah-800px
Sejarah

Sultan Abdul Hamid Halim Shah Dilantik Sebagai Pemerintah Kedah

23 Mac 1882 – Pada tahun 1882 DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah disahkan pelantikannya sebagai pemerintah Kedah oleh Raja Siam. Pengesahan ini adalah ekoran perbalahan yang timbul mengenai pewarisan takhta Kerajaan Kedah setelah kemangkatan Almarhum Sultan Zainal Rashid Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Perbalahan bermula apabila Tunku Dhiauddin (Tengku Kudin) mengepalai perwakilan Kedah ke Bangkok untuk memujuk Raja Siam melantiknya sebagai Sultan Kedah. Perkara ini telah ditentang dengan kerasnya oleh Tunku Yaakub, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar di mana mereka mahukan Tunku Abdul Hamid Halim Shah dilantik sebagai pemerintah Kedah. Disebabkan oleh peranan Tengku Kudin semasa perang saudara di Selangor dan hubungan yang rapat dengan Inggeris, Raja Siam telah menolak permintaan Tengku Kudin untuk menjadi Sultan Kedah.

Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Dengan kegagalan ini, Tengku Kudin kemudiannya telah mencadangkan pula Tengku Kassim untuk tujuan pelantikan tersebut. Setelah perbincangan berjalan selama lima bulan, Rama IV iaitu pemerintah Negeri Siam pada masa itu, telah melantik Tunku Abdul Hamid Halim Shah sebagai waris takhta Kerajaan Negeri Kedah yang sah.

Dengan pelantikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, pada hari ini dalam tahun 1882 bermulalah satu era baru dalam sejarah pembangunan dan kemajuan negeri Kedah di mana baginda kemudiannya dikenali sebagai Pengasas Kedah Moden.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tunku_abdul_rahman_rtm-800px
Sejarah

Tunku Dikurniakan Gelaran Bapa Kemerdekaan

29 Jun 1957 – Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah dianugerahkan dengan gelaran “Bapa Kemerdekaan” negara pada tahun 1957. Penganugerahan gelaran ini telah dipersetujui di dalam Persidangan Agong UMNO dan pengurniaan secara rasmi gelaran ini telah dilakukan pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

Tunku Abdul Rahman

Tunku Abdul Rahman

Pengurniaan gelaran ini merupakan satu penghargaan kepada Tunku Abdul Rahman ke atas jasa dan perjuangan beliau dalam membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajahan Inggeris. Tunku Abdul Rahman Putra, merupakan putera kepada DYMM Sultan Abdul Hamid merupakan seorang tokoh politik yang praktikal, kerana beliau merupakan pemimpin yang julung-julung kalinya berjaya memperjuangkan serta menyatupadukan penduduk yang berbilang bangsa untuk sama-sama mendapatkan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu.

Sesungguhnya, gelaran Bapa Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman merupakan anugerah yang amat bernilai sebagai mengenang segala sumbangan dan perjuangannya ke atas kemerdekaan tanah air.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard