penempatan_terancang
Sejarah

Skim Penempatan Terancang Yang Pertama Di Malaya

27 Oktober 1949 – Pada tahun 1949, Skim Penempatan Terancang yang pertama di Malaya menerima kumpulan pertama setinggan. Ianya terletak di Mawai, Kota Tinggi, Johor. Skim Penempatan Terancang itu diwujudkan untuk menempatkan kaum Cina berikutan keputusan Kerajaan mengisytiharkan Darurat di Malaya.

Kerajaan menyedari anasir-anasir Komunis berjaya mempengaruhi sebilangan besar orang-orang Cina menyertai perjuangan mereka. Atas kesedaran dan daya usaha Parti Malayan Chinese Association (M.C.A) satu kawasan tanah pertanian seluas tiga ekar telah berjaya diperolehi daripada Kerajaan Negeri Johor dan belanja membuka kawasan ini dibiayai sepenuhnya oleh M.C.A. sendiri. Ia dibuka dengan kos sebanyak RM422,000 dan berkemampuan menampung seramai 2000 keluarga.

Sesungguhnya Skim Penempatan Terancang yang pertama di Malaya yang di buka di Mawai, Kota Tinggi, Johor pada hari ini dalam tahun 1949 bukan sahaja menjadi perintis kepada negeri-negeri lain untuk membuka kawasan penempatan masing-masing tetapi juga suatu langkah bijak untuk mengurangkan ancaman pengganas komunis.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
The_British_Army_in_Malaya-800px
Sejarah

Pengumuman Pengampunan Beramai-Ramai

08 September 1955 – Pada tahun 1955, Kerajaan telah mengumumkan Perisytiharan Pengampunan Beramai-ramai kepada pengganas-pengganas komunis di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivary.

Risalah perisytiharan pengampunan beramai-ramai itu telah ditandatangani bersama oleh Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Leftenan Jeneral Bourne, Pengarah Gerakan menentang pengganas-pengganas komunis di Tanah Melayu.

Jeneral Bourne dalam satu kenyataannya mendakwa, “bahawa tawaran pengampunan beramai-ramai ini adalah tawaran kerajaan Inggeris”. Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri dan pemimpin kerajaan Perikatan UMNO, MCA, MIC menafikan dakwaan Jeneral Bourne itu. Dalam satu sidang akhbar pada hari ini dalam tahun 1955 Tunku telah menjelaskan, “bahawa tawaran pengampunan beramai-ramai ini adalah daripada fikiran pihak Perikatan dan mengemukakan kepada kerajaan Inggeris apabila Parti Perikatan menang dalam pilihanraya bulan Julai 1955.”

Sebanyak 30 juta risalah mengenai pengampunan beramai-ramai telah diedarkan dan disebarkan di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Risalah-risalah itu mengandungi perutusan-perutusan dari Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman dan perisytiharan pengampunan beramai-ramai serta pasukan keselamatan untuk pengganas-pengganas yang ingin menyerah diri yang ditandatangani oleh Jeneral Bourne.

Risalah perutusan daripada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu berhubung dengan pengampunan beramai-ramai itu menjelaskan beberapa perkara.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sekarang adalah sebuah kerajaan yang dibentuk dan dipilih oleh rakyat. Oleh itu adalah sia-sia bagi pihak pengganas komunis hendak menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Orang-orang yang menerima pengampunan beramai-ramai tidak akan didakwa bersabit sebarang kesalahan yang dilakukan selama ini berhubung dengan darurat. Kerajaan akan menolong mereka yang bertaubat daripada menjalankan gerakan komunis, dan orang-orang yang bertaubat akan dibenarkan bawa ke tempat masing-masing untuk hidup aman bahagia, seperti sediakala di samping keluarga.

Seseorang pengganas yang menerima pengampunan beramai-ramai dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, dapat membuktikan dianya benar-benar jujur dan boleh menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang taat setia boleh juga mendapatkan pekerjaan dalam angkatan tentera Kerajaan, dan sekiranya mereka berhajat untuk balik ke negeri asal mereka kerajaan akan memberi pertimbangan dan bantuan yang perlu.

Perisytiharan pengampunan beramai-ramai itu membuktikan hasrat Kerajaan Perikatan dengan penuh jujur dan ikhlas untuk membentuk sebuah negara Persekutuan Tanah Melayu ke arah mencapai kemerdekaan dan keamanan serta kemakmuran.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
royal_malaysia_air_force-800px
Sejarah

Pengisytiharan Tamat Darurat

31 Julai 1960 – Pada tahun 1960, DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah mengisytiharkan tamat darurat di Tanah Melayu. Perintah darurat dikuatkuasakan sejak tahun 1948 dalam usaha kerajaan membendung kegiatan pengganas komunis.

Sepanjang tempoh itu, kebebasan rakyat dicengkam oleh rasa bimbang, takut menjadi mangsa ugutan dan kekejaman pengganas. Malah ada yang terpaksa lari meninggalkan kampung halaman dan harta benda, berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Pergerakan juga menjadi terbatas kerana terpaksa mematuhi langkah-langkah keselamatan yang diatur oleh pihak berkuasa.

Kerajaan telah membelanjakan kira-kira $1,300 juta dalam tempoh itu, manakala korban jiwa pula lebih 4 ribu nyawa.

Perisytiharan tamat darurat pada hari ini dalam tahun 1960, dianggap sebagai Hari Kemenangan. Perayaan besar-besaran diadakan di seluruh negara dan upacara kemuncak berlangsung di ibu negara.

Angkatan tentera telah mengadakan perbarisan terbesar yang melibatkan 6 ribu pegawai dan askar biasa, dari semua pasukan, 400 buah kenderaan, kapalterbang dan pasukan pancaragam.

Bagi seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu, saat itu sewajarnya diraikan bersama kerana negara kini menempuh satu era baru.

Sebagai mana titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, zaman gelap gelita selama 12 tahun kini telah berakhir dan diganti dengan zaman baru, zaman bahagia yang belum dinikmati oleh rakyat negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
THE_MALAYAN_EMERGENCY_1948-1960_K14005-800px
Sejarah

Sir Alec Newboult Mengumumkan Peluasan Undang-Undang Darurat Ke Seluruh Negara

12 Julai 1948 – Pada tahun 1948, Sir Alec Newboult telah mengumumkan perluasan Undang-Undang Darurat ke seluruh negara. Ianya bertujuan untuk memberi kuasa yang lebih kepada pihak polis dan tentera untuk mengangkap dan menahan orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan subversif.

Darurat diisytiharkan apabila pemberontakan dan keganasan yang dilakukan oleh pihak komunis semakin menjadi-jadi.

Alec T Newboult

Mereka telah melancarkan keganasan dan beberapa pemogokan di seluruh negara bagi melumpuhkan ekonomi negara. Oleh itu, beberapa langkah telah dijalankan oleh pihak Kerajaan dalam usaha mengawal kegiatan pihak komunis.

Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah pembesaran Pasukan Askar Melayu, Penubuhan Jawatankuasa Kerja Perang, Penubuhan Kampung-kampung Baru di bawah Rancangan Briggs dan perkhidmatan tentera yang diwajibkan.

Perluasan Undang-Undang Darurat pada hari ini dalam tahun 1948, mampu menyekat kegiatan-kegiatan subversif pengganasan komunis daripada terus menguasai Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1st_Batalion-Rejimen-Persekutuan-800px
Sejarah

Rang Undang-Undang Rejimen Persekutuan Diluluskan

03 Julai 1952 – Pada tahun 1952, satu Rang Undang-Undang Rejimen Persekutuan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Rang Undang-undang Rejimen Persekutuan ini bertujuan untuk memperbesarkan angkatan tentera bagi memenuhi keperluan keselamatan negara yang pada ketika itu sedang menghadapi darurat serta menjamin kedaulatan negara apabila merdeka kelak.

Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi, merangkap Pengarah Gerakan Persekutuan telah mencadangkan agar sebuah pasukan pertahanan berbilang kaum ditubuhkan. Pada ketika itu, hanya terdapat sebuah pasukan sahaja iaitu Rejimen Askar Melayu yang keanggotaannya terdiri daripada anak watan berkhidmat berjuang menentang ancaman komunis.

Berikutan daripada itu, pada September 1952 dua buah pasukan yang terdiri daripada anggota berbilang bangsa telah ditubuhkan, iaitu Batalion Pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan. Pada Januari 1960, kedua-dua rejimen telah dicantumkan dengan membawa gelaran sebagai Askar Peninjau.

Sesungguhnya, anggota keselamatan telah memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang ancaman komunis demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malay_tribune_putera-800px
Sejarah

Kertas Putih Rangka Perlembagaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

30 Jun 1957 – Persetujuan secara sebulat suara telah dicapai untuk menerima Kertas Putih Rangka Perlembagaan bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang meliputi perlembagaan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada tahun 1957. Perkara-perkara penting berkaitan Kertas Putih ini telah dibincangkan terlebih dahulu dalam Perhimpunan Agong UMNO, sebelum ianya diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan London.

People-constitution-ready-The-malaya-tribune-10-sep

The Malay Tribune

Antara perkara-perkara yang terkandung dalam rangka Perlembagaan ini ialah berkenaan soal kerakyatan melalui pendaftaran oleh warga asing, bagi memastikan kesetiaan kepada tanahair. Antara lain juga DYMM Yang di-Pertuan Agong melalui perlembagaan ini diberi kuasa untuk mengisytiharkan darurat apabila wujudnya ancaman keselamatan di dalam negara.

Selain daripada itu juga perlembagaan ini juga memberi kuasa khas kepada Parliman untuk mengeluarkan undang-undang subversif. Berikutan daripada itu pada 2 Julai 1957, Kertas Putih yang mengandungi Rangka Perlembagaan bagi Kemerdekaan Tanah Melayu ini telah diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaya_police-800px
Sejarah

Darurat Diistiharkan Pada Tahun 1948

18 Jun 1948 – Terlakar sejarah hitam dalam lipatan sejarah negara kita apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 di Perak dan Johor. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada keganasan dan pemogokan yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Pemberontakan yang dilakukan oleh (PKM) itu didorong oleh kejayaan Parti Komunis Cina yang ketika itu dalam proses mencapai kemenangan di China.

Rancangan PKM ialah untuk menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu dan memerintah negara ini. Gerakan keganasan yang dilancarkan oleh PKM menimbulkan rasa kebimbingan di kalangan rakyat dan mengancam ekonomi negara.

Berikutan daripada itu Pesuruhjaya Tinggi Inggeris, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat ke seluruh negara. Pengisytiharan ini dibuat bagi memudahkan pasukan keselamatan menjalankan gerakan membenteras PKM .

Antara langkah yang telah diambil untuk membendung dan menghapuskan kegiatan PKM ialah dengan memperbesarkan Pasukan Askar Melayu, menubuhkan Jawatankuasa Kerja Perang dan Rancangan Briggs.

Hasil usaha berterusan kerajaan untuk menghapuskan PKM membuahkan hasil apabila PKM meletakkan senjata melalui perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard