Coat_of_arms_of_Sarawak-800px
Sejarah

Majlis Negeri Sarawak Ditubuhkan

24 Mei 1867 – Majlis Negeri Sarawak yang sekarang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri Sarawak telah ditubuhkan oleh James Brooke pada tahun 1867. Ia merupakan Dewan Undangan Negeri yang tertua di Malaysia.

Sebelum itu, pada tahun 1865 ‘General Council’ yang juga dikenali sebagai ‘Supreme Council’ telah ditubuhkan. Pada asal penubuhan Majlis Negeri Sarawak ini bertujuan untuk membawa semua kaum bumiputera dalam satu perjumpaan yang terbesar. Disamping bagi mendengar ucapan dasar untuk menyuarakan pandangan serta bertukar-tukar fikiran.

Persidangan Majlis Negeri yang pertama telah diadakan pada 8 September 1867, bertempat disebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak. Sejak ditubuhkan sehinggalah tahun 1941, Majlis Negeri tidak mempunyai sebarang peraturan tetap sehinggalah pada bulan September 1941, Raja Vnyer Brooke telah menggubal satu perlembagaan baru bagi Majlis Negeri. Perlembagaan baru ini telah mengurangkan suara bumiputera kerana 14 dari 25 orang ahlinya mestilah terdiri daripada pegawai kerajaan bangsa Eropah, manakala sebelas lagi ahlinya terdiri daripada wakil-wakil kaum bumiputera dan bukan bumiputera.

Sesungguhnya, Dewan ini telah menempuh tiga zaman yang penting iaitu zaman Raja Putih Keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Dayabumi_Complex-800px
Sejarah

Perdana Menteri Merasmikan Bangunan Kompleks Dayabumi

05 Mei 1984 – Bangunan Kompleks Dayabumi satu lagi mercu tanda bandaraya Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1984. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Perusahaan Awam Datuk Paduka Rafidah Aziz.

Kompleks Dayabumi ini adalah sebuah projek pembangunan semula bandar yang terbesar pernah dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan projek ini mulai diilhamkan oleh kerajaan sejak tahun 1972 kini menjadi kenyataan.

Dalam ucapan perasmiannya Perdana Menteri melahirkan rasa bangga kerana UDA sebagai sebuah agensi Kerajaan berjaya membina sebuah projek yang besar ini. Kejayaan ini juga ada kaitannya dengan kejayaan Dasar Pandang ke Timur kerana syarikat-syarikat tempatan telah mengambil bahagian sama dalam projek ini. Ini kerana kontraktor-kontraktor Korea Selatan yang menjalankan kerja-kerja tersebut dapat memindahkan teknologi dan pengetahuan kepada kontraktor tempatan. Mengikut Perdana Menteri lagi sebuah syarikat tempatan telah berjaya mengeluarkan “curtain wall” untuk kegunaan projek Dayabumi ini.

Projek ini telah disiapkan dalam masa 26 bulan adalah amat membanggakan lebih-lebih lagi untuk menyiapkan bangunan setinggi 35 tingkat bukannya suatu kerja yang mudah. Dengan perasmian projek Dayabumi oleh Perdana Menteri pada hari ini dalam tahun 1984 telah berjaya mewujudkan satu lagi mercu tanda di Kuala Lumpur dan juga menyediakan pelbagai kemudahan ruang perniagaan kepada bumiputera.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
majlis_amanah_raya
Sejarah

Majlis ITM Ditubuhkan Untuk Mentadbir Institut Teknologi Mara

14 Mac 1970 – Usaha untuk melatih kaum bumiputera dalam bidang-bidang profesional telah dimulakan sejak negara mencapai merdeka. Berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya membuka Dewan Latihan RIDA yang berperanan untuk memberikan latihan kepada bumiputera di dalam bidang-bidang yang tidak dapat diberikan oleh badan-badan kerajaan yang lain, termasuklah bidang perniagaan dan perindustrian.

Dewan_Latehan_Rida

Dewan Latihan Rida 1956

Dewan Latihan RIDA ini kemudian dikenali sebagai Maktab MARA dan selepas itu dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM). Urusan pentadbirannya dipisahkan daripada Bahagian Latihan MARA pada 14 Mac 1970.

Tarikh ini merupakan permulaan zaman baru dalam pentadbiran Institut Teknologi MARA yang ditadbir oleh satu majlis yang dikenali sebagai Majlis ITM atau Governing Council. Ahli-ahli Majlis ITM adalah terdiri dari seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan ahli antara 9 hingga 17 orang yang akan dilantik oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Tugas dan tanggungjawab Majlis diterangkan dengan terperinci dalam Majlis Amanah Rakyat Act 1966 dan MARA (Institute Technology) Regulations 1970.

Lima Jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Majlis ITM untuk tujuan pentadbiran iaitu:-

  • Finance and Development Committee
  • Personnel Management Committee
  • Board of Studies
  • Board of Student Welfare
  • Board of Examinations

Pengerusi pertama Majlis ini ialah Y. Bhg. Tan Sri Ghazali Shafie dan Timbalan Pengerusi pula YAB. Datuk Mansor Osman. Bermula dari perubahan pentadbiran ini Institut Teknologi MARA telah dapat mengembangkan sayapnya untuk melatih bumiputera dalam bidang-bidang profesional.

ITM Shah Alam

ITM Shah Alam

Kejayaan ini adalah hasil kegigihan dan kesungguhan pihak pentadbiran yang ketika itu diterajui oleh Datuk Dr. Arshad Ayub selaku Ketua Eksekutif ITM. Beliau adalah orang yang telah banyak berjasa dan berjaya memperkenalkan ITM bukan sahaja di dalam negara malah telah meningkatkan lagi perhubungan dengan universiti luar negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan negara-negara Eropah.

Sehingga hari ini Institut Teknologi MARA telah berjaya melahirkan ramai ahli profesional yang setaraf dengan lepasan institusi luar negara. Pelajar-pelajar lepasan ITM telah dapat membantu negara mencapai matlamat pembangunan negara dan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam bidang-bidang yang sebelum ini tidak dapat diceburi oleh mereka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Yayasan Pelajaran Mara Dilancarkan

31 Oktober 1968 – Pada tahun 1968, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah dilancarkan dengan rasminya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Usul pembentukan yayasan ini telah diluluskan oleh Kongres Bumiputera kali yang kedua. Tujuan utama yayasan ini ditubuhkan ialah untuk mengumpulkan sumber-sumber kewangan bagi membiayai anak-anak Melayu melanjutkan pelajaran mereka terutama di bidang ikhtisas.

Pembentukan yayasan ini dibuat di bawah Akta Mara dan seterusnya sebagai sebuah Badan Berkanun yang lain dengan pengurusan tertentu. Kempen-kempen bagi memenuhi matlamat ini telah dilakukan di seluruh negeri. Sumbangan-sumbangan diterima tidak semata-mata dari rakyat tetapi juga dari Kerajaan Negeri.

Matlamat asal yayasan ini ialah mahu mengumpul sejumlah RM250,000 dalam tempoh enam bulan, bagaimanapun di hari pelancarannya wang yang terkumpul telah melebihi RM500,000. Manakala di dalam daftar pula tidak kurang dari RM1.2 juta telah terkumpul.

Masalah kelemahan pelajaran anak-anak Melayu sering diperbincangkan, salah satu sebab keadaan ini ialah kemiskinan orang-orang Melayu sendiri. Kesedaran telah timbul untuk membaiki keadaan ini dengan memberi bantuan kewangan melalui yayasan.

Dengan pelancaran Yayasan Pelajaran Mara pada hari ini dalam tahun 1968, telah dapat membantu meningkatkan lagi pelajaran anak-anak Melayu di peringkat yang lebih tinggi demi kesejahteraan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Peletakan Batu Asas Kampus Institut Teknologi Mara

14 Oktober 1967 – Pada tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah meletakkan batu asas pembinaan kampus Institut Teknologi Mara (ITM). Pembinaan kampus ini diperlukan kerana negara mengalami kekurangan pekerja terlatih di tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan meluluskan sebidang tanah seluas 300 ekar di Shah Alam untuk dijadikan tapak bagi Maktab Mara.

Sejarah ITM bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA, sebuah pusat percubaan yang menyediakan kursus persediaan bagi belia luar bandar. Dewan Latihan RIDA ini diilhamkan oleh Datuk Onn bin Jaafar, ekoran lawatan beliau ke Ceylon pada tahun 1950 untuk mengkaji program pembangunan luar bandar di negara tersebut. Hasil dari lawatan itu, kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau RIDA (The Rural and Industrial Development Authority).

UiTMlogo

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Pada tahun 1956, RIDA menubuhkan Unit Latihan diketuai oleh Tuan Syed Alwi bin Syed Sheikh Alhadi. Dibawah unit ini lahir Taman Asuhan RIDA dan Dewan Latihan RIDA. Pada Jun 1965, Dewan Latihan RIDA ditukar nama kepada Maktab MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan pada 14 Oktober 1967, Maktab Mara secara rasmi ditukar kepada Institut Teknologi MARA.

Pada 26 Ogos 1999, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tin_mining-1-800px
Sejarah

Perbalahan Pelombong-Pelombong Bijih Timah Sungai Ujong

21 Ogos 1860 – Pada tahun 1860 telah berlaku perbalahan di antara pelombong-pelombong tempatan iaitu Dato Kelana Sending Sungai Ujong, pembesar-pembesar Rembau dan Sri Menanti.

Perbalahan pelombong-pelombong bijih timah yang akhirnya mengakibatkan pergaduhan antara dua pihak itu adalah berpunca dari tindakan pembesar-pembesar tempatan mengenakan cukai tambahan sebanyak 4,000 ringgit kepada pelombong-pelombong itu yang dahulunya hanya dikenakan cukai 1 ringgit satu kepala di samping bayaran tol yang tetap dan cukai ke atas bijih.

Kemarahan pelombong-pelombong itu tidak dapat dibendung dan tanpa mengendahkan nasihat Penghulu Rembau dan Dato Kelana Sending. Mereka telah mula mengancam ketenteraman orang-orang tempatan.

Akibatnya pada hari ini dalam tahun 1860 kedua belah pihak telah bertempur dan mengakibatkan kematian salah seorang ketua kumpulan pelombong-pelombong itu ialah Kapitan Sheng Meng Li.

Setelah mengalami kekalahan yang teruk pelombong-pelombong itu telah melarikan diri ke negeri-negeri jiran dan meminta perlindungan dan campur tangan British. Mereka menuntut ganti rugi akibat peristiwa itu.

Walaupun tidak ada usaha dibuat untuk mendapatkan ganti rugi itu tetapi pihak berkuasa British di Melaka telah cuba memujuk agar Dato Kelana Sending melepaskan kuasanya ke atas Sungai Linggi.

Menyedari yang kekuasaannya tidak begitu kuat, Dato Kelana Sending telah menyatakan hasratnya untuk membuat perjanjian perniagaan dengan pihak Kerajaan British di mana pihak British dikehendaki mengawal Sungai Linggi dan dibenarkan mengenakan cukai 10% kepada semua bijih yang dibawa dari lombong-lombong di Sungai Ujong.

Kerajaan Negeri-Negeri Selat bukan sahaja telah bersetuju dengan cadangan perjanjian itu malah telah mencadangkan pula supaya seorang Penolong Residen ditempatkan di Linggi bagi menyelesaikan masalah perniagaan di antara pedagang-pedagang British dengan pedagang-pedagang bumiputera dan juga untuk membina sebuah balai polis di Simpang.

Bagaimanapun semua hasrat dan cadangan itu tidak menjadi kenyataan. Namun, pada akhir tahun 1860 seramai 5,000 orang pelombong telah kembali ke Sungai Ujong dan mula bekerja semula di lombong-lombong yang ditinggalkan itu.

Peristiwa seperti ini merupakan salah satu faktor-faktor penting mengenai campur tangan Inggeris di Sungai Ujong dalam tahun 1874.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
singapore_withdraw-800px
Sejarah

Pemisahan Singapura Dari Malaysia

09 Ogos 1965 – Pemisahan Singapura dari Malaysia terjadi pada tahun 1965. Pengisytiharan mengenai pemisahan ini telah dibuat oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia pertama di Dewan Rakyat.

Kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 telah membebaskannya dari belenggu penjajahan Inggeris dan menjadikannnya sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Singapore withdraws

Tindakan pemisahan tersebut merupakan jalan terbaik demi perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan menghindarkan konflik politik di antara Kerajaan Malaysia yang dikuasai Parti Perikatan dan Parti Tindakan Rakyat yang berkuasa di Singapura.

Tunku Abdul Rahman menyatakan antara sebab lain perpisahan ini ialah kerana sikap setengah pemimpin-pemimpin politik Singapura yang memperjuangkan konsep ‘Malaysia Malaysia’ yang menafikan institusi kesultanan Melayu serta hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Walau bagaimanapun, pemisahan Singapura dari Malaysia dibuat dengan persefahaman bahawa Malaysia dan Singapura akan terus bekerjasama dalam bidang-bidang pertahanan, perniagaan dan perdagangan.

Untuk itu satu persetujuan telah pun dibuat dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard