rela_logo-800px
Sejarah

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Ditubuhkan

11 Januari 1972 – Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan dengan rasminya pada tahun 1972 yang bermatlamat bagi membantu kerajaan memelihara dan mengekalkan keamanan di dalam negara serta sebagai benteng ketiga dalam sistem pertahanan negara. Peranan dan tanggungjawab ahli-ahli RELA adalah berlandaskan kepada Peraturan-peraturan perlu RELA 1974 dan Falsafah RELA yang telah digubal pada tahun 1978.

Di antara peranan ahli-ahli RELA ialah:

  • Sebagai mata dan telinga kerajaan, iaitu menyampaikan maklumat-maklumat penting mengenai kegiatan anasir-anasir yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.
  • Sebagai benteng kepada keselamatan dan kesejahteraan kawasan masing-masing iaitu dengan mengadakan rondaan keselamatan, tugas-tugas kemasyarakatan dan sebagainya.
  • Membantu apabila berlaku bencana alam seperti banjir, kebakaran, ribut dan lain-lain.

logo_rela_620

Penjenamaan Semula RELA

Pada 22 Jun 2012, RELA telah dijenamakan semula dengan pemansuhan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan ditukarkan kepada Pasukan Sukarelawan Malaysia berdasarkan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) yang berteraskan konsep 5K 1P iaitu Keamanan, Keselamatan, Kesejahteraan, Kehamornian, Kesatuan dan Perpaduan.

Bermula pada 28 Ogos 2013, RELA telah dinaiktaraf menjadi sebuah Jabatan Persekutuan dan dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selepas diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri di Dataran Kompleks D, Putrajaya sempena Program Pelancaran Semarak Jalur Gemilang.

Sesungguhnya dengan penubuhan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia pada hari ini merupakan bukti yang nyata menunjukkan keazaman kerajaan bagi mengembeling tenaga rakyat daripada semua golongan untuk sama-sama secara sukarela memelihara keamanan, mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tsunami_aceh-800px
Sejarah

Tragedi Bencana Ombak Besar Tsunami

26 Disember 2004 – Pada tahun 2004, bencana ombak besar tsunami telah melanda negara-negara Asia terutamanya penduduk di antaranya ialah Malaysia, Acheh, Sri Lanka, India, Maldives, dan Thailand.

Di Malaysia, kawasan-kawasan yang terjejas adalah di persisiran pantai Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Perlis. Di Pulau Pinang kawasan yang terlibat ialah pantai Miami, Tanjong Tokong di Batu Feringgi, Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong, Teluk Bahang, Balik Pulau dan Pantai Kuala Bekah.

Di negeri Kedah, kawasan yang dilanda tsunami adalah Kota Kuala Muda dan perkampungan nelayan di Pulau Langkawi. Manakala kawasan di negeri Perak sekitar Tanjung Piandang dan Kuala Sanglang di Perlis turut terjejas.

tsunami

Tragedi tersebut berpunca dari gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter di barat Sumatera dan disifatkan paling dahsyat di dunia dalam tempoh 40 tahun. Gempa bumi yang berlaku di bawah dasar laut dengan gegaran dapat di rasai beribu-ribu kilometer jauhnya menyebabkan ombak besar tsunami berlaku pada paras kelajuan 700 kilometer sejam menyapu bersih bangunan, rumah-rumah dan sebagainya.

Angka mangsa yang terkorban dan hilang dalam tragedi ombak besar tsunami di Indonesia, Sri Lanka, India, Maldives, Somalia, Myanmar, Tanzania, Bangladesh, Seychelles, Kenya dan Thailand ini dilaporkan berjumlah 216,858 orang termasuk 68 orang di Malaysia.

Sesungguhnya melalui tragedi ini, pelbagai pihak telah mengambil insiatif dengan menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk meringankan beban yang di tanggung oleh mangsa-mangsa tsunami terutama di negara-nergara yang terlibat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perbarisan Pengampunan Untuk Pengganas Komunis

27 November 1955 – Pada tahun 1955, satu perbarisan besar-besaran telah diadakan di Kuala Lumpur. Perbarisan itu bertujuan untuk merayu pengganas komunis supaya menyerah diri secara sukarela dan kerajaan akan mengampunkan mereka. Seramai 12 ribu menyertai Perbarisan Pengampunan Untuk Pengganas Komunis yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra.

Inilah kali pertama perarakan seperti ini diadakan dalam usaha memujuk anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) supaya bekerjasama dengan kerajaan bagi memulihkan semula keamanan dan keharmonian. Perbarisan tersebut merupakan tindakan susulan kepada perisytiharan “Pengampunan Beramai-Ramai Pengganas Komunis” yang diumumkan pada 9 September 1955.

Perisytiharan tersebut tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dari PKM. Mereka sebaliknya bersikap lebih liar dan mempersoalkan kewibawaan perisytiharan tersebut yang kononnya dibuat oleh mereka yang belum layak dipanggil ‘pemimpin’ kerana Tanah Melayu belum lagi merdeka.

Perisytiharan pengampunan itu mengandungi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan layanan sewajarnya kepada pengganas yang menyerah diri secara sukarela. Kerajaan juga akan memberikan pertimbangan kepada pengganas yang telah bertaubat dan ingin menetap di negara ini. Kepada yang ingin pulang ke negeri masing-masing bantuan akan diberi untuk menguruskan kepulangan mereka.

Dalam pada itu, PKM meningkatkan lagi keganasan mereka dibeberapa kawasan seperti Cameron Highlands, Johor dan Negeri Sembilan. Sehingga akhir November 1955, hanya 30 sahaja pengganas yang tampil dengan sukarela menyahut perisytiharan itu. Memandangkan keganasan yang kian merebak dan sambutan yang agak dingin terhadap tawaran pengampunan tersebut, maka kerajaan telah memansuhkan perisytiharan pengampunan ini pada 1 Disember 1955.

Perbarisan pengampunan untuk komunis pada hari ini dalam tahun 1955, membuktikan rakyat sedar serta inginkan keamanan serta kehidupan yang sejahtera demi menjamin kemerdekaan Tanah Melayu. Walaubagaimanapun, kedegilan anggota-anggota PKM untuk berkerjasama dengan kerajaan telah menyebabkan pemerintahan darurat di Tanah Melayu berlarutan selama 12 tahun.

Akhirnya pada 31 Julai 1960, Tanah Melayu diisytiharkan pulih dari bencana itu, setelah menanggung kerugian harta benda dan korban jiwa yang tidak ternilai.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
perkeso_logo-800px
Sejarah

Penubuhan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

01 Oktober 1971 – Pada tahun 1971, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan di bawah Kementerian Buruh dan Tenaga Manusia untuk melaksana dan mentadbir Skim-skim Keselamatan Sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969, iaitu Skim Insuran Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat. Pada 1 Julai 1985, status PERKESO sebagai Jabatan Kerajaan telah diubah kepada sebuah Badan Berkanun.

Sejarah bermula pada tahun 1958, apabila kajian keselamatan sosial telah dijalankan oleh pakar dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (I.L.O) dan pada tahun 1962 sebuah jawatankuasa tertinggi dibentuk untuk mengkaji hasil kajian ini. Hasil daripada laporan kajian tersebut, telah menjadi asas kepada Akta Keselamatan Sosial yang telah diluluskan oleh Parlimen dalam tahun 1969 dengan tujuan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja-pekerja dan tangungan mereka.

Pada 1 Julai 1972 Akta Keselamatan Sosial 1969 dengan rasminya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin Hussein. Sesungguhnya penubuhan PERKESO pada hari ini telah memberi perlindungan keselamatan sosial yang sangat bermakna kepada pekerja-pekerja dan tanggungannya serta mempertingkatkan tahap kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
William-Burges-Pryer-800px
Sejarah

Permulaan Penempatan Inggeris Di Sandakan

21 Jun 1879 – Pada tahun 1879, William Pryer, seorang wakil syarikat yang dikenali sebagai North Borneo Provisional Association yang kemudiannya menjadi British North Borneo Chartered Company telah membuka sebuah tapak penempatan yang baru di pinggir Teluk Sandakan. Dengan ini bermulalah penempatan Inggeris di Sandakan yang merupakan sebuah bandar tertua di Sabah.

Sebelum membuka penempatan baru di Sandakan, William Pryer telah membuat penempatan awal di sebuah tempat yang dikenali sebagai Kampung Jerman.  Kampung Jerman terletak di Pulau Timbang lebih kurang 12 batu dari bandar Sandakan.

Penduduk tempatan mengenali pulau ini sebagai Pulau Jerman. Nama ini timbul apabila dalam tahun 1872, seorang bangsa Scots bernama Cowie bersama beberapa orang Jerman mendirikan sebuah gudang di pulau ini untuk memudahkan penyeludupan senjata ke Sulu.

Semasa pendaratan awalnya di Kampung Jerman, William Pryer mendapati hanya terdapat sebanyak 17 buah rumah sahaja di penempatan tersebut dan bilangan penduduknya adalah kecil.

Berhampiran Kampung Jerman terdapat kampung orang-orang Sulu iaitu Kampung Timbang dan masyarakat Bajau merupakan ahli-ahli perniagaan yang berulang-alik di Teluk Sandakan.

Di peringkat awal penempatannya, William Pryer menghadapi beberapa ancaman terutamanya dari lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan Teluk Sandakan dan di Sungai Kinabatangan. William Pryer terpaksa mendapatkan sokongan daripada orang-orang Bajau dan Sulu serta membuka Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai yang terpanjang di Sabah menjadi nadi utama kepada kebanyakan perniagaan hasil-hasil hutan.

Walaupun Pryer cuba mengubah nama penempatan baru ini kepada ‘Elopura’ yang bermakna ‘Bandar yang indah’ tetapi nama itu cuma kekal beberapa tahun dan kembali dikenali sebagai Sandakan yang telah terkenal kira-kira 200 tahun sebelumnya.

Setelah beberapa lama, penempatan William Pryer di Kampung Jerman bertambah maju dan ancaman-ancaman lanun dari kawasan Teluk Sandakan serta sekitarnya telah dapat diatasi.

Walau bagaimanapun penempatan William Pryer ini telah mengalami bencana apabila berlaku kebakaran yang memusnahkan penempatan tersebut pada 15 Jun 1879. Dengan bantuan orang-orang Sulu dan Bajau, William Pryer telah berpindah dan membuka penempatan baru di Sandakan.

Sandakan adalah ibu negeri British North Borneo dari tahun 1884. hinggalah Januari 1942, apabila tentera Jepun menawannya.

Selepas pendudukan Jepun, dalam tahun 1946, Kota Kinabalu yang sebelumnya dikenali sebagai Jesselton telah diisytiharkan sebagai ibu negeri disebabkan Sandakan telah musnah akibat serangan Tentera Berikat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard