rela_logo-800px
Sejarah

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Ditubuhkan

11 Januari 1972 – Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan dengan rasminya pada tahun 1972 yang bermatlamat bagi membantu kerajaan memelihara dan mengekalkan keamanan di dalam negara serta sebagai benteng ketiga dalam sistem pertahanan negara. Peranan dan tanggungjawab ahli-ahli RELA adalah berlandaskan kepada Peraturan-peraturan perlu RELA 1974 dan Falsafah RELA yang telah digubal pada tahun 1978.

Di antara peranan ahli-ahli RELA ialah:

  • Sebagai mata dan telinga kerajaan, iaitu menyampaikan maklumat-maklumat penting mengenai kegiatan anasir-anasir yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.
  • Sebagai benteng kepada keselamatan dan kesejahteraan kawasan masing-masing iaitu dengan mengadakan rondaan keselamatan, tugas-tugas kemasyarakatan dan sebagainya.
  • Membantu apabila berlaku bencana alam seperti banjir, kebakaran, ribut dan lain-lain.

logo_rela_620

Penjenamaan Semula RELA

Pada 22 Jun 2012, RELA telah dijenamakan semula dengan pemansuhan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan ditukarkan kepada Pasukan Sukarelawan Malaysia berdasarkan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) yang berteraskan konsep 5K 1P iaitu Keamanan, Keselamatan, Kesejahteraan, Kehamornian, Kesatuan dan Perpaduan.

Bermula pada 28 Ogos 2013, RELA telah dinaiktaraf menjadi sebuah Jabatan Persekutuan dan dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selepas diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri di Dataran Kompleks D, Putrajaya sempena Program Pelancaran Semarak Jalur Gemilang.

Sesungguhnya dengan penubuhan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia pada hari ini merupakan bukti yang nyata menunjukkan keazaman kerajaan bagi mengembeling tenaga rakyat daripada semua golongan untuk sama-sama secara sukarela memelihara keamanan, mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
banjir_jalan_raja_1971-800px
Sejarah

Darurat Banjir Kebangsaan Diisytiharkan Di Seluruh Negara

05 Januari 1971 – Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak Hussein telah mengisytiharkan Darurat Banjir Kebangsaan di seluruh negara pada tahun 1971. Pengisytiharan ini dibuat sebagai langkah mengawal keadaan banjir yang telah menenggelamkan hampir seluruh negara.

Banjir yang disifatkan yang terburuk ini telah mengakibatkan seramai 95,000 orang mangsa banjir yang dipindahkan. Jumlah mangsa banjir yang paling tinggi dipindahkan ialah di negeri Pahang iaitu seramai 40,000 orang, negeri Johor 17,000 orang dan di negeri Selangor seramai 14,000 orang.

banjir_jalan_melaka_1971

Tun Razak juga telah mengumumkan perlantikan dua buah jawatankuasa kabinet iaitu Jawatankuasa Bantuan dan Pemulihan Banjir yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan sebuah Jawatankuasa untuk menaksir kerosakan dan untuk mengkaji serta menyarankan langkah-langkah pemulihan ekonomi dan sosial.

Selain daripada itu sebagai langkah memantau keadaan banjir kerajaan telah menubuhkan Markas Darurat Banjir yang bertempat di Bangunan Banjir. Tun Abdul Razak juga telah mengambil perhatian dan daya usaha dengan melawat kesemua kawasan yang dilanda banjir serta mengarahkan bantuan makanan dan perubatan disalurkan dengan segera.

banjir_kuala_lumpur

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
empang_pecah_kuala_kubu
Sejarah

Empangan Kuala Kubu Pecah

29 Oktober 1883 – Pada tahun 1883, banjir besar telah berlaku di Sungai Selangor. Banjir ini telah menyebabkan Empangan Kuala Kubu pecah lalu menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu. Peristiwa penting ini dicatatkan dalam sejarah kerana bertolak dari peristiwa inilah lahirnya pekan Kuala Kubu Bharu yang ada sekarang.

Empangan ini terletak dekat Kampung Asam Lenggong sekarang dikenali sebagai Kampung Ampang Pecah kira-kira 2.4 km dari pekan Kuala Kubu. Empangan yang roboh itu panjangnya kira-kira 1.6 kilometer dan lebarnya melebihi 91.4 meter. la dibuat dari batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu iaitu anak Sungai Selangor. Daerah Kuala Kubu sering dilanda hujan. Ini menyebabkan kerap berlaku bah di Sungai Selangor.

kuala kubu

Sungai ini pula menjadi cetek oleh takungan tanah dan pasir yang mengalir akibat hujan dan kegiatan melombong di bahagian hulu sungai. Lama-kelamaan Sungai Selangor menjadi sebak dan apabila hujan lebat turun dan sungai ini banjir, empangannya tidak berdaya lagi membendung arus air yang deras, lalu roboh dan menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu serta kawasan-kawasan sekitarnya.

Kejadian ini telah mengorbankan nyawa dan harta benda. Seramai 33 orang termasuk Cecil Ranking, Pegawai Daerah dan Majistret pertama Inggeris di daerah itu telah terkorban manakala 38 buah rumah hanyut. Satu-satunya mata pencarian penduduk kawasan itu iaitu mendulang bijih timah juga turut terjejas.

Tragedi pecahnya Empangan Kuala Kubu ini juga dikenali sebagai ‘Sejarah Kuala Kubu’. Akibat dari kejadian ini, Kuala Kubu sebagai sebuah mukim, pekan dan pusat pentadbiran jajahan Hulu Selangor tidak lagi wujud dalam sejarah. Pusat tersebut dipindahkan ke Rasa buat sementara.

Kuala Kubu dibuka pada kurun kelapan belas oleh orang-orang Melayu dan mereka merupakan perintis kepada kegiatan melombong bijih di daerah itu, sehingga dapat membina empangan besar untuk kerja-kerja mendulang bijih. Daerah ini juga pernah menjadi kubu pertahanan Raja Mahadi dan Syed Mashor menentang angkatan perang Tengku Kudin dalam Perang Saudara di Selangor pada tahun 1867-1874.

Usaha-usaha untuk membangunkan semula Kuala Kubu telah dibuat dan pada tahun 1931, lahirlah pekan Kuala Kubu Bharu yang kekal hingga ke hari ini sebagai pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor, menggantikan Kuala Kubu Lama yang kini tinggal dalam kenangan. Kini Kuala Kubu Bharu ini terkenal dengan pusat latihan yang penting di Malaysia seperti Maktab Latihan Bomba Malaysia, Maktab Polis Diraja Malaysia dan Pusat Latihan Belia Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard