damai_malaysia
Sejarah

Sidang Damai Antara Malaysia Indonesia Dan Filipina

05 Februari 1964 – Pada tahun 1964 Menteri Luar Thailand, Tun Thanat Khoman telah mengadakan
satu rundingan damai Sidang Damai Antara Malaysia Indonesia Dan Filipina yang dihadiri oleh ketiga-tiga Menteri Luar negara tersebut.

Tun Thanat Khoman

Tun Thanat Khoman

Rundingan ini adalah hasil usaha damai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau ini. Menteri-menteri Luar yang mewakili 3 negara itu ialah Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dari Malaysia, Dr Subandrio dari Indonesia dan Encik Salvador Lopez dari Filipina.

damai_indonesia_malaysia_filipina

Salvador Lopez (kiri), Tun Abdul Razak (tengah), Dr Subandrio (kanan)

Hubungan di antara ketiga-tiga negara jiran ini telah retak kerana tuntutan Kerajaan Filipina di bawah pimpinan Presiden Macapagal ke atas Sabah dan salah faham Kerajaan Indonesia di bawah Presiden Sukarno mengenai konsep penubuhan Malaysia.

Walaubagaimanapun sidang damai antara Malaysia Indonesia Dan Filipina yang dianjurkan oleh pihak Thailand ini tidak menghasilkan sebarang kejayaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid_shah_alam_malam-800px
Sejarah

Pengisytiharan Shah Alam Sebagai Ibu Negeri Selangor

07 Disember 1978 – Sultan Selangor, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Shah telah merasmikan pengisytiharan bandar Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978.

Cadangan awal memindahkan ibu negeri Selangor dari Kuala Lumpur telah dibuat oleh kerajaan pusat sejak tahun 1956. Tempat yang dipilih ialah Kelang. Dalam tahun 1962, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan menjadikan Petaling Jaya sebagai ibu negeri yang baru bagi menggantikan Kelang seperti cadangan awal. Setahun kemudian, kerajaan negeri menetapkan untuk membuka sebuah bandar baru di Sungai Renggam dengan harapan untuk menjadikannya sebagai ibu negeri Selangor.

Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj

Shah Alam terletak di dalam dua daerah iaitu Petaling dan Klang, pada suatu ketika dahulu adalah sebuah ladang kelapa sawit dan dikenali sebagai Sungai Renggam. Sungai Renggam dan Batu Tiga mula berkembang setelah British membina laluan keretapi dari Port Swettenham (Pelabuhan Klang) ke Bukit Kuda di Klang dan menghubungkannya dengan Kuala Lumpur pada tahun 1886.

Sungai Renggam dipilih berdasarkan sokongan yang dibuat oleh Penasihat Perancang Bandar Bangsa-bangsa Bersatu. Kedudukannya sesuai bagi mendirikan sebuah bandar perusahaan satelit yang baru kerana terletak di antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.

Setelah Sungai Renggam dipersetujui untuk dijadikan kawasan ibu pejabat, kerajaan berpendapat nama Sungai Renggam patut diubah kepada satu nama yang bersesuaian dengan nama dan taraf serta keindahan ibu negeri Selangor.

Nama Shah Alam wujud daripada nama Sultan Selangor yang ke-6, DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah Atiquallah. Kepesatan pembangunan Shah Alam telah membawa kepada kenaikan taraf dengan pengisytiharannya sebagai sebuah Bandar raya pada 10 Oktober 2000.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lppkn_logo-800px
Sejarah

Penubuhan Lembaga Perancang Keluarga Negara (LPKN)

10 Jun 1966 – Pada tahun 1966, YAB Timbalan Perdana Menteri Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah mengisytiharkan penubuhan Lembaga Perancang Keluarga Negara Malaysia (LPKN). Rang Undang-undang mengenai perancang keluarga telah dibentangkan di Parlimen pada bulan Mac 1966 dan diluluskan menjadi sebuah undang-undang dinamakan “Family Planning Act Bil. 42 Tahun 1966”.

Kabinet juga mengambil keputusan bahawa YAB Perdana Menteri menjadi menteri yang bertanggungjawab ke atas Lembaga tersebut dan fungsi dan tugas LPKN lebih memfokuskan kepada aktiviti dan pelaksanaan program perancangan keluarga.

Pada tahun 1984 telah membawa kepada pertukaran nama Akta daripada Akta Perancang Keluarga kepada Akta Penduduk dan Pembangunan Keluarga. Selaras dengan pindaan tersebut, nama yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Perancang Keluarga Negara telah ditukar kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Pada peringkat awal penubuhan LPKN diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan kemudian ke Kementerian Hal Ehwal Wanita; Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga; dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. LPPKN buat julung kalinya mendapat pengiktirafan dunia apabila dipilih menerima Anugerah Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2007 bagi kategori institusi “United Nations Fund for Population Activities”.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
un_flag-800px
Sejarah

Malaysia Menandatangani Dua Perjanjian Dengan Bangsa-Bangsa Bersatu

10 Mei 1968 – Pada tahun 1968, kerajaan Malaysia menandatangani dua perjanjian dengan Bangsa-bangsa Bersatu. Perjanjian Bantuan Gerakan, dan Perjanjian Rancangan Makanan Dunia. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bilik Gerakan Negara dan Luar Bandar, Kuala Lumpur.

Malaysia telah diwakili oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Tunku Mohamed bin Tunku Besar Burhanuddin, dan wakil Rancangan Kemajuan Bangsa-bangsa Bersatu ialah Encik David Blickenstaff.

bangsa-bangsa bersatu

Mengikut kenyataan Tan Sri Mohamad, Kerajaan telahpun memulakan langkah untuk melatih pegawai-pegawai bagi menjawat jawatan eksekutif. Beliau percaya dengan adanya Perjanjian Bantuan Gerakan dari Bangsa-bangsa Bersatu dapat membantu mempercepatkan pencapaian tujuan itu. Encik Blickenstaff juga menegaskan bahawa Bangsa-bangsa Bersatu akan membantu Malaysia mengadakan wang tambahan bagi gaji pakar-pakar yang diambil berkhidmat di negara ini.

Pakar Bangsa-bangsa Bersatu yang pertama diambil untuk berkhidmat sebagai pegawai kerajaan mengikut Perjanjian Bantuan Gerakan ialah Encik Donald R. Massy Collier. Beliau ditawarkan jawatan Pengarah Eksekutif Rancangan Jengka Tiga Segi FELDA di kawasan seluas 150,000 ekar tanah di Pahang. Menurut Perjanjian Rancangan Makanan Dunia, bekalan makanan yang bernilai 2.8 juta ringgit akan diperolehi lagi. Bekalan makanan tersebut diberikan untuk kegunaan Institut Teknologi MARA iaitu selama lima tahun.

Bangsa-bangsa Bersatu juga sedang mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk mendapatkan bantuan bekalan makanan bagi kemajuan tanah FELDA yang telah dilancarkan di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
un_flag-800px
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Menjadi Ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

17 September 1957 – Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu dengan rasminya diterima menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Keahlian Persekutuan Tanah Melayu diusulkan oleh wakil Kerajaan Britain dengan mendapat sokongan sebulat suara dari ahli-ahli yang hadir yang menjadi anggota Majlis Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-82.

Pada hari ini juga buat julung kalinya dalam sejarah perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu suara Persekutuan Tanah Melayu yang telah mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 telah kedengaran dalam persidangannya. Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman telah dilantik oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka sebagai wakil tetapnya di PBB.

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman

Kemasukan Persekutuan Tanah Melayu ke dalam pertubuhan dunia ini, telah memberi peluang kepada negara untuk bersahabat dengan semua negara tanpa sekatan serta memberi sumbangan tenaga, buah fikiran ke arah matlamat untuk menegakkan keamanan dunia.

Dengan menjadi ahli PBB ini juga, Persekutuan Tanah Melayu diterima menjadi ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa Bersatu dan Perjanjian Am (General Agreement) Tarif dan Perdagangan.

Sesungguhnya Pengiktirafan PBB terhadap Persekutuan Tanah Melayu adalah satu lagi kemajuan dan perkembangan yang dibanggakan dalam proses ke arah mengisi kemerdekaan negara sepenuhnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
un-logo-800px
Sejarah

Bangsa-Bangsa Bersatu Di Beritahu Secara Rasmi Tentang Penubuhan Negara Baru Malaysia

17 September 1963 – Pada tahun 1963, Bangsa-bangsa Bersatu dengan rasminya diberitahu tentang penubuhan negara baru Malaysia. Perwakilan Malaysia ke Bangsa-bangsa Bersatu yang dulunya Perwakilan Malaya telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu, U Thant tentang perubahan tersebut.

u thant

Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu – U Thant

Malaysia juga telah menghantar bendera baru negara kepada Bangsa-bangsa Bersatu untuk dikibarkan di Ibu Pejabat Bangsa-bangsa Bersatu bersama-sama dengan bendera 110 negara anggota yang lain. Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu En. U Thant mengumumkan beliau telah menghantar salinan-salinan Laporan Malaysia kepada semua negara anggota Bangsa-bangsa Bersatu.

Laporan tersebut tentang tinjauan pendapat rombongan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah menyiasat hasrat rakyat di Sabah dan Sarawak serta mendapati seluruh rakyat di kedua negeri itu bersetuju dan menyokong penubuhan Malaysia tersebut.

Berdasarkan laporan tersebut Bangsa-bangsa Bersatu mengakui dan mengesahkan penubuhan Malaysia bagi menggantikan Malaya, walaupun ditentang oleh Indonesia dan Filipina.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia

16 September 1963 – Pengisytiharan Penubuhan Malaysia telah diadakan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 1963. Gagasan penubuhan Malaysia telah dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman semasa berucap kepada Persatuan Wartawan Asing dalam persidangan Foreign Correspondent Association of Southeast Asia di Singapura pada 27 Mei 1961.

Penubuhan Malaysia dijadualkan pada 31 Ogos 1963 setelah perjanjian di antara wakil daripada Sarawak, Sabah, Singapura dan Malaya ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Namun begitu, tarikh ini terpaksa ditunda setelah mendapat tentangan daripada Filipina dan Indonesia.

hari malaysia

Pada 31 Julai 1963, persetujuan dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia bahawa Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U-Thant atau wakil perlu meninjau sokongan daripada rakyat di negeri-negeri Borneo. Wakil Bangsa-Bangsa Bersatu selesai menjalankan tugas mereka pada 14 September 1963. Oleh itu, perisytiharan Malaysia tidak dapat dilaksanakan pada 31 Ogos 1963, sebaliknya diisytiharkan pada 16 September 1963 dan DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani perisytiharan tersebut pada 29 Ogos 1963.

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia pada hari ini dalam tahun 1963 bukan sahaja telah memerdekakan Singapura, Sabah dan Sarawak daripada British tetapi juga menunjukkan kelahiran sebuah negara baru di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Lee-KuanYew-Tunku-Abdul-Rahman-800px
Sejarah

Keputusan Menerima Percantuman Singapura Dan Persekutuan Tanah Melayu Oleh Rakyat Singapura

02 September 1962 – Keputusan Menerima Percantuman Singapura Dan Persekutuan Tanah Melayu Oleh Rakyat Singapura pada tahun 1962. Kerajaan Singapura menerima keputusan undi terbanyak dari rakyat yang bersetuju Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu dicantumkan.

Pungutan suara ini dibuat berikutan dengan cadangan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra untuk mengadakan persefahaman antara Britain dan rakyat di Wilayah Singapura, Sabah, Brunei dan Sarawak, pada Mei 1961. Cadangan yang dikemukakan oleh Tunku ini dikenali sebagai rancangan penubuhan Malaysia.

Sehubungan dengan ini beberapa persetujuan telah dicapai daripada perundingan-perundingan percantuman yang diadakan, tetapi sebelum keputusan muktamad dibuat pendapat rakyat hendaklah diperolehi. Keputusan pungutan suara yang diumumkan pada jam 11.15 di Dewan Badminton Singapura ini jelas membuktikan penerimaan rakyat Singapura terhadap rancangan percantuman Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Ia juga bermakna Singapura memperolehi kemenangan cemerlang mengalahkan kaum komunis dan penyokongnya yang menyeru rakyat memberi undi kosong kepada cadangan tersebut.

Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew menyifatkan keputusan ini sebagai ‘jelas dan muktamad’ daripada rakyat yang menghendaki percantuman dalam Malaysia. Kaum komunis dan penyokongnya hendaklah menerima kemahuan rakyat melalui undi yang bebas dan demokratik ini secara terbuka walaupun kepada mereka ianya merupakan satu hakikat yang berat untuk diterima. Encik Lee Kuan Yew juga menyatakan bahawa kerajaan telah berusaha sedapatnya untuk menjamin kedudukan rakyat Singapura dan merasa sukacita bahawa sebahagian besar rakyat Singapura menyokong usaha tersebut.

Dalam pungutan suara ini undi yang menyokong usul percantuman kerajaan ialah 71% berbanding 23% undi kosong. Keputusan ini akan dihantar kepada Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu yang dianggotai oleh 17 negara. Setelah berbagai usaha diadakan Malaysia yang dianggotai oleh Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak diisytiharkan kewujudannya pada 16 September 1963.

Malangnya, setelah melalui berbagai rintangan dalam sebuah kerajaan dan pemerintahan, Singapura kemudiannya keluar dari Persekutuan Malaysia di pertengahan tahun 1965 akibat tindak tanduk beberapa orang pemimpin Singapura yang meletakkan perhubungan kedua negara dalam keadaan tegang dan genting.

Sessungguhnya pemberiaan hak rakyat untuk menentukan kerajaan dan pemerintah yang mereka pilih akan menjadi tidak bermakna andaikata sesetengah pemimpinnya bersikap tidak jujur di atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Pengisytiharan Penetapan Hari Malaysia Ditandatangani

29 Ogos 1963 – Pada tahun 1963, DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah menandatangani pengisytiharan penetapan Hari Malaysia iaitu pada 16 September 1963.

Penetapan tarikh ini telah diputuskan oleh kerajaan Persekutuan berdasarkan beberapa perkara:

  1. Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu, U Thant telah menyatakan bahawa ia menduga akan menyelesaikan tugas-tugasnya di Borneo menjelang 4 September 1963;
  2. Tarikh baru 16 September ini juga telah dipersetujui oleh kerajaan-kerajaan British, Singapura, Sabah dan Sarawak;
  3. Kerajaan Persekutuan tidak sekali-kali bertindak melanggar kata sepakat persetujuan Manila dengan penetapan tarikh baru itu;
  4. Peninjauan Bangsa-bangsa Bersatu di Borneo sekarang bukan menjadi syarat yang menentukan sama ada Malaysia akan wujud atau tidak. Kerajaan Persekutuan yakin rakyat Borneo mendukung Malaysia.

Kerajaan Indonesia dan Filipina telah diberitahu mengenai tarikh baharu Penetapan Hari Malaysia ini. Surat-surat pemberitahuan itu telah disampaikan melalui Duta Besar masing-masing di Kuala Lumpur.

Tindakan ini telah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak melanggar Persetujuan Manila ataupun mungkir janji.

Ini adalah kerana Kerajaan Malaysia sekarang hanya mengisytiharkan tarikh Hari Malaysia, sedangkan Malaysia sebenar hanya akan wujud pada tarikh yang ditetapkan, setelah rundingan-rundingan dengan Kerajaan British dan Kerajaan-kerajaan Wilayah yang berkenaan diadakan.

Kerajaan Persekutuan telahpun menyatakan pada Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia tentang tujuannya untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963, sebagaimana yang telah dipersetujui di London pada 9 Julai 1963.

Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia telah mengumumkan di dalam Persetujuan Manila bahawa mereka akan menyambut baik penubuhan Malaysia itu dengan syarat sokongan rakyat di Wilayah Borneo ditentukan oleh satu badan yang bebas.

Kerajaan Persekutuan begitu yakin bahawa sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka melalui Malaysia dan percaya bahawa hasil siasatan Bangsa-bangsa Bersatu akan memberikan pendapat yang sama.

Inilah faktor-faktor yang menyebabkan Hari Malaysia ditetapkan pada 16 September 1963.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard