Sejarah

Perjanjian Persempadanan Perak Kedah

04 Mac 1912– Satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Perjanjian tersebut adalah mengenai sempadan antara Perak Kedah iaitu di Daerah Baling dan Tasek dan pembinaan sebatang jalan raya dari Baling ke Padang Serai di Negeri Kedah.

sultan abdul halim shah

Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Persetujuan yang dicapai di dalam perjanjian tersebut adalah seperti berikut:

  • Sultan Perak bersetuju membina sebatang jalan raya kelas satu dari Baling hingga ke Kuala Ketil sepanjang 22 batu. jalan yang akan dibina ini akan menyambungkan Klian Intan di Hulu Perak dengan Baling hingga ke Kuala Ketil. Pembinaan jalan sepanjang 22 batu ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak. Sebagai balasannya, Kerajaan Negeri Kedah pula bersetuju akan mengawasi jalan tersebut selepas ianya diserahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah, seperti juga ia mengawasi jalan- jalan kelas satu di Negeri Kedah.
  • Kerajaan Negeri Kedah juga bersetuju akan menyambung pembinaan jalan tersebut dari Kuala Ketil ke Padang Serai sejauh 12 batu dan Kedah juga akan mengawasi jalan tersebut seperti juga ia mengawasi jalan-jalan kelas satu yang lain di Kedah.
  • Kerajaan Kedah akan menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Perak semua kawasan di Baling dan kawasan Goa Baling ke atas kepada Kerajaan Perak supaya pada masa hadapan sempadan antara Kedah dan Perak di kawasan Hulu Perak ditandai dengan kawasan bukit dalam daerah tersebut.
Raja Chulan dan Sultan Idris

Raja Chulan dan Sultan Idris (kanan)

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar di hadapan Pemangku Residen British di Perak, Oliver Marks dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid menandatangani bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah dengan disaksikan oleh Encik Md. Ariffin, Setiausaha kepada Baginda Sultan Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
rundingan_baling_1955-800px
Sejarah

Kegagalan Rundingan Damai Baling

29 Disember 1955 – Dalam tahun 1955, Rundingan Damai Baling berakhir tanpa mencapai apa-apa kejayaan. Perundingan damai di antara pihak kerajaan dengan pihak komunis ini bertujuan untuk menamatkan darurat berikutan dengan tawaran pengampunan beramai-ramai kepada anggota-anggota Komunis Malaya yang telah di buat pada 9 September tahun itu.

Rundingan damai ini telah dijalankan di dalam 4 sesi selama dua kali di Baling, Kedah. Pihak kerajaan telah diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu; Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Singapura; Encik David Marshall serta Dato’ Sir Tan Cheng Lock. Manakala pihak komunis diwakili oleh Chin Peng, Chin Tian dan Abdul Rashid Mydin.

Rashid_Maidin_Chin_Peng_Chin_Tien_1955

Rashid Maidin, Chin Peng, Chin Tien

Dirundingan itu Tuanku Abdul Rahman menerangkan syarat-syarat berkaitan dengan pengampunan beramai-ramai dan tentang pergolakan-pergolakan politik di negara ini. Beliau menyakinkan pihak komunis yang Tanah Melayu sedang di dalam perjalanannya ke arah mencapai kemerdekaan dengan demikian mereka mestilah memberhentikan perang. Mengenai pengampunan beramai-ramai, mereka yang berbuat demikian tidak akan didakwa kerana apa-apa kesalahan bersabit dengan darurat yang dilakukan sebelum pengisytiharan pengampunan.

Setelah dua hari rundingan, daripada perbincangan dan soal jawab, pihak kerajaan menyedari bahawa pihak komunis hanya berniat untuk mendapatkan kebebasan berpolitik tanpa apa-apa sekatan. Oleh itu kerajaan menyedari bahawa tidak ada gunanya lagi menyambung rundingan, lantaran itu pada hari ini dalam tahun 1955 rundingan damai Baling dihentikan tanpa mendapat apa-apa persetujuan dari pihak komunis.

Kegagalan ini merupakan amaran keras tentang bahaya yang akan dihadapi oleh negara dalam usaha mencapai kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard